29 March 2010

Dua Elaun Khas Baru Bagi Guru Sekolah Pedalaman

MIRI, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh.

Katanya kategori baru itu di bawah 'Elaun Pedalaman' akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250.

"Elaun baru ini dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan ia adalah tambahan kepada kategori yang sedia ada iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah-sekolah kecil di sini pada hari Isnin.

Timbalan Menteri Pelajar Dr Mohd Puad Zarkashi merasmikan bengkel berjudul 'Strategi Pedagogi Bagi Meningkatkan Prestasi Sekolah-Sekolah Kecil' yang disertai oleh 36 peserta dari enam negara.

Amir berkata menerusi pengenalan kategori elaun tambahan, ia berharap kadar pertukaran guru di sekolah kawasan pedalaman dapat dikurangkan.

Menurutnya insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai salah satu strategi ke arah mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman.

Amir berkata sebuah modul baru akan diperkenalkan tahun depan sebagai sebahagian daripada kurikulum untuk pelajar sekolah pedalaman bagi meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka.

Katanya perkhidmatan sokongan khas termasuk penginapan, tuisyen percuma, program pemakanan tambahan serta bantuan kewangan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diteruskan kepada pelajar sekolah pedalaman.

-- BERNAMA

2 comments:

Unknown said...

SALAM...BILA PULA IMPLIMENTASI GRED DGA 36 UTK PENOLONG KANAN SEKOLAH RENDAH SERTA DGA40 UTK GURU BESAR...?

Anonymous said...

i love being a teacher!!!!!