10 November 2008

43,000 pekerja mahu sertai skim pencen

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs yakin kira-kira 43,000 kakitangan awam di seluruh negara yang memilih skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini berpeluang untuk memilih menyertai skim pencen.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs menerima pelbagai keluhan daripada mereka yang memilih skim KWSP kerana tidak menikmati kemudahan seperti kad persaraan, perubatan percuma di hospital kerajaan dan menerima faedah persaraan (gratuiti) seperti kakitangan awam yang memilih skim pencen.

Beliau berkata, mereka sekadar mendapat ganjaran dalam bentuk dividen daripada KWSP.

“Rundingan sedang dijalankan dengan JPA untuk membolehkan kira-kira 43,000 kakitangan awam dalam skim KWSP diberi peluang menyertai skim pencen.

“Kita mendapat reaksi positif menerusi rundingan peringkat pertama dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam, Julai lalu, yang menyatakan kesediaannya menimbang perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas nasib kakitangan kakitangan awam yang menyertai skim KWSP yang diperkenalkan pada 1991 dan menyesal apabila menyedari mereka kehilangan beberapa faedah yang dinikmati rakan mereka yang memilih skim pencen.

Katanya, isu 43,000 kakitangan awam itu bagi membolehkan mereka memilih semula skim pencen juga akan dibincang pada mesyuarat Kongres Cuepacs selama tiga hari bermula 13 November ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Mengenai cadangan KWSP membuat pengurangan caruman pekerja tiga peratus secara automatik, beliau berkata, Cuepacs turut membantah sistem itu yang me-rugikan kakitangan awam kumpulan sokongan dalam skim KWSP kerana jumlah caruman bulanan mereka semakin kurang.

No comments: