09 May 2007

Harap kenaikan gaji ikut cadangan CUEPACS

KUALA LUMPUR 8 Mei – Kesatuan sekerja yang menyambut baik pengesahan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, berharap ia mengikut cadangan yang dikemukakan CUEPACS.

CUEPACS dalam memorandumnya kepada Perdana Menteri Januari lalu meminta kenaikan gaji 10 hingga 40 peratus bagi 1.2 juta kakitangan awam mengikut kumpulan gred.

Presiden CUEPACS Omar Osman berharap kerajaan akan memanggil kongres itu untuk berbincang jika terdapat pindaan yang ketara sebelum pengumuman dibuat yang dijangkakannya dalam bulan ini juga.

“CUEPACS berharap semakan kenaikan gaji 40 peratus untuk Kumpulan Sokongan II (Gred 1-16) dapat dikekalkan kerana jika ia dikurangkan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang besar perbezaaan gaji tidak tercapai,” katanya dalam reaksi beliau terhadap pengesahan Abdullah itu hari ini.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa CUEPACS terpaksa menolak jika permintaan kenaikan itu diturunkan kerajaan hingga ke garis minimum.

Perdana Menteri semalam berkata, gaji kakitangan awam akan dinaikkan tetapi peratusannya berbeza antara pegawai kanan dengan kakitangan rendah bagi memastikan jurang perbezaannya tidak begitu ketara.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud turut berharap pengumuman yang bakal dibuat benar-benar mencerminkan kenaikan yang boleh dibanggakan.

“Jika kerajaan memenuhi kenaikan sebanyak antara 10 hingga 40 peratus oleh CUEPACS, ini bukan sahaja menggembirakan kakitangan awam tetapi juga ahli keluarga mereka kerana ia memberi kesan yang baik,” katanya.

Signifikan

Beliau berharap kenaikan itu akan menjadi signifikan kepada kakitangan awam iaitu dapat membantu mereka menghadapi kos hidup yang semakin meningkat.

“Kita harap kenaikan itu dapat mengatasi perubahan hidup bagi pekerja yang berpendapatan rendah dan ada lebihan untuk mereka menabung untuk hari tua di samping menampung perbelanjaan kecemasan seperti perubatan,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya dan Air, Muslim Ismail yang menyambut baik perhatian yang diberikan Perdana Menteri itu berharap formula kenaikan gaji bagi kakitangan kumpulan rendah akan memuaskan hati mereka.

“Kami berharap jurang perbezaan dengan kumpulan pegawai tinggi tidak jauh sangat,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) A. Munian turut mengalu-alukan khabar gembira daripada Perdana Menteri sendiri.

Beliau berkata, kakitangan rendah DBKL selama ini dibebani kos hidup yang tinggi sehingga ada antara mereka bekerja sambilan sebagai pemandu teksi dan pengawal keselamatan.

“Kami cuma berharap kenaikan itu berpatutan dan jangan terlalu rendah daripada tuntutan 40 peratus. Selain itu kami juga berharap kenaikan gaji ini akan meningkatkan produktiviti pekerja,” katanya.

– Bernama

No comments: