28 February 2008

Jawatan baru diwujud, ramai anggota tentera bakal naik pangkat

Utusan Online

BUTTERWORTH 28 Feb. — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, anggota tentera kini berpeluang menikmati kenaikan pangkat berikutan pengwujudan jawatan baru dalam pasukan itu.

“Selain pembukaan markas angkatan tentera yang baru di seluruh negara yang akan juga mewujudkan peluang jawatan baru, kerajaan juga telah bersetuju untuk mewujudkan 645 lagi jawatan Leftenan Kolonel,” katanya pada majlis perjumpaan dengan warga Pangkalan Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Telok Air Tawar dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Panglima TUDM, Tan Sri Azizan Ariffin.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, langkah mewujudkan jawatan baru merupakan antara usaha kerajaan untuk membangunkan angkatan tentera bukan sahaja dari aspek memperkukuh dan mempertingkatkan daya juang menerusi kelengkapan peralatan canggih, tetapi juga bagi menjamin kebajikan anggota sentiasa terpelihara.

Beliau berkata tahun lepas juga anggota tentera telah menerima kenaikan gaji yang melebihi kenaikan gaji kakitangan awam yang lain, di mana mereka mendapat kenaikan antara sembilan dan 42 peratus berbanding kenaikan bagi kakitangan awam antara 7.5 dan 35 peratus.

Najib berkata dengan kenaikan gaji itu, kini seorang anggota berpangkat prebet boleh memperolehi pendapatan antara RM1,400 dan RM1,500 sebulan, malah pemandu beliau yang berpangkat Sarjan kini memperolehi gaji sebanyak RM2,828 sebulan, yang lebih tinggi berbanding pendapatan anggota tersebut sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk mempertingkatkan kebajikan para anggota tentera, malah kini sedang menambah kuarters kediaman mereka.

“Di Pangkalan TUDM Butterworth, usaha sedang dijalankan untuk membina kuarters untuk anggota wanita, selain syarikat bas Rapid Pulau Pinang juga telah bersetuju untuk mengadakan perkhidmatan ke kuarters TUDM di sini bagi mengatasi masalah pengangkutan awam,” katanya. — BERNAMA