11 May 2007

Tujuh lagi Atase Kastam dilantik

Berita Harian

Kabinet harap atasi kes isytihar harga rendah


PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan permohonan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk menempatkan Atase Kastam di tujuh negara terutama pengeluar kereta dan barang elektrik bermula tahun ini bagi menangani masalah pengimport mengisytiharkan harga di bawah nilai sebenar.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata keputusan itu dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri selepas pihaknya mengemukakan cadangan berhubung perkara terbabit, baru-baru ini.

“Maklum balas yang kami terima amat positif apabila Kabinet bersetuju untuk menempatkan Atase Kastam di China dan Amerika Syarikat tahun ini,” katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan menempatkan Atase Kastam di China dan Amerika Syarikat itu dibuat selepas KDRM mengambil kira nilai perdagangan negara berkenaan dengan Malaysia yang semakin meningkat

Setakat ini, Atase Kastam hanya ditempatkan di Brussels, Belgium bagi menangani masalah pengimport mengisytiharkan harga barang terutama kereta mewah terpakai dan barang elektrik bawah nilai sebenar.

Abdul Rahman berkata, tiga lagi Atase Kastam akan ditempatkan di Dubai, Australia dan Jepun mulai tahun depan manakala dua lagi iaitu masing-masing di Indonesia dan Korea dijangka bermula 2009.

“Apabila semua tujuh Atase Kastam itu ditempatkan secara berperingkat-peringkat maka kita berharap perkara berhubung pengisytiharan harga di bawah nilai sebenar dapat diatasi sekali gus mengelak kerajaan mengalami kerugian pendapatan cukai,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan Atase Kastam di beberapa negara pengeluar kereta dan barang elektrik yang menjadi sumber import bagi Malaysia boleh memberi kesan apabila KDRM menghadapi masalah berkaitan perisytiharan harga.

“KDRM terpaksa menghantar pakar ke negara itu yang kadangkala sehingga setengah bulan kerana mereka juga mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak berikutan ketiadaan atase yang membantu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, agensi itu pernah mengalami kes seperti sebuah syarikat pengimport membawa masuk peti sejuk dari China tetapi mengisytiharkan harganya serendah hanya RM8 seunit dan ia sudah tentu tidak masuk akal.

Katanya, sebelum ini KDRM sudah menghantar pegawai mereka ke beberapa syarikat pengeluar dan penjual kereta di luar negara dan langkah itu didapati berkesan dalam mengurangkan kegiatan mengisytiharkan harga di bawah nilai sebenar.

Beliau berkata, pegawai kanannya turut dihantar melawat beberapa negara termasuk Jerman, Jepun dan Singapura bagi mendapatkan maklumat terperinci harga sebenar kenderaan dan berhubung dengan rakan sejawat di negara berkenaan untuk bertukar maklumat risikan serta dokumen.

No comments: