13 July 2007

20 universiti awam di Malaysia diberi rating

Daripada WAHID HASHIM

HONG KONG 12 Julai – Kesemua 20 buah universiti awam di Malaysia akan diberikan rating untuk memudahkan ibu bapa dan majikan menentukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pilihan mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengumuman tentang kedudukan universiti tempatan itu seperti yang diamalkan di negara-negara maju akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, empat universiti awam akan menjadi perintis kepada sistem itu iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

‘‘Rating ini penting kerana kalau saya seorang bapa dan saya ingin tahu universiti yang baik bagi bidang-bidang yang khusus, maka saya akan berpandukan kepada rating,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selepas menyampaikan ucapan mengenai perspektif pendidikan di Malaysia sempena Persidangan dan Pameran Kepimpinan Profesional Asia Pasifik Ke-3 di sini.

Selain rating universiti secara keseluruhan, Mustapa berkata, rating juga akan diberikan ke atas satu atau dua kursus terpilih seperti undang-undang melalui penilaian setara antara universiti.

Mustapa memberitahu, universiti akan dinilai mengikut tiga kategori iaitu universiti penyelidikan intensif, universiti komprehensif dan universiti mengikut jurusan (niche university).

Katanya, universiti mengikut jurusan ialah IPTA yang asas penubuhannya menjurus kepada bidang khusus seperti agama atau kejuruteraan.

‘‘Universiti komprehensif pula menawarkan pelbagai kursus mencakupi semua disiplin. Tidak adil kalau kita gunakan rating yang sama untuk semua universiti,” katanya.

Bagi universiti penyelidikan intensif pula, beliau berkata, hanya terdapat empat IPTA dalam kategori itu iaitu UKM, UM, UPM dan USM.

Katanya, setiap universiti itu diberi peruntukan RM50 juta untuk penyelidikan dan hasil penyelidikan itu akan menjadi antara asas penilaian dalam proses rating nanti,” katanya.

Mustapa berkata, bagi menentukan rating universiti awam, Kerangka Kualiti Malaysia (MQF) diwujudkan di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

‘‘Kita sudah serapkan Bahagian Jaminan Kualiti di bawah MQA. Sebelum ini, bahagian itu diasingkan antara IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tetapi selepas ini ia digabungkan,” katanya.

Menurut beliau, MQA akan memperincikan lagi beberapa perkara lagi tentang mekanisme rating yang telah dibangunkan oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) sebelum ini.

Beliau memberitahu, proses rating universiti itu sebenarnya telah bermula pada tahun lepas mengikut beberapa kriteria termasuk yang digunakan oleh The Times Higher Education Supplement (THES) tetapi ia disesuaikan dengan suasana ekonomi, politik dan sosial di Malaysia.

– Utusan

No comments: