12 July 2007

MB Selangor pertahan dakwaan anugerah pembohongan terancang

Berita Harian


SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo semalam mempertahankan dakwaannya bahawa pemberian anugerah khidmat cemerlang sekadar pembohongan terancang, berdasarkan pengalamannya di Selangor.

Katanya, kenyataan itu bukan dibuat melulu seperti didakwa sesetengah pihak kerana keadaan berkenaan benar berlaku di negeri terbabit.

Berdasarkan pengalaman menghadiri majlis penyampaian anugerah, beliau mendapati terlalu ramai penjawat awam menerima anugerah itu, selain aduan daripada individu tertentu yang mempersoalkan kriteria pemilihan.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman di negeri ini. Saya tahu apa berlaku dan ada yang tidak kena dengan pemberian anugerah ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco mingguan di sini.

Kelmarin, Presiden Cuepacs, Omar Osman dilaporkan kecewa dengan dakwaan Dr Mohamad Khir yang dianggap boleh menjejaskan imej kakitangan kerajaan, selain merendahkan sumbangan penjawat awam.

Omar berkata, dakwaan itu bukan saja serius dan tidak adil, malah menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan kakitangan sektor awam di negara ini.

Dr Mohamad Khir selepas merasmikan Sistem Kad Prestasi (SKP) Isnin lalu mendakwa, anugerah itu hanya pembohongan terancang kerana ia diberi secara bergilir untuk memastikan semua kakitangan jabatan atau agensi kerajaan berpeluang menerimanya sekurang-kurangnya sekali.

Dakwaan beliau itu mendapat maklum balas positif apabila ramai kakitangan awam yang menyatakan sokongan dan mahu kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian anugerah itu pada masa depan.

Mengulas rasa tidak puas hati Cuepacs, Dr Mohamad Khir berkata, semua pihak perlu bersikap terbuka untuk menerima kritikan kerana pemimpin baik adalah pemimpin bersikap terbuka dan sedia menerima kritikan.

No comments: