10 December 2008

Kenaikan Pangkat Pensyarah IPG Dilakukan Berperingkat, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenaikan pangkat bagi pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dipercepatkan.

Beliau berkata pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat memandangkan jumlah pensyarah yang besar iaitu seramai 30,403 orang.

"Tetapi saya sedar bahawa ia perlu dipercepatkan lagi dan itu yang sedang diusahakan oleh pihak kementerian," katanya menjawab soalan tambahan Roslan Shaharum (PAS-Bukit Gantang) di Dewan Rakyat hari ini.

Roslan dalam soalannya ingin tahu perkembangan proses kenaikan pangkat di kalangan pensyarah IPG yang disifatkannya berjalan terlalu lambat.

Terdahulu, Hishammuddin memberitahu persidangan bahawa pada tahun ini kerajaan telah meluluskan pertambahan jawatan dan kenaikan gred jawatan di IPG melibatkan 54 pegawai dan pensyarah ke Gred DG54, 584 orang ke Gred DG52, 2,069 (DG48) dan 2,469 (DG44).

"Pertambahan dan kenaikan gred jawatan ini juga melibatkan pertambahan seramai 189 orang pegawai pengurusan DG41, 279 orang pegawai dan pembantu pegawai pengurusan DGA32," katanya.

Hishammuddin berkata kementeriannya juga telah menyediakan laluan kerjaya yang lebih menarik bagi pensyarah akademik di IPG dengan mengadakan gred jawatan yang bermula daripada DG44 hingga DG54.

Selain itu, katanya pensyarah IPG juga diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan kedoktoran bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompentensi.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Pertamanya kenyataan Menteri yang bahawa bilangan pensyarah IPG ialah seramai 30, 403 ialah tak betul dan tak logik. Ini adalah kerana bilangan IPG ialah 27 buah dan jika bilangan pensyarah 30, 403 orang bererti satu IPG secara puratanya mempunyai bilangan pensyarah seramai 1,126! Angka ini jelas tak logik dan tak masuk akal. Menteri sepatutnya buat 'homework' terlebih dahulu sebelum umumkan apa-apa di Parlimen.

Perkara kedua ialah kelembapan proses kenaikan pangkat yang amat ketara. Jawatan kenaikan pangkat ini sepatutnya diisi pada awal 2008. Malangnya sehingga kini harapan tinggal harapan di kalangan pensyarah IPG. Harap Menteri lebih peka mengenai isu ini dan kelembapan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menguruskan proses kenaikan pangkat ini.