31 December 2008

Kenaikan gaji, elaun staf SPRM ditimbang

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak supaya gaji dan elaun yang lebih tinggi diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mula beroperasi Khamis ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, untuk itu, satu jawatankuasa khas diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akan mengkaji soal kenaikan gaji dan elaun berkenaan dan perkara lain bagi menambah baik perkhidmatan SPRM.

“Saya sedar wujud rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan diserapkan ke dalam SPRM kerana kadar gaji yang ditawarkan adalah rendah.

“Perkara sama telah disuarakan oleh Ahli-Ahli Parlimen pada sesi Dewan Rakyat dan jawatankuasa ini telah diminta untuk mengkaji tentang perkara berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Beristiadat BPR 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang SPRM 2008 pada 16 Disember lalu manakala Dewan Negara pada 22 Disember.

Kenaikan gaji yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekarang kepada kakitangan BPR yang diserapkan ke dalam SPRM hanya sebanyak 3.7 peratus.

Ia membabitkan kenaikan antara RM12 hingga RM80 seorang mengikut pangkat dan pengalaman kakitangan terbabit.

Menurut Abdullah, langkah menaikkan gaji dan elaun itu akan membolehkan kakitangan SPRM memberi tumpuan kepada kerja tanpa memikirkan soal untuk menyara diri dan keluarga.

“Dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan ini, saya berharap kakitangan SPRM akan memberikan komitmen yang tinggi kepada kerja masing-masing bagi membanteras rasuah.

“Ini berikutan wujud persepsi di kalangan rakyat bahawa kerajaan dan BPR sebelum ini tidak berusaha bersungguh- sungguh membanteras gejala ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Said dalam ucapannya merayu campur tangan Abdullah supaya memastikan JPA menyediakan skim perkhidmatan termasuk gaji dan elaun yang lebih baik untuk kakitangan BPR yang diserapkan ke SPRM.

Beliau berkata, langkah itu boleh menyuntik semangat kalangan warga BPR sedia ada dan menarik lebih ramai profesional untuk bersama-sama SPRM memperjuangkan usaha memerangi rasuah.

No comments: