24 March 2007

PTD tak boleh selesai masalah guru

Sumber : Berita Harian

SAYA tertarik dengan tulisan bertajuk ‘PTD mahu mantapkan pengurusan JPN’. Dulu guru, kini PTD’ yang disiarkan dalam ruangan ini, semalam. Amat murni niat Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) mahu memantapkan pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).


Soalnya apakah JPN akan mantap dan lebih baik dengan kehadiran pegawai PTD? Skim lain amat mengetahui niat PTD dalam semua kementerian dan jabatan. Kementerian yang saya duduki sekarang, walaupun ditadbir dan diuruskan PTD secara keseluruhannya, perkara yang dibangkitkan guru seperti pengurusan tidak cekap tetap berlaku.

Pada saya, jika berlaku pekerjaan tidak cekap, banyak perkara perlu diteliti dan diberi perhatian sama ada daripada prosedur kerja, pengetahuan pegawai yang ditugaskan, persekitaran kerja dan pelbagai lagi dan bukan meletakkan penyelesaian dengan menukar pengurusan kepada PTD.

Sedarkah bahawa jika pertukaran pengurusan di JPN ini berlaku, ketua pengurusan atasan di semua jabatan akan diketuai PTD seperti di cawangan kementerian saya sekarang yang diambil alih PTD dan sehingga hari ini setelah lebih setahun pengurusannya adalah lebih teruk berbanding pentadbiran lama.

Kecemerlangan pengurusan boleh diperoleh daripada mereka yang kreatif, berkemahiran dan berilmu pengetahuan. Mereka bukan datangnya daripada yang berjawatan PTD saja tetapi lahir daripada semua skim jawatan.

Justeru, sudah sampai masanya jentera kerajaan merombak semula metodologi pengurusan kerajaan di mana selama ini semua jawatan atasan seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha kementerian (KSU), ketua jabatan dan ketua lain yang selama ini dimonopoli PTD dibuka kepada semua skim melalui temu duga, peperiksaan dan keperluan jawatan.

SAYANGKAN KERAJAAN,
Putrajaya.

Yang Dipertua PBT dilantik pesuruhjaya bangunan – Najib

PUTRAJAYA 23 Mac – Kerajaan meluluskan pelantikan yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pesuruhjaya bangunan bagi membolehkan bangunan yang belum diserahkan Hak Milik Strata dikendalikan sepenuhnya oleh PBT.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan pelantikan itu, ia membolehkan bangunan-bangunan diselenggarakan dengan baik.

“Mesyuarat Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-57 hari ini meluluskan pelantikan itu untuk membolehkan bangunan diselenggara dengan baik, bangunan boleh dikendalikan oleh Yang Dipertua PBT sebagai pesuruhjaya bangunan, sebelum Hak Milik Strata diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MNKT di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Mengenai hasil MNKT, Najib berkata, kerajaan turut meluluskan kaedah baru dalam memproses permohonan untuk projek pembangunan tanah selaras dengan saranan Perdana Menteri untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan.

“MNKT buat beberapa keputusan untuk melihat satu kaedah baru dalam meluluskan projek untuk pembangunan melibatkan kerajaan dan swasta termasuk perumahan dan pelaburan yang memberikan kesan yang tinggi.

“Kaedah sekarang memakan masa terlalu lama, berdasarkan ketetapan Perdana Menteri maka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengkaji dengan mendalam satu sistem baru yang akan diguna pakai untuk proses tanah dalam pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kaedah baru itu akan diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 13 April ini dengan butiran lanjut dan konsep baru akan diterangkan oleh Perdana Menteri pada tarikh tersebut.

Selain kaedah baru tersebut, kata Najib, mesyuarat juga meluluskan perakuan siap dan permasalahan oleh profesional yang secara rasmi juga akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari berkenaan.

Sejurus diumumkan, kata beliau, semua kaedah baru itu akan dilaksanakan di peringkat bawahan.

Ditanya mengenai keadaan hujan kebelakangan ini sehingga mengakibatkan banjir seperti di Shah Alam baru-baru ini, beliau berkata, PBT akan memberi bantuan dari segi teknikal.

Kata beliau: “Apa yang berlaku terutama jika pemindahan (mangsa banjir) terpaksa dilakukan, kita akan buat waktu air naik tetapi sesetengah tempat memerlukan tindakan mengurangkan kesan banjir.”

Kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari: Cuepacs

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan semakan kenaikan gaji kakitangan awam yang akan diputuskan kerajaan perlu dibuat berkuat kuasa 1 Januari 2007, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman.


Katanya, Cuepacs sedang menunggu keputusan mengenai perkara itu yang sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika bertemu 11 anggota majlis tertinggi kongres itu pada 6 Mac lalu di bangunan Parlimen.

Beliau berkata, Cuepacs difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperhalusi tuntutan itu dan permohonan melanjutkan umur persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun.

“Jadi, kita berharap menjelang 1 Mei ini sempena sambutan Hari Buruh, JPA dan kerajaan akan selesai membuat semakan dan membuat pengumuman ‘keramat’ untuk semua kakitangan awam.

“Kita percaya sesuatu yang positif dan dinantikan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini kerajaan dilaporkan bersetuju mempercepatkan proses penilaian tuntutan kenaikan gaji bagi kakitangan awam.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan 11 anggota tertinggi Cuepacs di Parlimen, diketuai Omar pada 6 Mac lalu.

23 March 2007

Syor PTD terajui JPN rendahkan taraf pendidik

KUALA LUMPUR 22 Mac – Seorang Ahli Parlimen menyifatkan cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang bakal diterajui pegawai tadbir diplomatik (PTD) sebagai tindakan tidak berhati-hati dan tidak sensitif.

Dr. Muhamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana jawatan tersebut adalah hak golongan guru yang selama ini bertungkus-lumus memajukan anak bangsa.

‘‘Cadangan itu hanya akan menyebabkan berlakunya penurunan taraf golongan pendidik seperti mana nasib yang menimpa ke atas status Ketua Pengarah Pelajaran berbanding Ketua Setiausaha kementerian itu.

‘‘Pada satu ketika, taraf kedua-dua jawatan itu adalah sama tetapi akhirnya jawatan Ketua Setiausaha (yang diterajui PTD) adalah lebih tinggi daripada Ketua Pengarah.

‘‘Adakah adil perkara seperti ini berlaku sedangkan di bawah Ketua Pengarah terdapat kira-kira 350,000 guru yang bertugas di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail yang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan penstrukturan semula JPN yang bakal diterajui oleh PTD.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sebarang usaha untuk mengambil alih jawatan tinggi JPN oleh pegawai PTD pasti tidak dapat diterima oleh guru-guru.

Sementara itu, Razali dalam ucapannya mahu pihak Kementerian Pelajaran serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula cadangan itu kerana ia meresahkan warga pendidik di negara ini.

Beliau berkata, mereka yang bergelar guru tidak kurang hebatnya untuk mengurus dan seharusnya golongan itu terus diberi peluang untuk memegang jawatan penting di JPN.

‘‘Saya amat berharap pihak kementerian mengambil kira pandangan ini dalam usaha memastikan kemajuan tahap pendidikan kita terus berada di atas landasan yang betul.

‘‘Kita tidak mahu wujud sebarang rasa kurang senang di kalangan guru-guru kita ekoran cadangan ini,” tambahnya.

Sistem penyampaian terus diperkukuh: PM

Sumber : Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Azli Ayob

Pengumuman penting perbaiki mutu khidmat awam 13 April


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan membuat satu pengumuman penting mengenai langkah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam pada 13 April ini.

Perdana Menteri berkata, usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi matlamat penting dalam teras pentadbirannya bagi meningkatkan lagi iklim pelaburan negara.

“Penambahbaikan sistem penyampaian awam itu juga akan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2007 di sini, semalam.

Persidangan tahunan selama tiga hari itu, yang bermula semalam, dihadiri pelabur, pengurus dana, penganalisis dan tokoh perniagaan.

Abdullah berkata, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu kerana pelaburan di negara ini semakin bergantung kepada modal insan yang berkualiti tinggi.

“Sebab itulah, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan bertujuan meningkatkan kemampuan intelektual, kreativiti serta nilai generasi muda rakyat Malaysia.

“Kerajaan akan menentukan bahawa hubungan rapat industri dengan akademik dijalin pada peringkat pendidikan tinggi dan graduan kita dilengkapi kemahiran sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi akan turut dipertingkatkan di samping kerajaan terus bekerja keras menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam membuat perubahan, sama ada tindakan jangka sederhana atau jangka panjang, pendirian kerajaan berdasarkan kepada lima teras Misi Nasional dan didorong oleh matlamat untuk mencapai Wawasan 2020.

“Ia memerlukan perspektif sebenar terhadap sejarah negara dan penghayatan kepada aspirasi untuk masa depan. Ia juga memerlukan satu komitmen yang kuat ke arah usaha untuk membangunkan negara,” katanya.

Abdullah berkata, 2007 akan menjadi pengukur utama dalam menentukan tahap pertumbuhan dan perubahan bagi masa depan.

“Saya berpendapat 2007 akan menjadi satu lagi tahun kejayaan kepada Malaysia. Azam kita adalah kuat, kita sudah ada hala tuju, kita punyai iltizam, dan kita bertekad untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

20 March 2007

Gred pengetua sekolah kluster bermula DG52

Sunber : Berita Harian

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Kementerian perincikan kaedah pertingkat jawatan guru besar


KEMENTERIAN Pelajaran akan mempertingkatkan gred jawatan pengetua di sekolah kluster kepada DG52 ke atas berbanding kelaziman DG48 di sekolah menengah ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian juga akan memperinci kaedah mempertingkatkan gred jawatan guru besar sekolah kluster, berikutan tahap tertinggi bagi penyandang sedia ada di sekolah rendah ialah DGA34.

Dalam konteks ini, katanya, pengetua dan guru besar yang sedang menerajui sekolah terpilih sebagai sekolah kluster akan dikekalkan di institusi berkenaan.

Sambil menegaskan pengetua serta guru besar terbabit akan diberi latihan, beliau berkata, malah Menteri Pelajaran ada membangkit cadangan memperluaskan pendedahan mereka kepada kaedah pentadbiran sekolah cemerlang di luar negara supaya dapat diaplikasikan mengikut kesesuaian acuan sendiri kelak.

“Bagaimanapun apabila mereka bersara atau memperoleh pelantikan jawatan lain, kementerian akan memberi keutamaan kepada pengganti lebih muda dan masih lama dalam perkhidmatan.

“Ini supaya kita boleh tengok pencapaian kepemimpinan pengetua dan guru besar terbabit di sekolah kluster masing-masing,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Alimuddin berkata, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan mengumumkan senarai 30 perintis sekolah kluster di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 30 Mac ini.

Selepas itu, beliau berkata, kementerian akan membuka permohonan melalui iklan di akhbar kepada sekolah seluruh negara untuk memasuki kelompok cemerlang berkenaan.

Katanya, kementerian mensasarkan pemilihan 300 sekolah kluster menjelang akhir tahun ini tetapi bilangan itu boleh dipertingkatkan mengikut kesesuaian perkembangan semasa.

Beliau berkata, pemilihan sekolah kluster berkenaan merangkumi wakil lima kelompok dikenal pasti, iaitu sekolah rendah yang meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan/SJK Cina, SJK Tamil dan sekolah Orang Asli.

“Seterusnya, sekolah menengah pula meliputi sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik (SMT), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah harian, sekolah premier, sekolah 100 tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, serta sekolah model khas.

“Tiga kelompok lain ialah sekolah pendidikan khas (sekolah menengah pendidikan khas dan sekolah menengah pendidikan khas vokasional), institusi lepasan menengah (kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru), serta sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

“Dalam pemilihan sekolah kluster, tiga aspek utama diberi penekanan ialah kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah pelajar. Sebagai contoh dari segi kurikulum, kriteria permohonan untuk SBP ialah mencapai gred purata sekolah 2.5, SMKA (3.5), diikuti SMT dan sekolah menengah harian (4.0), manakala sekolah rendah pula lebih 80 peratus calonnya lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

“Apabila sesebuah sekolah yang layak mengemukakan permohonan kepada Jemaah Nazir Sekolah, penilaian akan dibuat termasuklah dari aspek kepemimpinan dan pengurusan,” katanya.

Di samping itu, Alimuddin berkata, Hishammuddin akan membuat pengumuman serta penyerahan watikah pelantikan Lembaga Penasihat Sekolah Kluster kepada 10 tokoh pendidikan, sosial, masyarakat serta ekonomi, 23 Mac ini.

Dalam pada itu, katanya, kementerian menganjurkan Bengkel Autonomi Sekolah Kluster selama dua hari bermula semalam yang dihadiri 300 peserta daripada kalangan pengetua, guru besar, guru, persatuan ibu bapa dan guru serta alumni, bagi mendapatkan input dan pandangan mengenai autonomi sekolah kluster.

19 March 2007

PTD ke JPN: NUTP perlu positif

Sumber : Utusan Online

Oleh: HASNURUL MOHAMED

JOHOR BAHRU 18 Mac – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlu bersikap positif berhubung cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelaja- ran Negeri (JPN) yang bakal diterajui pegawai Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar menegaskan, kemasukan pegawai PTD ke dalam JPN tidak akan menghalang kenaikan pangkat mana-mana Pengarah Pelajaran Negeri ataupun menggugat masa depan lebih 350,000 guru di negara ini.

‘‘NUTP perlu rasional dalam soal ini kerana penstrukturan JPN sudah dicadangkan sejak bertahun-tahun lamanya. Ia hanya akan terlaksana di bawah Menteri Pelajaran sekarang dan dibuat secara serentak di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan NUTP yang akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung cadangan meletakkan pegawai PTD menerajui JPN.

Noh ditemui selepas majlis penutupan Ekspo Pendidikan Negeri Johor 2007 di Plaza Angsana di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Zainal Abidin Osman serta Ahli Parlimen Parit Sulong merangkap Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor, Syed Hood Syed Edros.

Noh seterusnya berkata, NUTP juga tidak harus melihat kepada jumlah pegawai PTD yang akan diletakkan dalam JPN, sebaliknya kesatuan itu perlu melihat dari aspek keperluan penstrukturan semula di jabatan-jabatan pelajaran negeri.

Katanya, apa yang pasti ialah bilangan guru akan melebihi pegawai PTD, malah penstrukturan semula itu akan membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

‘‘Apabila pegawai PTD berada dalam JPN, hal-hal berkaitan pengurusan dan kewangan akan dilakukan oleh mereka (PTD) kerana mereka lebih arif dan profesional dalam bidang tersebut.

‘‘Saya menyeru kepada NUTP supaya melihat kebaikan yang bakal dinikmati kelak dan bukannya melihat dari aspek apa yang pegawai PTD dapat,” ujarnya.

Menurut Noh, jika usaha penstrukturan semula JPN itu memerlukan pindaan akta, pihak Kementerian Pelajaran akan melakukannya.

Cuepacs kecewa pemimpin kesatuan ‘dikacau’

Sumber : Berita Harian

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kesal dengan tindakan segelintir ketua jabatan kerajaan menindas dan menekan pemimpin kesatuan sehingga ada yang terpaksa melepaskan jawatan dalam kesatuan.


Presidennya, Omar Osman, berkata perbuatan menekan pemimpin kesatuan dengan menganggap mereka sebagai `pengacau' apabila mengusulkan sesuatu masalah untuk dibincangkan amat tidak wajar.

Katanya, Cuepacs melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius dan boleh melemahkan perjuangan kesatuan, selain turut merencat produktiviti serta mengganggu keharmonian di tempat kerja.

"Ketua jabatan seperti ini tidak layak menjadi ketua jabatan dan mereka sepatutnya bersyukur kerana kesatuan membangkitkan masalah dan mahu berbincang dulu dengan mereka.

"Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menganggap kesatuan kerja adalah satu perkongsian bijak, tetapi mereka (ketua jabatan) pula menganggap pemimpin kesatuan seperti pengacau," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 Kesatuan Pekerja Rendah Awam Cawangan Ipoh di sini, semalam.

Omar berkata, beliau menerima aduan mengenai ‘gangguan’ itu daripada beberapa kesatuan di seluruh negara membabitkan ketua jabatan kerajaan tertentu yang berfikiran negatif terhadap perjuangan kesatuan sekerja di tempat mereka.

"Sepatutnya ketua jabatan memberikan sokongan kepada pemimpin kesatuan dan ahlinya untuk meningkatkan moral dan semangat mereka.

"Malah, majlis hari ini (semalam) pun tidak ada seorang pun ketua jabatan yang hadir untuk memberikan sokongan atau mengambil tahu perkembangan kesatuan anak buah mereka.

"Sebaliknya, kita dengar pula ada kes pemimpin kesatuan pekerja ditekan sehingga terpaksa melepaskan jawatan dalam kesatuan dan melarang menggunakan dewan jabatan sehingga terpaksa menyewa di luar," katanya.

Omar berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan mengenai perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara.

Katanya, tindakan seperti itu akan memberi impak besar kepada perjuangan Cuepacs mengenai tuntutan kenaikan gaji kakitangan awam yang dilihat sebagai satu suntikan moral kepada golongan pekerja, sekali gus membantu mereka memperbaiki prestasi dan khidmat pelanggan.

Sementara itu, mengenai isu kenaikan gaji pekerja perkhidmatan awam, beliau berkata, pengumumannya akan dibuat Abdullah pada 1 Mei ini.