Hishammuddin tidak prihatin terhadap kesengsaraan hidup para guru
Surat kepada Menteri Pelajaran
Assalamualaikum Menteri Pelajaran,
Saya seorang guru bukan siswazah yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Lembah Klang dan telah berkhidmat selama hampir 12 tahun.
Isteri saya tidak bekerja kerana menjaga dua orang anak yang dilahirkan istimewa dan hanya berniaga menjual kuih-muih di depan rumah pada waktu petang untuk membantu menampung perbelanjaan harian kami yang tinggi seperti perbelanjaan ubat-ubatan anak dan keperluan-keperluan mereka. Untuk isteri saya keluar bekerja tidak boleh kerana kami tidak mampu membayar upah pengasuh, tambahan pula agak sukar mencari orang yang sanggup menjaga anak-anak kami yang dilahirkan kurang upaya itu.
Kenaikan harga petrol, tarif air dan elektrik dalam tahun 2006 dan tahun ini menyebabkan perniagaan kami merosot kerana harga barang mahal tetapi harga kuih tidak boleh naik kerana orang tidak akan beli.
Apabila kerajaan mengumumkan harga tol naik pada awal tahun 2007, ia ibarat menggosok garam ke luka yang sudah sedia parah. Isteri saya terpaksa mencari kerja jauh di KL dan saya terpaksa menjaga anak-anak. Saya tiada pilihan untuk membawa anak-anak saya ke sekolah bersama kerana tiada penjaga.
Sudah tentu saya tidak mampu menghantar wang kepada ibu bapa di kampung yang hanya bergantung kepada wang pencen RM200 sahaja. Kakak sulung saya yang juga seorang guru tidak dapat membantu orang tua kami kerana bertungkus-lumus membantu suami yang bekerja sebagai pemandu lori menyekolahkan anak-anak yang semakin membesar. Apatah lagi dua saudara perempuan saya yang hanya seorang suri rumah langsunglah tiada wang.
Kepada Datuk Seri Hishammuddin, inilah suara salah seorang daripada tenaga pengajar yang di bawah kementerian datuk, yang terpaksa menanggung keperitan.
Apakah Datuk mendengar jeritan kami di sebalik mahligai indah atau Datuk terus membiarkan iblis membina mahligai di dalam hati Datuk?
Tahukah yang bahawa Datuk akan kehilangan satu undi dari ayah saya yang sudah jelak dengan parti Datuk walaupun sebelum ini tidak pernah gagal mengundi Barisan Nasional pada setiap pilihan raya?
Khabarnya rakan-rakan seangkatannya pun sudah tidak mahu diperbodohkan lagi dengan kain pelikat atau baja subsidi seperti sebelum ini...
Kepada Menteri Pendidikan tidakkah Datuk malu apabila anak buah di bawah kementerian Datuk ada yang terkial-kial kais pagi makan pagi untuk menyambung hidup anak isteri selepas habis waktu mengajar? Di mana maruah kamu apabila meminta mereka komited mengajar dan melarang mereka melakukan kerja-kerja lain sedangkan pendapatan tahunan mereka pun jauh lebih rendah daripada harga baju-baju di dalam almari isteri Datuk?
wassalam!
Daripada seorang guru
No comments:
Post a Comment