10 January 2009

Cuepacs Tolak 40 Peratus Pindaan PTK

SUNGAI PETANI, 10 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak 40 peratus daripada keseluruhan 34 pindaan ke atas Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diterima Disember tahun lalu.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata kongres berkenaan juga memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bertindak khas untuk mengkaji dengan lebih terperinci pindaan tersebut.

"Kita bukan menolak sepenuhnya pindaan itu tapi banyak yang kita tak setuju.

"Salah satunya ialah sekiranya calon (gred 17 hingga 54) gagal dalam PTK, mereka tidak boleh mendudukinya semula, dulu tiada undang-undang ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kongres Khas di sini, Sabtu.

Omar berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan menyemak kembali butiran pindaan ke atas PTK setebal 27 muka surat dengan 34 tajuk itu dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh dua minggu.

"Pindaan ini akan disemak dengan teliti kerana pekeliling ini diedarkan tanpa maklum balas dan Cuepacs tak diberi taklimat mengenainya sebelum ini," katanya.

Sementara itu Omar berkata kongres tidak mempunyai sebarang bantahan atau masalah mengenai pekeliling lain termasuk mengenai pengurangan cuti selama lima hari dan hal berkaitan Gantian Cuti Rehat (GCR).

-- BERNAMA

No comments: