21 May 2007

Pegawai masjid di Kedah terima kenaikan elaun

Berita Harian

ALOR STAR: Seramai 3,264 pegawai masjid di seluruh Kedah menerima kenaikan elaun bulanan membabitkan peruntukkan tahunan RM11.11 juta mulai Jun depan.

Elaun imam dinaikkan dari RM450 kepada RM500, bilal RM200 kepada RM450, siak RM200 kepada RM250 dan Setiausaha Jawatankuasa Kariah dan Bendahari masing-masing menerima RM100 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kenaikan elaun bersesuaian keperluan semasa selain menghargai sumbangan mereka sebagai pemangkin pembangunan rohaniah masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal serta ahli jawatankuasa masjid dapat memupuk perpaduan serta kesedaran positif di kalangan anak kariah di kawasan masing-masing.

"Melalui kefahaman ini, akan bertambah mudah kerajaan negeri melaksanakan program dan perancangan di seluruh negeri selain sama-sama memastikan kejayaan setiap program," katanya pada majlis penutup Seminar Pegawai Pengurusan Masjid peringkat negeri di Dewan Insaniah di sini, semalam.

Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta setahun membabitkan hanya pembayaran elaun bulanan imam, bilal serta siak masjid di seluruh Kedah.

No comments: