09 May 2007

Merapatkan jurang perbezaan gaji

Rencana Pengarang

Utusan Online


PENGUMUMAN awal Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam adalah ‘berita gembira’ yang dinanti-nantikan selama ini terutama golongan berpendapatan rendah.

Biarpun maklumat terperinci mengenai semakan gaji itu yang kali terakhir dilakukan pada 1992 hanya diumumkan pada 21 Mei ini, tetapi ia sudah cukup bermakna dan melegakan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam terbabit.

Ternyata, luahan kira-kira 850,000 kakitangan kumpulan sokongan I dan II (bukan pegawai) agar kerajaan menyemak semula gaji mereka dalam mengharungi kos kehidupan yang semakin tinggi, telah mendapat perhatian kerajaan – sekali gus membuktikan keprihatinannya dalam membela nasib rakyat jelata.

Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan menggunakan formula yang mengambil kira jurang pendapatan antara kakitangan kumpulan rendah dan pegawai tinggi dalam mengkaji semakan gaji itu.

Dengan kos harga rumah, barangan keperluan dan persekolahan anak-anak serta petrol yang semakin meningkat, semakan gaji baru ini akan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dipikul selama ini.

Tambahan pula gaji pokok bagi kumpulan pekerja rendah dalam sektor awam seperti jawatan pembantu am pejabat, atendan kesihatan dan pemandu hanyalah sebanyak RM485 sebulan.

Justeru, keputusan kerajaan untuk menyemak semula skim gaji itu selepas disuarakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuktikan kepekaan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup para pekerja terutama kumpulan rendah di pelbagai agensi sedia ada.

Persoalannya, dengan mengambil kira formula untuk merapatkan jurang pendapatan antara kumpulan rendah dan pegawai kerajaan, adakah ini akan memungkinkan gaji kakitangan rendah dinaikkan hingga 40 peratus?

Bagi pegawai tinggi kerajaan pula, kenaikan minimum 10 peratus sekalipun sebenarnya satu pertambahan yang agak besar kerana rata-rata mereka mempunyai pendapatan tinggi kerana diberikan pelbagai elaun lain.

Diharapkan, pegawai tinggi kerajaan tidak berasa kecil hati terhadap semakan gaji yang akan diumumkan nanti walaupun memperoleh peratusan yang sedikit.

Apa yang diharapkan, kenaikan gaji itu nanti tidaklah dianggap sebagai ‘satu kemenangan’ perjuangan kesatuan sekerja terhadap kerajaan tetapi mereka perlu menanam tekad dan azam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Semangat, iltizam dan kegigihan yang ditunjukkan pekerja awam sebenarnya memberi gambaran positif terhadap kerajaan di mata masyarakat Malaysia dan rakyat asing dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang lagi terbilang.

Seperkara yang penting, janganlah kenaikan gaji kakitangan awam turut mendorong kepada kenaikan harga barangan keperluan dan akhirnya dilihat seperti ‘walhasil balik asal’ – pekerja kumpulan rendah terus menanggung beban kehidupan.

No comments: