09 April 2007

Polemik kemasukan PTD dalam JPN perlu diselesai

Sumber : Berita Harian


POLEMIK mengenai kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam sistem Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu diselesaikan menerusi rundingan. Moral guru dan pegawai dalam perkhidmatan pendidikan (Skim DG) kini pada tahap terendah selepas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon memaklumkan pengambilan PTD di JPN bermula bulan ini.


Dr Ahamad sebagai jurutera yang memasuki Skim DG (menerusi Bahagian Teknikal dan Vokasional) dilihat tidak peka dengan pengorbanan guru di seluruh negara. Skim DG membabitkan lebih 330,000 guru di kira-kira 9,500 sekolah dan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Pelajaran Negeri. Mereka inilah yang menentukan kelancaran sistem pendidikan rendah dan menengah yang kini meliputi kira-kira 5.2 juta pelajar.

Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kementerian Pelajaran terutama Dr Ahamad dan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Zukurnain Awang mengadakan pertemuan dengan semua kesatuan yang mewakili guru. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata tindakan kementerian itu yang tidak mendapatkan pandangan kesatuan sebelum memutuskan untuk memasukkan PTD (Skim M) ke dalam JPN menyebabkan bantahan menyeluruh daripada guru.

“Jika keputusan ini dirunding dengan kesatuan terlebih dulu, tentu tidak timbul masalah,” katanya. Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) pula menerima kenyataan Dr Ahamad untuk tidak menangguhkan, sebaliknya meneruskan pengambilan PTD bermula bulan ini sebagai hak pihak atasan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Presiden NUTP, Anuar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak sayang cikgu’. Beliau menerima beratus-ratus Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada Rabu lalu, ketika kenyataan Dr Ahamad disiarkan akhbar. Semua SMS berkenaan menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan Dr Ahamad.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohammed Zakaria Mohd Noor, berkata usaha memartabatkan pendidikan di negara ini memerlukan perubahan, perancangan sistematik dan menyeluruh.

“Bagi menghadapi cabaran yang kian mendesak, amat wajar kerjasama di kalangan semua pihak digembleng seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan,” katanya di Ipoh, Perak.

Namun, statistik sebelum ini menunjukkan penjawat Skim DG kehilangan banyak peluang kenaikan pangkat, walaupun sebelum JPN distruktur semula. Kehilangan jawatan untuk pegawai perkhidmatan pendidikan berlaku ketika perubahan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Skim Saraan Malaysia (SSM) pada 1993.

Antaranya jawatan di Bahagian Biasiswa, Bahagian Pembangunan dan Bekalan serta Bahagian Sumber Manusia. Selepas tahun berkenaan, empat jawatan dikhaskan untuk PTD di Lembaga Peperiksaan Malaysia membabitkan Gred M44 (dua penjawat), M48 dan 52. Ia menyebabkan kehilangan 11 peluang kenaikan pangkat bagi penjawat Skim DG (daripada gred 44 hingga 52).

Jemaah Nazir, satu lagi jabatan di bawah Kementerian Pelajaran juga ditembusi penjawat M44, M48 dan M52 selepas SSM diperkenal. Sebelum ini, semua jawatan berkenaan hanya terbuka untuk Skim DG. Beberapa jawatan dalam skim DG sekali lagi dilupuskan selepas Kementerian Pendidikan dipecahkan kepada dua pada 2004, menerusi penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bimbang jika PTD menguasai JPN, selepas ini penjawat Skim M juga diberi peluang dalam Pejabat Pelajaran Daerah dan dilantik sebagai Pengetua sekolah menengah. Pengalaman sebelum ini menunjukkan PTD yang memasuki Lembaga Pertubuhan Peladang ‘dihalau’ kerana mereka didapati tidak mempunyai pengetahuan dalam aspek pertanian.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga pernah merangka untuk memasukkan PTD sebagai Pengarah Hospital di seluruh negara, tetapi impian mereka berkubur selepas pegawai perubatan memboikot semua penjawat Skim M sedia ada di Kementerian Kesihatan. Seorang penjawat awam memaklumkan, PTD sudah mempunyai pelbagai ‘kemewahan’ dalam perkhidmatan mereka seperti cuti bergaji penuh jika melanjutkan pengajian di luar negara, ditambah pula dengan biasiswa kerajaan.

Penjawat M41 juga akan mendapat kenaikan pangkat ke M48 selepas lima hingga tujuh tahun berkhidmat dan akhirnya bersara pada DG52 atau Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa). Tetapi, guru yang mempunyai ijazah sarjana muda (dengan kepujian) hanya pencen dengan DG48 selepas berkhidmat selama 30 tahun.

Kebolehan pentadbiran dan pengurusan pegawai perkhidmatan pendidikan dari Skim DG tidak sepatutnya dipertikai kerana selain pengalaman di sekolah, kebanyakan mereka mempunyai ijazah lanjutan. Pegawai ini memiliki ilmu terkini menerusi kelayakan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai pengkhususan.