11 July 2007

Kaji tuduhan MB Selangor

Utusan Online

SURAT 1
SEBAGAI bekas pegawai kerajaan, saya dapati teguran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mengenai pemberian anugerah khidmat cemerlang secara membabi buta ada kebenarannya.

Penafian oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam tidak mencerminkan sikap terbuka dan menerima pandangan orang lain. Beliau kelihatan cuba menegakkan benang yang basah.

Beliau harus memandang tuduhan Menteri Besar sebagai serius dan perlu dibuat kajian mendalam. Jika didapati benar usaha menarik balik anugerah khidmat cemerlang kepada mereka yang tidak layak wajar dilakukan segera supaya mereka yang layak dapat merasai keadilan dilakukan.

Saya memuji teguran Menteri Besar Selangor kerana sudah tiba masanya anugerah khidmat cemerlang dikaji semula dan dilihat dari sudut yang lebih objektif dan telus. Mekanismenya perlu dipertingkatkan supaya tiada ruang orang yang tidak layak dipertimbangkan.

Setiap kali apabila senarai nama khidmat cemerlang diumumkan bilangan mereka yang diragui menerima adalah dalam lingkungan 1 peratus hingga 3 peratus. Bilangan ini terdiri dari persepsi rakan kerja bahawa mereka ini memang tidak layak mendapat khidmat cemerlang.

Perasaan tidak puas hati berlaku dalam semua jabatan dan agensi kerajaan. Ada kes di mana kaki ponteng dan pemabuk pun boleh dapat khidmat cemerlang.

Sebenarnya pemberian khidmat cemerlang banyak melibatkan unsur subjektif. Ia banyak bergantung kepada visibility quotient seseorang dan kebolehannya menjaga hati bos.

Dengan kata lain, kehebatan bermain politik ofis banyak mempengaruhi sama ada seseorang itu layak atau tidak.

Tidak dinafikan pemberian anugerah khidmat cemerlang ada juga kaitan dengan sikap bos ingin disayangi atau menjadi popular. Maka dikeluarkan arahan tidak bertulis supaya semua orang merasai sekurang-kurangnya sekali dalam kariernya.

Bos akan tanya semua pegawai siapa yang belum pernah mendapat khidmat cemerlang. Ini berlaku dalam jabatan kecil.

Pemberian khidmat cemerlang adalah untuk mengiktiraf kehebatan seseorang pegawai bekerja dan berinteraksi dengan orang lain.

Memang ada jawatankuasa yang menentukan kriteria dan syarat. Masalahnya calon yang diperakukan ada yang tidak layak. Tetapi siapa berani tegur keputusan bos.

Tabiat manusia sama ada dalam perkhidmatan awam atau politik ialah sentiasa mempertahankan orang kesayangannya berasaskan prinsip A Man Can Do No Crime If He Is Loved By His Boss.

Cabaran kepada pegawai atasan dalam perkhidmatan awam ialah bagaimana bersikap objektif, berkecuali, telus dan berdasarkan merit dalam memperakukan anugerah khidmat cemerlang.

Dengan kata lain bagaimana meletakkan kepentingan organisasi atas kepentingan individu? Bos yang membuat perakuan pula bagaimana? Adakah bos yang tidak cemerlang layak membuat perakuan anugerah khidmat cemerlang kepada pegawai dan stafnya?

Saya ucapkan syabas kepada Menteri Besar Selangor yang inovatif, progresif dan berani membuat perubahan agar anggota perkhidmatan awam negeri Selangor terdiri daripada orang yang berintegriti tinggi dalam pemberian dan penerimaan anugerah khidmat cemerlang.

Majlis anugerah khidmat cemerlang adalah satu majlis yang serius dan formal. Ia tidak harus menjadi laughing stock atau bahan ketawa, mencaci dan mengutuk. Walau apa pun sistem digunakan kelemahan manusia tetap berlaku.

– HASSAN TALIB,

Gombak, Selangor.

No comments: