Ubah suai format PTK
Utusan Online
SUDAH banyak keluhan dan pendapat yang tersiar dalam ruangan ini mengenai ketidakpuasan hati sebilangan besar kakitangan awam apabila menyentuh beberapa isu antaranya Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Namun isu tersebut tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setakat ini.
Hasrat kerajaan dalam melahirkan penjawat awam berstatus dunia kelas pertama mungkin terjejas sekiranya sistem penilaian pretasi penjawat awam yang ada sekarang tidak dirombak atau diganti dengan satu mekanisme baru yang lebih telus dan bersesuaian untuk menilai tahap pretasi sebenar penjawat awam.
Sistem penilaian pretasi melalui peperiksaan yang diamalkan sekarang pada pendapat saya tidak memberi gambaran sebenar kecekapan penjawat awam.
Sistem peperiksaan hanya mengajar penjawat awam untuk banyak membaca dan menghafal seberapa banyak yang mampu dengan satu matlamat untuk menjawab seberapa banyak jawapan dengan betul.
Matlamat utamanya sudah tentulah mendapat keputusan cemerlang iaitu tahap IV untuk dipertimbangkan kenaikan gaji.
Hakikatnya tidak ramai yang mampu mencapai tahap kelulusan cemerlang. Majoritinya sekadar mampu untuk lulus, itu pun mungkin setelah beberapa kali mengambilnya.
Bagi yang telah lulus cemerlang pula terpaksa menunggu satu tempoh yang agak lama untuk menikmati faedah daripada kenaikan gaji. Bagi yang lulus tahap III pula hanya akan menikmati hasilnya sekiranya terdapat kekosongan jawatan untuk kenaikan pangkat sahaja itupun sekiranya ada.
Inilah sebahagian daripada senario PTK yang dihadapi penjawat awam sejak ia diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Kesukaran untuk mencapai tahap lulus cemerlang mahupun sekadar lulus sahaja menyebabkan ramai penjawat awam yang putus asa dan tertekan kerana kegagalan tersebut menutup peluang untuk kenaikan gred jawatan yang lebih tinggi dan kenaikan gaji.
Justeru, ramai juga yang menolak untuk mengambil peperiksaan dengan alasan kecewa, malas menelaah buku-buku PTK, kesuntukan masa kerana beban kerja harian dan sebagainya. Kadangkala soalan-soalan dalam PTK tiada kaitan langsung dengan bidang tugas penjawat awam itu sendiri.
Ada juga berpendapat PTK hanya untuk ulat buku, asalkan rajin membaca dan menghafal walaupun pretasi kerja sederhana tetapi masih berpeluang lulus cemerlang.
Diharapkan SPA dapat meneliti dan mengkaji sedalam-dalamnya saranan CUEPACS yang meminta dimansuhkan format peperiksaan dalam PTK dan digantikan format baru yang lebih relevan dan sesuai dengan pengalaman dan kemahiran penjawat awam.
Pengalaman dan kemahiran penjawat awam tidak boleh dinilai melalui peperiksaan. Kecekapan bekerja pula adalah sesuatu yang subjektif dan memerlukan penilaian yang berbeza sama ada melalui penilaian daripada pegawai yang bergred lebih tinggi atau penilaian daripada hasil kerja penjawat awam itu sendiri.
Usaha Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hasan dalam memperkasakan perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif positif termasuk konsep punish and reward yang diperkenalkan tahun lalu wajar dimanfaatkan dalam penilaian tahap kecekapan penjawat awam.
Ini sejajar dengan hasrat KSN sendiri yang mahu melahirkan masyarakat perkhidmatan awam yang berintegriti dan berminda kelas pertama.
– RMN,
Taiping.
No comments:
Post a Comment