11 May 2007

Gaji baru perlu realistik


Kerajaan kena ambil kira kemampuan kewangan, prestasi kakitangan

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu realistik dalam memberi kenaikan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dengan mengambil kira prestasi dan produktiviti mereka serta kemampuan kewangan kerajaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja Sektor Awam, semalam membincangkan beberapa perkara berkaitan terma dan syarat dalam sektor itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang keputusan dibuat kerana masih banyak perkara yang perlu dibincang dan diperhalusi sebelum perincian kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan.

“Apa sekalipun, faktor paling penting ialah kita perlu realistik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam. .

Isnin lalu, Abdullah yang juga Menteri Kewangan mengesahkan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan dinaikkan, tetapi peratusannya berbeza antara pegawai kanan dengan kakitangan rendah bagi memastikan jurang perbezaannya tidak begitu ketara.

Cuepacs pada 11 Januari lalu mengemukakan memorandum kepada kerajaan memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan ia perlu disesuaikan dengan kos sara hidup semasa.

Dalam memorandum itu, Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi kakitangan awam Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam). Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.

Ditanya sama ada wujud faktor sampingan lain yang akan dipertimbangkan sebelum penyelarasan gaji kakitangan awam diputuskan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengeluarkan pekeliling mengenainya.

"Saya bukan hanya bercakap mengenai perkara ini. Saya juga mempunyai perkara kecil lain (yang dibincangkan) dan akan diketahui selepas pekeliling itu dikeluarkan," katanya.

Menjawab soalan sama ada mesyuarat berhubung perkara itu sudah sampai ke peringkat akhir, Abdullah berkata: "Ada lagi, ada lagi, ada lagi... tak habis lagi."

Ditanya sama ada keputusan kenaikan gaji itu akan diumumkan pada majlis perhimpunan kakitangan awam bersama Perdana Menteri 21 Mei ini, seperti yang diharapkan Cuepacs, Abdullah berkata: “Tengoklah.”

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2007 di Kuala Lumpur pula, Abdullah berkata, soal kenaikan gaji Perdana Menteri, timbalannya serta menteri Kabinet setakat ini tidak dibincangkan langsung.

Ketika itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz yang turut hadir pada sidang akhbar itu, menyampuk: “Kami tak ada niat pun,” dan sambil ketawa berkata: “Walaupun kami berharap.”

Sementara itu, Abdullah berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap kontraktor yang melanggar perjanjian dengan membuat kerja tidak bermutu ketika menyelenggara bangunan kerajaan.

"Jika mereka melanggar perjanjian, sudah tentu tindakan akan dikenakan,” katanya merujuk isu runtuhan siling dan kesan retakan pada dinding Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan sambungan paip patah di Kompleks Ibu Pejabat Imigresen serta runtuhan kepingan dan kerangka keluli pengikat siling kaca lepa di dewan serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, baru-baru ini.

No comments: