14 June 2009

Imej JPAM Dipertingkat Sebagai Kumpulan Satukan Perpaduan - Hishammuddin

KLUANG, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkat imej Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kini lebih berfungsi sebagai kumpulan sokongan bantuan bencana kepada kumpulan sukarelawan yang boleh menyatukan perpaduan kaum di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata JPAM yang ditubuhkan sejak zaman darurat dan konfrantasi dapat membantu kerajaan menjayakan konsep 1Malaysia sekaligus meringankan beban Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal keselamatan.

"Walaupun kita berada dalam landskap baru, ancaman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum tetap boleh berlaku seperti perbincangan isu perkauman yang tidak menjurus kepada kemenangan mana-mana pihak pun.

"Jadi, dalam keadaan ini kenapa kita tidak melihat dalam konteks yang lebih luas yang menumpukan perkara yang boleh menyatupadukan kaum. Ini bukan retorik atau sekadar cakap kosong dan saya harap perpaduan kaum menerusi JPAM ini dapat disemarakkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pemuafakatan dan pemantapan perkahwinan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dekat Paloh, di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata beliau yakin peningkatan imej JPAM itu tidak membebankan tugas sedia ada kumpulan berkenaan dan usaha bersungguh-sungguh akan dilakukan bagi menarik generasi muda menyertai kumpulan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha pihak tertentu yang cuba menghidupkan gerakan Al-Arqam, yang telah diharamkan pada 1994, secara halus menerusi internet, Naib Presiden Umno itu menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan menggunakan undang-undang sedia ada demi kepentingan negara.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci akan dilakukan untuk mendapatkan fakta sebenar kerana KDN tidak mahu bersandarkan terhadap apa yang dimuatkan di dalam internet semata-mata.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan terdapat beberapa klip video yang mengagungkan bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad secara melampau yang dimuat naik ke laman web Youtube.

Mengulas mengenai insiden pergaduhan antara banduan dan kakitangan Penjara Sungai Buloh, Rabu lepas, Hishammuddin berkata beliau belum bersedia untuk menjawab insiden itu dengan terperinci dan sedang menunggu hasil siasatan sepenuhnya.

-- BERNAMA

No comments: