09 May 2007

NUTP sokong beri Elaun Balik Kampung guru di pedalaman

Berita Harian


PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengalu-alukan pemberian Elaun Balik Kampung (EBK) kepada keluarga guru dan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada guru dan anggota sokongan yang bertugas di pedalaman.

Presidennya, Anuar Ibrahim, berkata langkah itu amat bertepatan kerana guru dan kakitangan sokongan terbabit terpaksa menempuh pelbagai cabaran ketika berkhidmat di pedalaman.

Katanya, NUTP yakin pemberian elaun akan meningkatkan komitmen dan motivasi guru serta anggota khidmat sokongan untuk berkhidmat lebih lama di sekolah pedalaman, khususnya Sabah dan Sarawak.

"Kita memang menunggu pengumuman ini kerana guru yang berkhidmat di pedalaman dihantui pelbagai masalah termasuk terpaksa menanggung rindu akibat berjauhan dengan keluarga dan kos pengangkutan tinggi untuk pulang ke kampung," katanya semalam.

Kelmarin, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan EBK sekali setahun kepada guru yang bertugas di pedalaman diperluaskan kepada anggota keluarga, manakala EKMLTK diberikan kepada anggota khidmat sokongan yang ditempatkan di pedalaman, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Beliau berkata, langkah itu sejajar usaha kementerian memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kebajikan guru dan anggota khidmat sokongan terbabit.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pemberian elaun berkenaan juga mampu meningkatkan minat guru muda memohon berkhidmat di pedalaman, terutama Sabah dan Sarawak.

"Saya percaya pendidik terutama guru muda kini lebih bersemangat bertugas di luar bandar kerana tidak perlu bimbang masalah kewangan untuk balik ke kampung setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah, Sani Sakwi, berkata pihaknya mengalu-alukan elaun itu kerana ia penghargaan kepada pengorbanan guru.

Beliau yang berasal dari Johor dan berkhidmat lebih 20 tahun di Sabah berkata, langkah itu mampu meningkat semangat guru untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang pada masa depan.

No comments: