Bonus RM500 Untuk Bilal Dan Siak Di Perak Sambut Aidilfitri
IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Kesemua 1,975 bilal dan siak masjid dan surau di Perak akan menerima bonus khas RM500 setiap orang sempena Aidilfitri tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata kerajaan negeri memberi bonus khas itu bagi menghargai khidmat mereka yang mengurus dan menjaga masjid serta surau selama ini.
"Mereka hanya menerima lebih kurang RM300 setahun sebagai elaun biasa.
Mereka akan terima bonus khas ini sebelum hari raya nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini , Rabu.
Zambry juga berkata Hari Kemerdekaan ke-52 peringkat negeri tahun ini akan disambut secara sederhana di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dengan hanya melibatkan pasukan keselamatan.
"Ini disebabkan bulan puasa dan masalah yang dikatakan wabak penyakit Influenza A (H1N1) jadi kerajaan negeri juga membuat keputusan mengadakan sambutan pada tahap yang paling sederhana dengan hanya melibatkan pasukan keselamatan sahaja," katanya.
Mengenai notis oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar memanggil persidangan dewan pada 2 Sept ini, Zambry berkata ialah adalah satu lagi 'drama' oleh pembangkang.
"Dia nak buat macam itu sebab sekarang kita (Barisan Nasional) di Perak melaksakankan tanggungjawab dengan baik sebagai kerajaan, dengan pelaburan yang datang, ekonomi yang semakin berkembang dan perancangan yang dibuat, semua ini membuatkan mereka resah," katanya.
Zambry berkata komitmen beliau dan kerajaan BN amat jelas iaitu berkhidmat untuk rakyat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment