12 July 2007

Kaki ponteng, pemabuk diiktiraf cemerlang

Berita Harian

SEBAGAI bekas pegawai kerajaan, saya mendapati teguran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo mengenai pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang ada kebenarannya.

Penafian Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam tidak mencerminkan sikap terbuka dan menerima pandangan orang lain. Beliau kelihatan cuba menegakkan benang basah.

Beliau harus memandang tuduhan Menteri Besar sebagai serius dan perlu dibuat kajian mendalam. Jika benar, usaha menarik balik Anugerah Khidmat Cemerlang kepada mereka yang tidak layak wajar dilakukan segera.

Saya memuji teguran Dr Mohamed Khir kerana sudah tiba masanya anugerah khidmat cemerlang dikaji semula dan dilihat dari sudut yang lebih objektif dan telus. Mekanismenya perlu pertingkatkan supaya tiada ruang orang yang tidak layak dipertimbangkan.

Setiap kali apabila senarai nama khidmat cemerlang diumumkan, bilangan mereka yang diragui menerima adalah dalam lingkungan satu hingga tiga peratus. Mereka memang tidak layak mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang.

Perasaan tidak puas hati dalam semua jabatan dan agensi kerajaan. Kaki ponteng dan pemabuk pun pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang. Sebenarnya pemberian itu banyak membabitkan unsur subjektif. Ia banyak bergantung pada visibility quotient seseorang dan kebolehan menjaga hati bos.

Kehebatan bermain ‘politik pejabat’ banyak mempengaruhi, sama ada seseorang itu layak atau tidak.

Tidak dinafikan pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang ada juga kaitan dengan sikap bos ingin disayangi atau menjadi popular. Maka, dikeluarkan arahan tidak bertulis supaya semua orang mendapat peluang itu sekali dalam kerjayanya.

Bos akan tanya semua pegawai siapa yang belum pernah mendapat khidmat cemerlang. Ia berlaku dalam jabatan kecil. Pemberian khidmat cemerlang adalah untuk mengiktiraf kehebatan seseorang pegawai bekerja dan interaksinya dengan orang lain.

Memang ada jawatankuasa yang menentukan kriteria dan syarat. Masalahnya, ada calon yang diperakukan tidak layak, tetapi siapa berani tegur keputusan bos. Tabiat manusia, sama ada dalam perkhidmatan awam atau politik adalah sentiasa mempertahankan orang kesayangan.

Cabaran kepada pegawai atasan dalam perkhidmatan awam ialah bagaimana bersikap objektif, berkecuali, telus dan berdasarkan merit dalam memperakukan anugerah khidmat cemerlang.

HASSAN TALIB,
Taman Melewar Indah, Gombak.

No comments: