07 May 2007

Gaji lebih penting berbanding usia bersara

Berita Harian

Isu melanjutkan usia bersara daripada 56 kepada 60 tahun bagi kakitangan awam hangat diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan maklum balas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula mendapati jabatan itu menyokong dan akan memanjangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri untuk keputusan muktamad.

Sebagai kakitangan awam, saya mempunyai pandangan berbeza mengenai cadangan itu.

Adalah kurang wajar perlanjutan usia persaraan membabitkan semua peringkat dan jenis perkhidmatan. Cuba kita bayangkan pada usia 57 atau 58 tahun bagi anggota bomba, polis, wadar penjara, kakitangan sokongan rendah seperti tukang kebun, tukang sapu mahupun kakitangan JKR, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan pelbagai lagi termasuk guru – sekadar menyebut beberapa contoh – untuk mencurahkan sisa-sisa tenaga yang ada dengan penuh komitmen seperti usia 30 atau 40-an mereka dulu.

Sudah tentu pada usia sebegitu, kemampuan dan tenaga yang dimiliki semakin berkurangan walaupun semangat dan rasa tanggungjawab masih tinggi. Sebahagian besar kita sudah ‘penat’ bekerja. Sesetengahnya pula dibebani pelbagai masalah kesihatan.

Melakukan kerja yang sama atau hampir sama selama lebih 30 tahun akan menimbulkan rasa bosan kepada kebanyakan manusia, kecuali mereka menikmati kenaikan gaji dan pangkat. Itupun sebilangan kecil saja yang berjaya menikmatinya. Tugas yang memerlukan kekuatan tenaga seperti anggota bomba, wadar dan polis lebih sesuai dilaksanakan oleh mereka dalam usia 20-an hingga 40-an. Begitu juga tugas yang memerlukan tumpuan minda dan tenaga yang banyak seperti guru, kurang sesuai dipraktikkan pada usia menghampiri 60 tahun.

Malah, pada masa ini ramai guru memohon bersara awal dan bukan untuk dilanjutkan usia persaraan mereka, tetapi tidak diluluskan Kementerian Pelajaran. Tekanan yang tinggi dalam tugas menyebabkan minat mereka untuk terus berkhidmat semakin menyusut.

Seharusnya permohonan kakitangan awam untuk bersara awal diluluskan secara automatik kerana mereka memilih untuk tidak mahu bekerja lagi. Menghalang mereka bersara awal seumpama memberikan gaji percuma kerana mereka sudah menyatakan tidak berminat untuk bertugas, tetapi sebaliknya ‘dipaksa’ terus bekerja.

Cadangan lebih rasional bagi isu ini ialah seperti berikut:

  • Memberi kenaikan gaji seperti tuntutan Cuepacs sesuai dengan kenaikan kos hidup masa kini. Pada masa ini, kakitangan awam menjadi semakin ‘miskin’ disebabkan kuasa beli semakin rendah akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

    Pada usia melepasi 56 tahun, kebanyakan kita tidak mempunyai tanggungan yang besar berbanding usia 30-an hingga 50-an dengan pelbagai komitmen perlu dilaksanakan seperti pendidikan anak, membayar rumah, kenderaan dan lain-lain yang sangat mendesak.

  • Lanjutan usia bersara dilaksanakan kepada perkhidmatan tertentu seperti doktor, pensyarah, pengurusan tertinggi jabatan Jusa B ke atas dan perkhidmatan kepakaran yang tidak menuntut kekuatan tenaga seperti juru x-ray, ahli farmasi dan lain-lain.

  • Syarat lanjutan usia persaraan hendaklah tertakluk kepada keadaan kesihatan yang baik, perkhidmatan cemerlang, tiada kes , sokongan ketua jabatan dan kesukaran mendapatkan pengganti bagi jawatan itu. Kakitangan awam tidak perlu membuat pilihan sekarang tetapi pada tahun akhir perkhidmatan (56 tahun) atau dua tahun sebelum itu berdasarkan syarat tadi.

  • Perlanjutan usia dilaksanakan secara berperingkat – contohnya pada masa ini dilanjutkan setahun saja kepada 57 tahun, bagi mengimbangi beban kewangan kerajaan membayar gaji tinggi kepada kakitangan yang sepatutnya sudah bersara.

  • Menangguhkan tuntutan Cuepacs ini adalah lebih utama bagi memberi peluang kepada siswazah dan lepasan sekolah yang begitu ramai menganggur, tetapi mempunyai minat dan tenaga yang boleh dioptimumkan dalam perkhidmatan awam.

    Justeru, adalah sangat wajar bagi kerajaan mengutamakan tuntutan kenaikan gaji yang komprehensif kepada anggotanya berbanding melanjutkan usia bersara yang sudah tentu lebih membebani kewangan kerajaan selain menyekat peluang anak kita untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam.

    ‘Kemiskinan’ kakitangan awam kini memaksa mereka melakukan kerja sambilan yang sudah tentu akan menjejaskan kualiti perkhidmatan selain merenggangkan hubungan kekeluargaan akibat lebih banyak masa bekerja di luar rumah.

    Keupayaan kerajaan untuk menerima semua tuntutan Cuepacs adalah terhad kerana kerajaan juga bertanggungjawab terhadap semua lapisan masyarakat, bukan kakitangan awam saja.

    Oleh itu ‘melaksanakan mengikut keutamaan’ adalah lebih baik daripada memenuhi semua tuntutan tetapi tidak menyelesaikan masalah utama, iaitu keperluan membiayai kos hidup masa kini.

    ZAB BAKAR,
    Bandar Tenggara, Johor.
  • No comments: