14 March 2007

Sistem PTG diceroboh -- Sindiket palsukan dokumen pendaftaran tanah berkomputer

Oleh UMAVATHI RAMAYAH dan KHAIRUL AZRAN HUSSIN

KUALA LUMPUR 13 Mac – Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor diceroboh oleh sindiket yang menggunakan ‘orang dalam’ bertujuan untuk memalsukan geran tanah.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja polis telah mengenal pasti 12 kes kegiatan itu sehingga menyebabkan beberapa pemilik tanah dan pembeli mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusoff memberitahu Utusan Malaysia, modus operandi penceroboh tersebut adalah dengan mendakwa geran tanah milik mereka hilang sebelum mendapatkan semula geran tanah yang telah dipinda melalui bantuan ‘orang dalam’.

‘‘Setelah mendapat geran gantian, suspek terus menjual tanah itu kepada pembeli. Mereka akan memilih lokasi tanah yang mempunyai nilai yang tinggi,’’ kata Ramli ketika ditemui di sini hari ini.

Penipuan itu hanya dikesan selepas pembeli menghadapi masalah untuk memajukan tanah berkenaan ekoran tuntutan pemilik tanah yang sebenar.

Ramli berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit memalsukan Dokumen Hak Milik Keluaran Komputer bagi sesuatu tanah dengan cara meminda butir-butir tuan punya tanah berdaftar dalam dokumen tersebut.

Bagi mengatasi kelemahan itu, beliau berkata, polis akan mengadakan satu pertemuan dengan wakil Jabatan Tanah dan Galian.

‘‘Dalam pertemuan itu nanti, kita akan memberitahu pihak terbabit tentang kelemahan yang perlu diatasi dengan segera seperti kaedah menyimpan data menggunakan komputer.

‘‘Kadang-kadang apa yang ada dalam komputer tidak sama dengan apa yang disimpan dalam bilik kebal kerana data senang diubah apabila sudah ada dalam komputer.

‘‘Satu perkara lagi yang perlu dipandang serius dan akan dicadangkan adalah langkah memperketatkan pengeluaran borang berkaitan pindah hak milik tanah,’’ jelasnya.

Menurut Ramli, orang ramai seharusnya lebih berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sebarang urusan jual beli tanah walaupun urusan tersebut telah diserahkan kepada pihak peguam.

Beliau juga meminta pihak pengurusan bank dan orang ramai lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan pelbagai taktik licik pihak tertentu yang gemar menggunakan nama syarikat-syarikat besar untuk menipu orang ramai.

‘‘Dalam sesetengah kes jual beli tanah, mangsa akan diminta menyediakan buku bank dan wang pendahuluan bagi tujuan bayaran pemprosesan.

‘‘Mereka akan kata tanah mangsa akan dibeli untuk membina pemancar telekomunikasi atau sebarang projek besar dan ketika itulah mangsa perlu menyediakan duit untuk pelbagai urusan,’’ katanya.

Jelas beliau, antara kes penipuan komersial lain yang berlaku baru-baru ini membabitkan sindiket program Akademi Fantasia 4 (AF4), gores dan menang, tiket palsu Sports Toto dan cabutan bertuah.

No comments: