10 December 2008

Pertubuhan guru tidak mahu PTD dalam perkhidmatan pendidikan

Berita Harian

MAJLIS Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mengulangi pendirian bahawa pihaknya tetap menolak pelantikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik dalam sistem pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Pengerusinya, Jemale Paiman, berkata perkara itu satu daripada beberapa ketetapan yang diputuskan majlis berkenaan dalam pertemuan wakil 24 kesatuan dan persatuan guru di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain ketetapan yang juga terkandung dalam Deklarasi Kota Bahru yang diputuskan sebelumnya, beliau berkata, antara ketetapan lain ialah ialah penstrukturan pegawai di jabatan pelajaran negeri (JPN) dan pejabat pelajaran daerah (PPD) harus mengambil kira pandangan persatuan dan kesatuan guru sebelum ia dilaksanakan.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, pihaknya tidak mahu berlaku salah faham dan pertindihan jawatan serta tugas yang membawa gangguan dalam sistem pentadbiran di peringkat kementerian, JPN dan PPD.

“Selain itu, semua pegawai sama ada di kementerian, JPN mahupun PPD perlu dikekalkan di tempat sekarang walaupun dinaikkan ke gred lebih tinggi.

“Kepakaran pegawai berpengalaman ini amat diperlukan bagi memajukan sistem pentadbiran pelajaran. Penempatan semula yang tidak sesuai akan menjejaskan integriti mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Jemale berkata, ketetapan seterusnya ialah menolak Peperiksaan Tahap Kecekapan bagi memberi peluang pegawai dan guru berpengalaman yang ketinggalan dalam perjawatan naik pangkat kerana tidak mencapai tahap minimum dalam penilaian berkenaan.

Majlis itu juga mahukan semua pengarah JPN serta pegawai di PPD menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan arahan serta keputusan Ketua Pengarah Pelajaran.

“Kita mahu semua bertugas dengan penuh dedikasi dan berhemah tinggi bagi meningkatkan tahap profesional perguruan berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan teras kelima.

“Pihak kementerian juga sudah tiba masanya mewujudkan perjawatan pada gred baru bagi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma sehingga DGA40 berbanding setakat ini DGA34 dan terkini DGA38 bagi guru besar dan pengelola cemerlang.

“Kami cadangkan Gred DGA40 dikhususkan untuk guru besar dan pengelola cemerlang, DGA38 guru besar, DGA34 bagi lantikan jawatan guru penolong kanan hakiki, DGA32 guru ‘time-base’ dan cemerlang, manakala DGA29 guru baru.

Jemale menjelaskan, majlis berkenaan turut memutuskan supaya Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah turut diperluaskan ke kementerian, JPN, PPD, Bahagian Nazir Sekolah serta Bahagian Teknologi Pendidikan dengan kenaikan pangkat ke DG44.

Selain itu, kementerian diminta menyegerakan proses kenaikan pangkat DG44, DG48 dan DG52 kepada semua pegawai terbabit dengan memberi jawatan bertaraf hakiki, bukannya memangku atau Khas Untuk Penyandang seperti amalan sekarang.

“Kementerian juga perlu mengkaji semula kedudukan guru asalnya memiliki diploma pendidikan tetapi kemudian melanjutkan pelajaran hingga memperoleh ijazah agar diberi keistimewaan.

“Kebanyakan guru ini sudah berkhidmat lebih 10 tahun, malah ada yang menjawat guru cemerlang, guru penolong kanan hakiki atau guru besar serta menunjukkan prestasi kerja baik tetapi tertinggal berbanding rakan setugas yang tidak melanjutkan pelajaran.

“Mereka menjadi mangsa kerana terpaksa menjadi guru baru dan ini akan membantutkan semangat bukan saja di kalangan yang terbabit, malah guru lain yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah,” katanya.

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Tugas guru hanya mengajar. Pengurusan perlu di serahkan kepada pihak lain samada PTD ataupun golongan professional lain seperti Jurutera ataupun Akauntan. Ini disebabkan sekarang pun, tugas pengurusan di sekolah dan jabatan dilakukan oleh KERANI sahaja. Ataupun dilakukan oleh CC, Pem. Tadbir malah Jurutaip pun lenih cekap dan lebih mengetahui daripada Pengetua! Ini adalah realiti, bukannya perkara tipu. Kalau tidak percaya, pergilah ke sekolah sekolah di selurh Malaysia. Bila Audit datang, maka kerani kerani akan sibuk melayan Audit bukannya Pengetua ataupun Penolong Kanan! Mereka tidak tahu apa itu pengurusan , mungkin mereka pakar tentang pengurusan budak sekolah tetapi pengurusan sebenar mereka tidak arif. Pecahan Kepala ataupun Objek Sebagai pun mereka tidak tahu, malah waran yang sampai dari Kementerian akan di minitkan kepada kerani! Sila Uruskan! Memang ayat yg sinonim. Proses Sebutharga pun mereka tidak tahu, maka keranilah yang menjalankannya A-Z. Mereka hanya bermesyuarat dan sain...Tidak tahu apa apa. Jika kerani itu tipu, maka tertipulah sang Pengetua dan Jemaah Ahli Sebutharga tersebut. Banyak projek Kementerian Pelajaran yang pelik pelik dan menghabiskan duit. Ini semua adalah dari kepala otak Guru Guru yang kononnya perlu dipanggil Pentadbir. Alat OHP berselerak di dalam kelas kelas tidak digunakan malah rosak semenjak hari mula dipasang. Pengetua dan pengurusan sekolah hanya membiarkan sahaja kerana mereka tidak tahu apa apa dan ke mana saluran untuk melaporkannya. Yang mereka tahu jawab, itu projek Kementerian! Tidakkah mereka tahu bahawa mereka bertanggung jawab untuk melaporkan bahawa alat alat seumpama itu tidak perlu dipasang di sekolah semasa Mesyuarat Pengetua Pengetua! Bila Pegawai Kementerian bagi taklimat ,tidak ada yg bentah...inilah kesannya. Maka jika masih berterusan Cikgu Cikgu mentadbir sekolah, maka malanglah nasib kerani sekolah kerana terpaksa memerah otak dan kudrat yg lebih kerana terpaksa menjadi Pengetua Tak Rasmi dalam masa yang sama!

Anonymous said...

Salam,

Seperti kata Kerani Sekolah, tugas kerani bantu pentadbiran atau kewangan. Ketua jabatan tak perlu tahu semua prosedur tapi faham tanggungjawab yang ditanggung.

Kalau PTD jadi ketua sekalipun, kerani tetap buat kerja yang sama, terima arahan atau memo. Tak kan Ketua Jabatan nak buat kerja kerani.

Soal tipu atau bohong Ketua Jabatan, di mana-mana pun ada, bukan hanya di sekolah. Bergantung pada niat kita, nak kerja untuk keberkatan Allah atau nak kerja makan gaji.

Untuk makluman Kerani Sekolah, guru juga Kumpulan Pengurusan dan Profesional, jadi mereka layak memimpin di sebarang jawatan dalam Kementerian Pendidikan kecuali ada jawatan tertentu yang dikhaskan untuk PTD seperti jawatan yang bertitle S/U.

Ketika inipun, ramai kerani bersungut sebab mereka akan dapat ketua baru, iaitu Penolong Pegawai Tadbir (AO). Ramai kerani bersungut sebab CC dah tak ada power dan paling ketara ramai AO berumur bawah 35 tahun, sedangkan CC sudah berusia.

Sebenarnya, kita patut bersyukur atas apa yang kita miliki, kalau Ketua Jabatan tak reti, bantu dengan niat ikhlas, bukan mengena. Tidak ada siapa yang sempurna dan tahu segalanya. Sebabgai kakitangan kerajaan, kita menjadi saluran untuk menyampaikan dasar dan urusan kerajaan, bukan menyusahkan rakan atau kakitangan lain yang kurang ilmu pengurusan dan pengalaman.