JPA sedia runding
KUALA LUMPUR: Selepas hampir setengah tahun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju membuka pintu rundingan kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung isu skim Faedah Pencen Bercarum (FPB).
Perbincangan khusus mengenai perkara itu diadakan di ibu pejabat JPA di Putrajaya 30 Januari ini bertujuan mencari penyelesaian cadangan memperkenalkan FPB bagi menggantikan skim pencen sedia ada.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perbincangan itu dibuat susulan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan kepada JPA selepas pertemuan antara pihaknya dengan KSN di Putrajaya, Khamis lalu.
“Alhamdulillah, akhirnya apa yang kami suarakan selama ini mendapat perhatian KSN dan kami harap dalam perbincangan itu nanti, JPA akan diwakili sendiri oleh Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam.
“Sebelum ini tiada perbincangan rasmi antara kami dengan JPA mengenai perkara ini, yang ada hanyalah taklimat pegawai JPA mengenai kebaikan FPB dan apa yang kami suarakan dalam taklimat itu tidak direkodkan.
“Perbincangan penting bagi membolehkan kesatuan membuat pertimbangan lanjut sama ada menerima atau menolak FPB kerana sebelum ini, Cuepacs tidak diberi peluang menyuarakan kebimbangannya jika skim itu dilaksanakan.
“Kami ingin tahu inti pati skim itu. Segala perbincangan akan kami bawa pulang kepada Majlis Kongres Cuepacs untuk diperhalusi,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.
Ditanya sama ada Cuepacs masih mempertahankan tindakannya sebelum ini menentang skim berkenaan, Omar berkata, Majlis Kongres Cuepacs akan membuat keputusan mengenainya selepas menerima penjelasan JPA.
Bagaimanapun, katanya, Cuepacs bukan bersikap meninggi diri apabila berkali-kali bertegas menolak cadangan berkenaan, sebaliknya lebih mementingkan kebajikan kira-kira sejuta ahlinya di seluruh negara.
Skim FPB dicadangkan untuk perlantikan kakitangan awam yang baru tanpa membabitkan mereka yang sudah lama berkhidmat.
Ia memerlukan kakitangan awam mencarum dalam Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan mengeluarkan caruman berkenaan apabila bersara atau mencapai tempoh tertentu perkhidmatan.
Bagaimanapun, Cuepacs dilaporkan menolak cadangan itu kerana FPB melalui KWAP tiada bezanya dengan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Omar dilaporkan berkata, FPB ditolak kerana ia akan menghilangkan semua keistimewaan diperoleh kakitangan awam dan tidak memberi jaminan pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut meminta Cuepacs berbincang dengan JPA bagi meneliti cadangan berkenaan.
Pada pertemuan antara Cuepacs dengan Sidek 4 Januari lalu, Omar dilaporkan berkata, antara lain, KSN bersetuju memberi perhatian serius berhubung cadangan semakan menyeluruh pakej gaji dan kebajikan kakitangan awam.
No comments:
Post a Comment