NUTP sokong
Utusan Online
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong keputusan Kementerian Pelajaran untuk menganjakkan peperiksaan akhir tahun di semua sekolah ke seminggu atau dua minggu sebelum cuti penggal akhir bagi mengatasi masalah pelajar ponteng.
Presidennya, Anuar Ibrahim berkata, langkah yang akan dimulakan tahun depan itu merupakan langkah yang baik bukan sahaja untuk mengatasi masalah ponteng tetapi juga dari aspek meningkatkan integriti para guru.
Beliau berkata, sekarang ini, selepas habis peperiksaan, guru-guru tidak lagi mengajar sama ada dengan alasan silibus sudah habis atau tidak ramai murid yang hadir.
‘‘Jika waktu peperiksaan dianjakkan, guru-guru tidak lagi dikatakan tidak memenuhkan tugas mereka dan bagi pelajar, mereka ada masa yang panjang membuat persediaan menghadapi peperiksaan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Anuar berkata, ia bukan satu beban kepada pihak guru walaupun mereka perlu memeriksa kertas peperiksaan pada waktu cuti sekolah.
Menurutnya, para guru perlu faham tugas mereka bukan sahaja untuk mengajar tetapi untuk menilai prestasi pelajar dan memang menjadi tanggungjawab guru untuk memeriksa kertas peperiksaan itu pada bila-bila masa yang ditetapkan.
Anuar juga mengakui masalah akan timbul pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini seperti bantahan daripada pihak guru namun mereka akan faham jika diberi penjelasan secara tepat.
‘‘Kami di NUTP sedia membantu untuk menyampaikan maklumat tentang keperluan langkah ini kerana kami berpendapat satu perubahan perlu dilakukan supaya hari ini lebih baik daripada semalam,’’ katanya.
Menurutnya, sebelum ini sudah ada sesetengah sekolah seperti sekolah inovasi yang melaksanakan langkah itu dan mereka tidak menghadapi masalah.
‘‘Cuti sekolah selalunya enam minggu dan pihak guru hanya perlu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk memeriksa kertas peperiksaan.
‘‘Selepas itu, mereka perlu memberi hasil keputusan kepada pihak sekolah dan selepas tiga hari semua markah akan siap dianalisis,’’ ujar Anuar.
Ditanya sama ada langkah itu akan menyebabkan guru hilang fokus ketika memeriksa kertas peperiksaan kerana sudah musim cuti, Anuar berkata, persoalan sekarang ialah untuk mengatasi masalah ponteng sekolah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, perubahan itu juga membabitkan tarikh peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang pada masa ini diadakan pada bulan September dan Oktober.
No comments:
Post a Comment