14 July 2007

Polis naik pangkat tanpa temu duga 2008

Utusan Online

Oleh: WAN RAMLI WAN MUHAMAD

SETIU 13 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan skim perkhidmatan baru yang menetapkan kemajuan serta kenaikan pangkat anggota dan pegawainya tidak perlu lagi melalui proses temu duga bermula tahun depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka sebaliknya hanya perlu menjalani kursus selain penilaian prestasi oleh ketua dan sokongan rakan sekerja.

Menurutnya, skim tersebut yang dikenali sebagai Skim Perkhidmatan PDRM 2007 adalah usaha PDRM untuk memperkasakan perkhidmatan polis agar lebih dinamik dan ia telah diserahkan kepada kerajaan untuk kelulusan.

“Kalau mereka ini bekerja dengan baik, sokongan ketua dan rakan sekerja juga baik, maka mereka akan dimajukan dan dinaikkan ke pangkat yang lebih tinggi.

“Skim perkhidmatan ini adalah yang terbaik dan menarik berbanding skim perkhidmatan terdahulu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Pegawai Kanan Polis di Sutra Beach Resort di sini hari ini.

Menurutnya, di bawah cadangan skim itu, kemajuan pangkat bagi anggota berpangkat rendah meliputi Konstabel kepada Koperal, Koperal kepada Sarjan dan Sarjan Mejar kepada Sub-Inspektor.

Jelasnya, bagi kumpulan pegawai pula, kemajuan pangkat meliputi Inspektor kepada Asisten Supritendan, Deputi Supritendan kepada Supritendan dan Asisten Komisioner kepada Senior Asisten Komisioner.

Musa memberitahu, mereka hanya perlu menghadiri kursus untuk menilai sama ada mereka layak untuk menjadi penyelia atau tidak sebelum dimajukan ke pangkat yang lebih tinggi.

“Namun, bagi kemajuan pangkat daripada Deputi Supritendan ke Supritendan, mereka perlu mengikuti kursus dan lulus peperiksaan yang ditetapkan serta laporan ketua dan rakan sekerja.

“Untuk kemajuan pangkat daripada Asisten Komisioner kepada Senior Asisten Komisioner pula, mereka perlu menghadiri kursus pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk dinilai corak kepimpinan, pengetahuan, hubungan dengan agensi lain serta kertas kerja yang mereka buat sebelum layak ke pangkat yang lebih tinggi untuk menerajui kepimpinan PDRM,” ujarnya.

Bagi kenaikan pangkat pula, katanya, di peringkat pegawai rendah hanya daripada Sarjan kepada Sarjan Mejar manakala bagi pegawai kanan meliputi Asisten Supritendan kepada Deputi Supritendan dan Senior Asisten Komisioner kepada Deputi Komisioner.

“Mereka perlu menghadiri kursus untuk dinilai pengetahuan, etika kerja, integriti, kemampuan dan komitmen dalam menjalankan tugas dan apabila lulus barulah mereka diperakukan kenaikan pangkat daripada Sarjan kepada Sarjan Mejar,” tambah beliau lagi.

No comments: