19 March 2010

Kaji Semula Jawatan Pembantu Makmal Sains Di Sabah - Cuepacs

SANDAKAN, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah diminta mengkaji semula jawatan pembantu makmal sains yang dilihat tidak dinaik taraf untuk memenuhi keperluan dan status sekolah di negeri ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata langkah itu penting berikutan jawatan pembantu makmal sains yang sedia ada dilihat tidak setaraf dengan sekolah-sekolah di negeri ini yang kebanyakannya telah dinaikkan taraf kepada sekolah cemerlang atau sekolah bestari.

Katanya daripada 500 pembantu makmal sains di seluruh negeri ini, hanya tiga orang sahaja memegang gred C22 dan selebihnya masih gred C17.

"Ini dilihat jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung dengan lebih 30 orang menyandang gred C26," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Kesatuan Pembantu Makmal Sains (KPMS) Negeri Sabah di sini Jumaat.

Omar berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya.

Beliau berkata masalah lain yang dihadapi oleh pembantu makmal sains di negeri ini adalah mereka yang masih dalam status sementara atau kontrak biarpun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Katanya adalah wajar jika golongan itu diserap kepada jawatan tetap berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang selama ini.



-- BERNAMA

No comments: