11 December 2008

Pak Sako bersara awal?

Utusan Online

PUTRAJAYA 10 Dis. - Lazimnya tingkat empat bangunan Imigresen di Presint Dua di sini yang menempatkan Bahagian Penguatkuasanya tidak lekang daripada dikunjungi orang ramai, termasuk para wartawan.

Jika orang ramai berurusan kerana pasport, para wartawan pula hadir kerana menanti berita-berita daripada Pengarahnya, Datuk Ishak Mohamed yang tidak jemu untuk melayan kerenah wartawan dalam mendapatkan berita.

Kebiasaannya hampir setiap minggu Ishak yang lebih mesra dipanggil Pak Sako kerana namanya sama seperti pejuang kemerdekaan dan bekas wartawan Utusan Melayu, Ishak Haji Muhammad, mengadakan sidang akhbar memaklumkan kejayaan anak-anak buahnya membanteras penyalahgunaan pasport dan pas-pas kerja oleh warga asing.

Bagaimanapun sejak dua minggu lalu, tingkat empat Jabatan Imigresen itu kelihatan 'sunyi' kepada wartawan, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan termasuk mengatakan Pak Sako sakit.

''Tidak, dia baik, sihat tetapi sedang bersiap untuk pergi," kata seorang kenalan rapat beliau ringkas kepada Utusan Malaysia, tanpa mahu menjelaskan maksud 'pergi' itu.

Bagaimanapun selepas diselidiki, Utusan Malaysia difahamkan Pak Sako akan meninggalkan kerjaya yang telah diceburinya lebih 25 tahun lalu kerana memilih untuk bersara awal.

Tindakan Pak Sako memilih untuk bersara awal jelas menimbulkan persoalan besar kerana berdasarkan keadaan semasa, tidak ada sebab untuk beliau memilih bersara awal.

Melihat kepada semangat yang ditunjukkan dalam mengemudikan bahagian penguat kuasa itu tidak ada tanda-tanda menunjukkan beliau sudah mahu mengangkat tangan ataupun semangatnya telah pun surut.

Dan jika melihat kepada prestasinya, tidak keterlaluan dikatakan bekas Pengarah Imigresen Perak itu telah menjalankan tugas dengan baik sejak menjawat jawatan itu empat tahun lalu.

Tidak kira siang dan malam, beliau akan turun padang bersama anak-anak buahnya menyerbu lokasi-lokasi tertentu bagi mengurangkan masalah pendatang tanpa izin di negara ini.

Malah ketika jabatan itu 'panas' kerana diserbu Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak berapa lama dahulu, nama Pak Sako juga disebut-sebut bakal diserkup BPR kerana kedudukan jawatan beliau yang mudah terdedah kepada amalan yang menyalahi undang-undang itu.

Namun ia hanya spekulasi semata-mata dan Pak Sako terus mengemudi bahagian penguat kuasa sehingga hari ini.

Sehingga kini usaha untuk mendapatkan reaksi Pak Sako mengenai keputusannya bersara awal masih menemui jalan buntu.

''Keputusan itu dibuat kerana beliau sayang kepada jabatan ini. Beliau rela bersara awal daripada ditukarkan ke jawatan lain di kementerian lain yang jelas berbeza dengan kerja beliau selama ini," kata seorang lagi kenalan rapat Pak Sako kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketika ini di tingkat empat sibuk mengadakan persiapan majlis perpisahan Pak Sako pada Jumaat ini, meskipun Pak Sako telah meminta supaya tidak diadakan majlis seumpama itu.

1 comment:

Anonymous said...

Eloklah bersara awal. Bagusnya kerana rajin. Tidak bagusnya kerana selalu mencari salah orang lain sedang salah sendiri disembunyi bawah karpet. Lama-lama orang akan sedar juga.