07 May 2007

Semakin Ramai Kakitangan Awam "Miskin" Di Kawasan Bandar

Oleh Zulkiple Ibrahim

Dua puluh tahun yang lalu, Mohd Pauzi Sakiran, yang ketika itu berusia lima tahun, tinggal bersama keluarganya di sebuah kuarters kerajaan di Berjuntai Tin (sekarang dikenali sebagai Berjuntai Bistari), Batang Berjuntai di Kuala Selangor, 70 km dari sini.

Bapanya, Sakiran Njah, seorang kerani berumur 40 tahun berulang-alik ke tempat kerja beliau, di Pejabat Daerah Kuala Selangor, dengan menaiki motosikal Honda Cup. Masa itu, harga minyak hanya lebih kurang 40 sen satu gelen.

Gaji Sakiran RM450.00 sebulan, ketika itu dikira "amat besar" dan keluarga enam orang itu hidup dengan agak mewah di kuarters tersebut.

Sekarang, Mohd Pauzi yang merupakan seorang pegawai pentadbir di sebuah agensi kerajaan, tinggal bersama isteri dan lima orang anak di Bandar Tasik Puteri, Rawang, 40 km dari sini.

Gaji bulanan Mohd Pauzi adalah lapan kali lebih besar daripada apa yang diterima bapanya yang juga kakitangan kerajaan.

"Setelah dipotong apa yang saya perlu bayar setiap bulan, jumlah yang tinggal hanya cukup-cukup untuk kami enam sekeluarga makan," katanya.

KAKITANGAN MISKIN

Kata Mohd Pauzi gaji kasar RM3,600 yang diterimanya mungkin agak besar bagi orang lain, tetapi pada hakikatnya hanyalah "cukup-cukup makan" bagi beliau dan kakitangan-kakitangan kerajaan yang mengalami masalah sama.

Katanya, gaji itu dipotong untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta cukai pendapatan.

"Jika dikira dengan segala potongan (dari gaji kasar) serta pembayaran ansuran bulanan untuk kereta dan rumah, lebih separuh dari gaji saya sudah 'hilang'. Lepas tu kena bayar bil air dan elektrik, tak masuk lagi duit untuk bayar keperluan harian serta minyak kereta".

Mengikut Mohd Pauzi, yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, gaji beliau yang menunjukkan empat angka menyebabkan anak-anaknya tidak layak untuk skim bantuan pinjaman buku teks.

"Nasib baik kerajaan ada memberi bonus untuk kakitangannya pada hujung tahun, kalau tidak terpaksalah saya berhutang untuk membeli peralatan sekolah," kata Mohd Pauzi, sambil menambah isterinya tidak bekerja kerana menjaga anak-anaknya yang lain.

"Kalau dia bekerja pun, tak ada banyak bezanya untuk pendapatan kami sekeluarga kerana bayar orang untuk jaga anak pun dah cecah RM500," kata Mohd Pauzi.

NASIB YANG SAMA

Yusri Che Mat, 25, seorang guru, memahami masalah yang dihadapi Mohd Pauzi.

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, gaji kasar beliau ialah cuma RM1,800 sebulan.

"Lebih separuh daripadanya digunakan untuk bayar ansuran kereta dan rumah," kata Yusri yang tinggal di Kampung Melayu Subang dekat sini.

Kata Yusri, untuk mendapat wang lebih beliau terpaksa bekerja sebagai guru kelas tuisyen di Bandar Pinggiran Subang, tak jauh dari rumahnya.

"Daripada wang RM400 yang saya dapat mengajar tuisyen, dapatlah saya beri sedikit kepada orang tua saya," tambah beliau.

KERJA YANG STABIL

Ramai yang ingat bekerja sebagai kakitangan kerajaan menjanjikan gaji yang baik.

"Kerja yang stabil memang betul, tapi jika kata gaji yang baik, tak semestinya," kata Osman Zainal, seorang pesara kerajaan.

Mengikut Osman, kerja di sektor kerajaan memang stabil kerana tiada pemberhentian kerja di waktu-waktu yang kritikal.

"Masih ingat tahun-tahun kegawatan ekonomi selepas 1997 di mana banyak negara Asia mengalami krisis kewangan, mana ada kakitangan kerajaan kena berhenti kerja dan mereka tidak perlu bimbang kerana kerja mereka stabil.

"Tapi bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, ramai yang merana kerana terpaksa berhenti kerja. Banyak kilang yang tutup, dan ramai orang hilang pekerjaan," katanya.

Bekerja dengan sektor swasta memang menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, seperti bonus bulanan dan keistimewaan lain, tetapi kakitangan kerajaan tidak perlu runsing bila berlakunya kegawatan ekonomi, kata Osman.

KAWASAN PEDALAMAN

"Sebenarnya kakitangan kerajaan di kawasan pedalaman dapat hidup dengan lebih mewah," kata Kamariah Othman, seorang jururawat.

Mereka dapat tinggal di kuarters kerajaan serta menikmati kos hidup yang jauh lebih rendah, jelas beliau.

"Sebenarnya bekerja di luar bandar mendatangkan kurang tekanan pada mental dan juga sumber kewangan. Kalau nak kena sewa rumah pun, sewanya adalah lebih rendah daripada kadar di kawasan bandar," kata Kamariah.

CUEPACS

Kongress Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Sektor Awam (Cuepacs) telah memohon agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara 10 hingga 40 peratus kepada kakitangan awam.

Pada 2 April lepas di satu majlis di Kota Baharu, presiden Cuepacs Omar Osman berkata ramai kakitangan awam yang mendapat gaji bulanan RM2,500 atau kurang terpaksa bekerja sambilan untuk mencari wang lebih bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Seramai 800,000 dari 2.1 juta kakitangan awam terpaksa bekerja sambilan untuk mencari pendapatan lebih, kata Omar.

Tambah beliau, 10 peratus daripada pemandu teksi di Lembah Klang adalah kakitangan kerajaan.

Kata Omar lagi, jika kakitangan mendapat pendapatan yang cukup untuk sara hidup mereka, kejadian rasuah dapat dikurangkan dan sistem penyampaian dapat dipertingkatkan lagi. -- BERNAMA

No comments: