21 May 2007

KDRM naik taraf Akmal universiti 2010

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menaikkan taraf Akademi Kastam (Akmal) di Bukit Baru, Melaka kepada universiti menjelang 2010 bagi menyediakan program khusus berkaitan bidang kastam.

Selain melahirkan pegawai lebih berpengetahuan dan berkelayakan, universiti itu akan menyediakan kursus kepada orang awam yang berminat menjadi ejen KDRM serta latihan kepada pegawai kastam asing.

Timbalan Pengarah (Operasi) KDRM, Datuk Ibrahim Jaapar, berkata ketika ini jabatan itu mengadakan program berkembar dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

"Ketika ini, Akmal berfungsi sebagai pusat latihan dan fungsinya akan lebih besar apabila dinaikkan taraf sebagai universiti kelak.

"Separuh daripada sukatan pelajaran terutama berkaitan subjek kastam akan diajar sendiri pegawai kami, manakala separuh ditetapkan UUM," katanya semalam.

Akmal yang ditubuhkan pada 1956 dengan nama Pusat Latihan Kastam Persekutuan sebelum ditukar kepada Sekolah Latihan Kastam Persekutuan setahun selepas itu bagi menyediakan kursus latihan untuk penolong penguasa kastam.

Selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan dan memiliki kemampuan sebagai sebuah akademi, ia dinaikkan taraf kepada Akademi Kastam Diraja Malaysia pada Oktober 1989.

Akmal kini mempunyai tiga cawangan termasuk di Menggatal, Sabah; Kuching, Sarawak dan Bukit Malut di Langkawi, Kedah.

1 comment:

Anonymous said...

kalau begitu ada tak peluang Pegawai Kanan yang berkelulusan Master dan Ph.D menjawat jawatan di Universiti Kastam kelak sesuai dengan Gelombang Samudera Biru?