17 February 2009

Cuepacs: Utamakan Pekerja Kontrak Isi Jawatan Kosong Kerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- CUEPACS menggesa kerajaan mengutamakan 50,000 pekerja kontrak yang sedang berkhidmat bagi mengisi kekosongan yang ada dalam perkhidmatan awam.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin memberitahu Bernama bahawa ia merupakan langkah paling adil dan logik memandangkan para pegawai terbabit adalah berpengalaman dan kebanyakannya telah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, semalam bahawa pekerja dari sektor swasta yang diberhentikan akan ditawarkan kerja dalam perkhidmatan awam bagi mengisi 20,000 kekosongan dalam pelbagai jawatan.

Tambahan pula, Ahmad Shah berkata, para pekerja sektor swasta akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja perkhidmatan awam dan mungkin tidak dapat menyumbang dengan segera kerana terpaksa menjalani semula latihan dan ini akan memberi beban tambahan kepada kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata disebabkan gaji permulaan bagi sektor awam dan swasta berbeza, ia mungkin tidak menarik pekerja berpengalaman yang diberhentikan untuk menyertai perkhidmatan awam.

Beliau berkata, adalah normal bagi bakal calon dalam perkhidmatan awam akan ditawarkan penetapan gred dengan gaji permulaan yang ditetapkan.

"Malah, jika pekerja yang diberhentikan mempunyai pengalaman, ia tidak akan dipertimbangkan dan masih perlu diletakkan pada gaji permulaan berdasarkan gred dan jenis kerja yang ditawarkan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Rakyat melaporkan bahawa terdapat kira-kira 14,000 pekerja yang diberhentikan dan 45,000 pekerja yang diberhentikan sementara di negara ini, setakat 9 Feb.

-- BERNAMA

PDRM Lepasi Piawaian Interpol - Musa

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan kira-kira 44 peratus kes jenayah di seluruh negara tahun lepas, sekaligus melepasi piawaian kadar penyelesaian kes jenayah yang ditetapkan Interpol.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pencapaian itu adalah baik berbanding tahun 2007 apabila hanya 39.26 peratus kes jenayah diselesaikan.

"Ini jelas membuktikan kredibiliti PDRM dalam memerangi jenayah. Kadar penyelesaian kes jenayah yang dicapai tahun lepas jauh lebih tinggi daripada piawaian yang ditetapkan oleh Interpol iaitu 20 peratus.

"Tahun 2006 pula kita hanya menyelesaikan 32.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan PDRM peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Isnin.

Beliau berkata prestasi memberangsangkan itu adalah hasil pendekatan yang dilaksanakan iaitu komuniti kepolisan dan rondaan pencegahan jenayah yang efektif.

Musa berkata melalui konsep komuniti kepolisan semua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah serta Ketua Balai dikehendaki turun padang untuk berjumpa dengan masyarakat.

"Begitu juga dengan satu lagi pendekatan iaitu semua jabatan bersama-sama bekerja secara bersepadu dalam membuat risikan untuk menentang musuh yang sama iaitu penjenayah," katanya.

Musa berkata indeks jenayah negara juga menyaksikan penurunan sebanyak 0.98 peratus dengan sejumlah 209,000 kes dilaporkan pada 2008 berbanding 211,000 kes pada tahun sebelum itu.

"Pegawai dan anggota polis tidak harus leka dan bersedia menghadapi tahun yang lebih mencabar berikutan kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk negara kita.

"Masalah pengangguran serta pembuangan pekerja mungkin memberi implikasi terhadap indeks jenayah. Oleh itu kita perlu tingkatkan kemampuan untuk memastikan masyarakat bebas daripada ancaman jenayah," katanya.

-- BERNAMA

Public sector told to speed up projects

The Star

KUALA LUMPUR: Only 70% of the RM7bil economic stimulus package announced last November has been disbursed and Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wants the public sector to buck up in planning and implementing people-oriented projects.

The prime minister said that if the money was not spent quickly the Government’s effort to stimulate growth to cushion the impact of the global economic recession would not be realised.

“We understand that the allocation has been given, so it is the duty and responsibility of all of us to work as quickly as possible so that the projects can be implemented,” he said at the Defence Ministry’s monthly assembly here Tuesday.

Abdullah, who is also Defence Minister, said the country’s economic growth would be further boosted by a second stimulus package to be announced by Deputy Prime Minister and Finance Minsiter Datuk Seri Najib Tun Razak at the current Dewan Rakyat sitting.

“This will surely involve a big expenditure, maybe more than that given out last November.

“This calls for all of us (in the public sector) to work harder so that what has been allocated is implemented as soon as possible,” he said.

Abdullah said that in the current economic scenario, the public sector was regarded as important and with a big role to play in rehabilitating the economy to ensure that the many projects planned were implemented by the private sector, whose role was to catalyse economic economic growth.

“As we work to rehabilitate the economy as best we can, it is the Government’s policy for the private sector to be the catalyst of our economic growth,” he said. -- Bernama

SPA Ambil Alih Temuduga Jawatan Di PBT Perak

IPOH, 12 Feb (Bernama) -- Proses menemuduga pemohon bagi jawatan di kesemua 10 Pihak Berkuasa Tempatan di Perak yang kini dijalankan sendiri oleh PBT terbabit perlu diambil alih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Perak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T.Murugiah.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke perhatian Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk dipertimbangkan dalam masa terdekat memandangkan 13 pegawai SPA tidak mempunyai kerja dan ia menyebabkan pembaziran sumber manusia.

"PBT boleh tumpu kepada usaha pentadbiran dan pembangunan di kawasan mereka," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi SPA Perak Datuk Bahari Mohd Jabar di Pejabat SPA Negeri di Kompleks Islam di sini, Khamis.

Murugiah berkata kerajaan membayar RM186,814 setahun kepada lima ahli lembaga SPA Perak.

"Itu bukan satu jumlah yang kecil untuk dibazirkan begitu sahaja," katanya.

Suruhanjaya itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Mengenai satu perkara lain, Murugiah berkata beliau akan mengarahkan Biro Pengaduan Awam menyiasat laporan sebuah akhbar tabloid mengenai kegiatan pihak tidak bertanggungjawab "menjual" warga asing khususnya warga Bangladesh kepada majikan tempatan.

Menurut laporan itu, berpuluh-puluh warga Bangladesh yang tidak mempunyai pekerjaan dilambak dalam sebuah rumah di ibu negara dan dijual pada harga RM1,000 setiap seorang kepada majikan berminat.

-- BERNAMA

JPA Mesti Mampu Buat Perubahan Dinamik, Kata Abdullah

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mesti mampu membuat perubahan dinamik bukan hanya berkaitan dengan dasar tetapi yang amat penting daripada segi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata sektor awam tidak boleh berasa terlalu selesa tetapi perlu lebih inovatif dan kreatif dalam memperbaiki mutu perkhidmatan agar relevan dengan kehendak rakyat.

Katanya proses-proses kerja yang lapuk atau perkhidmatan tidak mesra rakyat perlu diteliti semula dan perkhidmatan hendaklah berorientasikan pelanggan.

"Keadaan persekitaran hari ini lebih mencabar dan telah banyak berubah berbanding 75 tahun dahulu. Pelanggan kita kini lebih terpelajar dan mempunyai harapan amat tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

"Globalisasi pula menuntut sesebuah negara mengasah lagi daya persaingannya dan sektor swasta mengharapkan perkhidmatan awam mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang kondusif kepada mereka untuk meningkatkan daya saing negara," katanya ketika merasmikan sambutan 75 tahun Jubli Intan JPA, bertemakan "Meniti Sejarah Merintis Kejayaan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.

Abdullah turut melancarkan buku bertajuk "Kuasa Tak Ketara, Pengaruh Tak Diheboh" mengenai sumbangan ketua-ketua pengarah perkhidmatan awam dari dulu hingga sekarang terhadap pembangunan negara.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah JPA Tan Sri Ismail Adam.

JPA ditubuhkan pada 22 Ogos 1934 dengan perkenan Raja-raja Melayu dengan nama asalnya Pejabat Perjawatan Malaya (Malayan Establishment Office) di Singapura, sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur pada 1954, yang kemudiannya pada tahun yang sama dikenali sebagai Federation Establishment Office.

Pada 1967, ia ditukar nama kepada Establishment Office of Malaysia dan seterusnya nama JPA digunapakai pada 15 Ogos 1968.

Abdullah berkata JPA diharap dapat menerajui usaha meningkatkan keupayaan untuk bersaing dengan mana-mana negara dalam apa jua bidang kerana ia menjadi institusi pertama untuk membentuk kekuatan dan keupayaan seseorang anggota perkhidmatan awam mencapai kejayaan bagi negara.

Beliau berkata penjawat awam juga mesti mempunyai suatu ciri yang boleh membezakannya dengan pekerja sektor lain iaitu apa yang dikenali sebagai "keperibadian pegawai awam."

Katanya tidak lengkap seorang penjawat awam jika hanya memiliki kelayakan yang tinggi daripada segi kemahiran dan pengetahuan tanpa memiliki nilai-nilai murni, nilai penting bagi penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan.

Beliau berkata sektor awam di negara ini turut disifatkan lebih baik berbanding beberapa negara lain terutama daripada segi gaji, imbuhan dan elaun kepada kakitangannya serta menyediakan peluang untuk meningkatkan kerjaya masing-masing pada tahap lebih tinggi.

Sebagai bekas warga JPA, Abdullah turut berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberi latihan amat baik dan pengalaman yang kini menjadi aset kepada beliau untuk melaksanakan tugasnya pada hari ini.

"Saya amat gembira apabila dilantik menjadi pegawai kerajaan dan kemudian saya ditempatkan di JPA. Saya dapati jabatan itulah yang paling sesuai bagi seseorang yang baru dilantik untuk mengetahui budaya perkhidmatan awam serta amalan dan pantang-larangnya," katanya.

Perdana Menteri mengingatkan warga muda JPA hari ini agar menghayati dengan lebih mendalam makna bertugas di jabatan itu, peranan dan tanggungjawabnya serta berusaha untuk menjadikan tempoh perkhidmatan di JPA dan perkhidmatan awam sebagai tempoh untuk menyemai bakti kepada negara dan masyarakat.

-- BERNAMA