07 November 2007

11 kakitangan awam Kedah kena tindakan

Berita Harian

ALOR STAR: Seorang penolong pegawai tanah di Pejabat Tanah Daerah Kota Star antara 11 penjawat awam yang dikenakan tindakan mahkamah hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kedah sepanjang tahun ini membabitkan kes salah guna kuasa meluluskan tanah untuk isteri bernilai kira-kira RM250,000.

Pengarah BPR Kedah, Idrus Jaafar, berkata kakitangan berusia 39 tahun itu disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen Alor Star pada 30 Oktober lalu mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegah Rasuah 1997.

"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda sebanyak RM10,965 dan kini mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

"Dia masih bekerja sementara menunggu keputusan rayuan terhadap kesnya, manakala hukuman ke atasnya ditangguhkan," katanya selepas majlis Ramah Mesra BPR Kedah sempena Hari Raya Aidilfitri, di sini, semalam.

Beliau berkata berikutan itu, tanah seluas 432 meter persegi di daerah Kota Star itu juga dilucut hak mengikut Seksyen 16 akta sama, tindakan pertama seumpamanya dilakukan BPR Kedah tahun ini.

Katanya tuduhan terhadap kakitangan itu membabitkan penggunaan jawatannya bagi mendapatkan sebidang tanah dengan menyediakan laporan tanah yang dipohon isterinya yang kemudian diluluskan.

Beliau berkata, 10 lagi penjawat awam turut dikenakan tindakan mahkamah termasuk pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan masih dalam perbicaraan.

Katanya, empat lagi yang dikenakan tindakan mahkamah sepanjang tahun ini orang awam.

Daripada 15 kes berkenaan, 14 kes mengikut Akta Pencegah Rasuah 1997, manakala satu kes mengikut Seksyen 415 Kanun Kesiksaan membabitkan perbuatan menipu.

Idrus berkata, 15 terbabit adalah daripada 22 suspek yang ditahan, termasuk lapan penjawat awam, lima daripadanya daripada kumpulan pengurusan dan profesional sepanjang 10 bulan tahun ini.

Beliau berkata, tujuh daripada 15 kes berkenaan membabitkan anggota polis.

Dalam tempoh sama, katanya, BPR menghantar 47 laporan tata tertib kepada ketua jabatan agensi pusat dan negeri termasuk membabitkan dua kakitangan pengurusan dan profesional.

Beliau berkata, laporan tata tertib itu termasuk 14 yang membabitkan pegawai dan kakitangan pentadbiran Kedah (KCS) yang dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, sebelum ini.

Katanya, sepanjang 10 bulan tahun ini, BPR menerima 596 maklumat berkaitan rasuah daripada pelbagai sumber berbanding 590 dalam tempoh sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, bagi tahun ini, sebanyak 426 maklumat disiasat berbanding 430 dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

No comments: