10 July 2007

MB persoal anugerah cemerlang

Berita Harian

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mempersoalkan pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang untuk menghargai kakitangan kerajaan setiap tahun yang disifatkannya tidak lebih daripada sekadar satu pembohongan terancang.

Beliau mendakwa, anugerah itu diberikan bukan berdasarkan prestasi cemerlang kakitangan kerajaan sebaliknya dibuat secara bergilir untuk memberi peluang kepada semua kakitangan kerajaan menerimanya.

Katanya, anugerah itu seolah-olah diberikan sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan kerajaan walaupun sebenarnya prestasi kerja mereka tidak memberangsangkan.

“Saya pernah menghadiri majlis penyampaian anugerah ini yang diberikan kepada kira-kira 30 peratus kakitangan jabatan dan agensi kerajaan.

“Jika benar ramai kakitangan kerajaan yang memberi khidmat cemerlang, mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan sistem penyampaian di jabatan kerajaan masih teruk dan tidak memuaskan.

“Saya melihat pemberian anugerah ini sebagai pembohongan terancang yang diberi secara bergilir semata-mata untuk menghargai kakitangan kerajaan dan bukan kerana prestasi kerja cemerlang,” katanya selepas melancarkan Sistem Kad Prestasi (SKP) di sini, semalam.

Dr Mohamad Khir berkata, beliau sedar ada sesuatu tidak kena apabila orang awam masih merungut dengan mutu perkhidmatan yang diberikan, sedangkan sudah ramai kakitangan jabatan dan agensi kerajaan terpilih menerima anugerah itu.

“Saya tahu mesti ada sesuatu tidak kena (berhubung pemberian anugerah) tetapi saya tidak boleh ubah kerana kita tidak ada satu sistem yang lebih baik untuk mengiktiraf kakitangan cemerlang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Selangor akan menggunakan dua sistem untuk menilai prestasi kerja kakitangan kerajaan iaitu SKP yang dilancarkan semalam dan sistem sedia ada, Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Beliau berkata, SKP dapat membantu memastikan prestasi kakitangan Kerajaan Pusat dan negeri dinilai dengan lebih objektif berbanding KPI yang penilaiannya hanya dibuat pada setiap akhir tahun.

No comments: