Showing posts with label JPA. Show all posts
Showing posts with label JPA. Show all posts

06 May 2010

Jangan tangguh kepulangan – JPA

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Mei – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memutuskan pelajar-pelajar dalam semua bidang pengajian yang ditaja dengan biasiswa di luar negara tidak lagi dibenarkan untuk membuat sebarang penangguhan pulang ke tanah air atas apa alasan sekalipun.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan Kerajaan sama ada secara biasiswa atau pinjaman pelajaran hendaklah kembali ke Malaysia untuk menjalani housemanship setelah tamat pengajian.

Dalam aspek ini, kata beliau, para pelajar di dalam bidang kritikal akan mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran dan sub-kepakaran semasa mereka berkhidmat kelak.

“Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan dasar penangguhan balik sedia ada yang memberi kebenaran kepada pelajar-pelajar tajaan kerajaan untuk menangguhkan kepulangan mereka selepas tamat pengajian.

“Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara, para pelajar di dalam bidang tersebut perlu kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat pekeliling perkhidmatan bilangan 2 tahun 2010 berhubung Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, para pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja dengan biasiswa dibenarkan untuk memohon penangguhan kepulangan kerana melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran atau menunggu pasangan yang ditaja oleh agensi kerajaan untuk menamatkan pengajian.

Ismail memberitahu, kerajaan tidak pernah membenarkan pelajar tajaannya untuk berkahwin semasa di dalam tempoh pengajian masing-masing.

“Ia kecuali dengan kebenaran Kerajaan dan sebarang risiko yang dihadapi berhubung ketetapan yang disyaratkan oleh pihak penaja hendaklah dipatuhi sepenuhnya termasuklah mematuhi arahan balik ke Malaysia serta-merta.

“Makluman awal diberikan oleh agensi penajaan Kerajaan kepada semua pelajar yang telah berkahwin dan mempunyai pasangan yang masih di dalam pengajian bahawa tiada lagi kebenaran penangguhan balik untuk menunggu pasangan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, untuk pelajar yang ditaja secara pinjaman pelajaran sama ada bagi bidang kritikal ataupun bukan kritikal dibenarkan untuk membuat penangguhan balik bergantung kepada pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Penguatkuasaan dari segi arahan lapor diri dan memastikan pelajar membuat pembayaran balik pinjaman perlu diberi penekanan dan usaha ke atas penguatkuasaan itu dipertingkatkan,” katanya.

23 March 2010

Lebih Ramai Penjawat Awam Berpeluang Dalami Ilmu Undang-Undang - Ismail

BANGI, 23 Mac (Bernama) -- Lebih ramai penjawat awam yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan berpeluang mendalami ilmu undang-undang dalam usaha kerajaan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan lebih banyak kursus berikutan sambutan mengalakkan yang diterima daripada pejawat awam untuk mengikuti dua kursus penguatkuasaan undang-undang yang diadakan tahun lepas.

"Memandangkan banyak permohonan yang diterima, JPA akan kaji perkara itu dan mungkin lebih banyak kursus akan diadakan pada masa depan menerusi kerjasama dengan universiti tempatan lain selain Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Ismail berkata kursus yang julung kali diadakan itu khas kepada penjawat awam yang tidak berkelulusan undang-undang dan terbuka untuk semua tanpa mengira pangkat.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil dan diploma kepada peserta kursus Diploma Eksekutif Undang-Undang Penguatkuasaan dan 'Sijil Eksekutif Undang-Undang Penguatkuasaan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) Jabatan Perdana Menteri.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama ILKAP dan UiTM itu disertai 27 peserta peringkat diploma dan 19 peserta peringkat sijil.

-- BERNAMA

19 March 2010

JPA sedia syarat pengecualian potongan pampasan pesara

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Bakal Pesara Hampa pada 3 Mac lalu bertajuk ‘Pesara Bantah Potong Pampasan’.

Persaraan pilihan ialah keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Bakal Pesara Hampa pada 3 Mac lalu bertajuk ‘Pesara Bantah Potong Pampasan’.

Persaraan pilihan ialah keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.
‘Pampasan’ yang dimaksudkan Bakal Pesara Hampa ialah ganjaran yang hanya dibayar 20 peratus atau RM10,000 mengikut mana yang lebih ketika bersara. Baki dibayar pada tarikh ditetapkan kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib mengikut syarat perlantikan atau opsyen umur persaraan wajib.

Peraturan ini hanya bagi persaraan pilihan yang berkuat kuasa selepas 1 Februari lalu. Namun, surat edaran JPA ‘Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Persaraan Pilihan’ pada 25 Januari lalu jelas menyatakan ada kelonggaran atas sebab seperti:

Rawatan perubatan diperlukan anggota atau keluarga. (Berasaskan surat akuan bertulis oleh penjawat perubatan kerajaan);

Perbelanjaan pendidikan bagi anggota atau keluarga. (Berasaskan surat tawaran pengajian dan surat penerimaan pengajian dari institusi pendidikan); dan Memerlukan kewangan bagi mengelak tindakan kebankrapan. (Berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Jika bakal pesara ada sebab selain di atas, pengecualian boleh dimohon daripada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA dengan mengemukakan bukti bertulis untuk pertimbangan JPA.

Berkenaan potongan pinjaman perumahan, ia tertakluk kepada arahan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia. Rayuan untuk mengurangkan potongan boleh diajukan kepada bahagian terbabit.

Untuk maklumat rujuk http://www.jpapencen.gov.my

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,

11 March 2010

Sistem ‘pool’: JPA terima baik teguran PM

Utusan Online

PUTRAJAYA 10 Mac – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima baik ingatan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya satu kajian komprehensif dibuat terhadap penggunaan sistem ‘pool’ yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, arahan Perdana Menteri terhadap sistem ‘pool’ atau penempatan pegawai tertentu di Jawatan Kumpulan menunjukkan beliau prihatin terhadap kebajikan penjawat awam.

Ia, kata beliau, dapat mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap mereka yang terlibat.

“Penempatan pegawai-pegawai di Jawatan Kumpulan bertujuan menampung jawatan atau sebagai sandaran bagi menjaga faedah persaraan pegawai semasa tempoh pegawai ditempatkan secara pinjaman atau pertukaran sementara ke agensi lain atau pegawai melanjutkan pelajaran atau pegawai diberi kelulusan cuti tanpa gaji.

“Bagaimanapun, atas sebab kepentingan perkhidmatan, Jawatan Kumpulan juga turut digunakan untuk menampung pegawai-pegawai bagi kategori tertentu,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk amanat Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke- 11 (MAPPA XI) semalam di sini berkaitan kedudukan pegawai yang ditempatkan dalam sistem ‘pool’ atau Jawatan Kumpulan.

Ismail berkata, Jawatan Kumpulan turut digunakan untuk menampung pegawai-pegawai bagi kategori berikut iaitu:

* Kategori I: Pegawai yang mempunyai masalah kesihatan

* Kategori II: Pegawai yang sedang menghadapi tatatertib/prosiding mahkamah

* Kategori III: Pegawai yang menghadapi masalah prestasi dan kesesuaian penempatan dan masih ditempatkan di Jawatan Kumpulan

* Kategori IV: Pegawai ditempatkan di Kementerian dan jabatan atas sebab-sebab seperti menjalankan tugas atau projek khas mengikut keperluan dan kepakaran tertentu yang tiada mempunyai kekosongan jawatan hakiki termasuk mereka yang di dalam proses mendapatkan penempatan yang sesuai.

Menurut beliau, sebahagian besar daripada pegawai yang ditempatkan di Jawatan Kumpulan atas kategori III iaitu atas sebab-sebab prestasi dan kesesuaian merupakan langkah ‘preventive’ yang diambil demi menjaga kualiti perkhidmatan dan nama baik pentadbiran kerajaan.

“Mereka kemudian ditempatkan bagi menjalankan tugas-tugas khas di bawah kategori IV,” katanya.

Kata Ismail, bagi JPA yang mengendalikan pegawai guna sama, langkah susulan terhadap pegawai-pegawai yang ditempatkan ke Jawatan Kumpulan terutama atas sebab-sebab prestasi dan kesesuaian penempatan juga dibuat.

Jelasnya, antaranya ialah mengaturkan perjumpaan dengan ketua perkhidmatan, memberikan khidmat nasihat, rujukan kaunseling, penempatan semula di jawatan-jawatan yang lebih bersesuaian serta menawarkan tawaran persaraan.

JPA tidak cadang mansuh sistem 'pool'

Berita Harian
2010/03/11

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak bercadang memansuhkan sistem ‘pool’, sebaliknya kajian komprehensif terhadapnya akan menumpukan kepada usaha memperbaiki kaedah kaunseling penjawat awam bermasalah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, juga menjelaskan tidak semua penjawat awam yang dimasukkan ke dalam ‘pool’ dihukum kerana berhadapan masalah dalam perkhidmatan.

“Sistem ini masih relevan kerana ada penjawat awam yang perlu ‘direhatkan’ sementara kerana masalah kesihatan, gangguan mental, tempoh peralihan menunggu untuk dipindahkan ke tempat kerja baru, selain tindakan tatatertib atau dihadapkan ke mahkamah. “Jika mereka ini dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa, dikhuatiri sukar memberi tumpuan sepenuhnya, sekali gus memberi kesan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Sebab itu tumpuan diberikan kepada aspek kaunseling kerana menerusinya punca masalah dapat dikesan, selain meredakan tekanan yang dihadapi penjawat awam terbabit,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, mengarahkan sistem ‘pool’ yang dianggap sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum bagi penjawat awam dikaji semula secara komprehensif.

Najib mahu JPA memberi perhatian kepada pendidikan berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan penggantian dan kemajuan kerjaya penjawat awam ketika dalam ‘pool’.

Ismail berkata, ketika ini di JPA saja ada kira-kira 40 penjawat awam dengan pelbagai masalah diberikan jawatan tanpa portfolio dalam sistem ‘pool’ itu.

Minda Pengarang: Laluan kerjaya perlu dipermudah untuk kakitangan berwibawa

Berita Harian

2010/03/11

MEMAJUKAN kerjaya kini menjadi antara elemen yang diberi tumpuan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Pengumuman mengenai kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya membabitkan peluang kenaikan pangkat di kalangan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan serta pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan pastinya amat menggembirakan golongan ini. Tindakan Perdana Menteri itu memberi realiti dan erti baru bahawa kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam mempunyai masa depan cerah termasuk dari segi imbuhan mahupun kenaikan pangkat. Persepsi terhadap perkhidmatan awam ketika ini antara lain, tidak mencabar, penuh birokrasi dan sukar mengembangkan kerjaya selain perlu ada ‘mentor’ atau menjadi kroni untuk naik. Laluan kerjaya perlu dipermudahkan supaya keseluruhan jentera perkhidmatan awam ditunjangi pegawai berwibawa. Ini bermakna mereka yang layak akan mendapat imbuhan setimpal dengan khidmat serta bakti yang dicurahkan kepada rakyat. Mungkin hasil pelaksanaan di Kementerian Kesihatan serta IPTA dan perguruan itu kelak akan dijadikan model laluan kerjaya bagi seluruh perkhidmatan awam.

Seperkara lagi yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri ialah sistem ‘pool’ dalam sektor awam. Beliau tidak mahu sistem itu dilihat sebagai ‘tempat’ atau ‘alat’ untuk menghukum penjawat awam oleh pihak pentadbiran. ‘Pool’ bukan tempat memudarkan masa depan seorang pegawai yang berkaliber kerana ‘kesalahan remeh dan kabur.’ Ketika Cuepacs mempertikaikan kewujudan sistem itu, tindakan perlu dilakukan supaya persepsi umum terhadap sistem berkenaan diperbetulkan segera. Persepsi ketika ini, sistem ‘pool’ umpama ‘peti sejuk’ untuk kalangan pegawai ‘bermasalah dan tidak sehaluan’ dengan pegawai atasan yang lazimnya berpunca daripada masalah ‘kecil dan remeh’. Contoh, pegawai yang menunjukkan daya kreatif, inovatif, berupaya melakukan penjimatan kos dan material atau menunjukkan kewibawaan memimpin mungkin antara yang akan dimasukkan ke dalam ‘pool’. Lantas Najib mengarahkan kajian terperinci dilakukan supaya elemen keadilan asasi iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu dijadikan sebahagian prosedur. Sesungguhnya, perlu ada sistem terbuka dan berkecuali dalam proses menghukum penjawat awam. Selain menggariskan kriteria dan prosedur, ketentuan dalam proses menghukum itu bukan dimonopoli sekumpulan pegawai tetapi berdasarkan elemen bebas serta berkecuali. Amat malang jika pegawai yang hebat disisih hanya kerana percanggahan kecil dengan ketuanya sedangkan mereka bukan saja wajar menikmati imbuhan malah diletakkan di barisan depan. Jika seseorang itu memiliki kelebihan dari segi kreativiti, integriti, kepemimpinan dan komitmen maka semua elemen itu juga perlu dimasukkan dalam penilaian prestasi untuk menyokong laluan ke arah peningkatan kerjaya iaitu kenaikan pangkat dan gaji bukan dijadikan sebab dia dimasukkan dalam ‘pool’.

10 March 2010

Elak penjawat awam jumud

Utusan Online

PUTRAJAYA 9 Mac – Kerajaan akan mengkaji konsep Perkhidmatan Bukan Guna Sama (closed service) bagi mengelakkan penjawat awam menjadi jumud, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ini kerana para penjawat terbabit sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam kerjaya masing-masing.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi lebih perhatian kepada (hal) ehwal pembelajaran berterusan, peningkatan kemahiran, perancangan kejayaan dan peluang meningkatkan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib berkata, para penjawat awam muda terutama yang terlibat tugas-tugas diplomasi dan rundingan antarabangsa perlu didedahkan dengan pengalaman yang secukupnya.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya dan jangan melihat sebagai satu kerugian menghantar pegawai-pegawai muda ini untuk terlibat dengan rundingan antarabangsa kerana dengan cara ini sahaja mereka dapat menimba pengalaman.

“Sehubungan itu, para penjawat awam hendaklah juga dari semasa ke semasa memahirkan diri dengan menguasai pelbagai bahasa,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan supaya satu kajian komprehensif dibuat terhadap penggunaan sistem ‘pool’ yang wujud sebagai alat tindakan pentadbiran bersifat menghukum.

Katanya, elemen keadilan semula jadi (natural justice) iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlulah menjadi sebahagian daripada prosedur.

22 February 2010

Gaji pegawai ikut kelulusan

Berita Harian

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Pegawai Perhubungan Perusahaan disiar pada 5 Februari lalu bertajuk 'Gaji pegawai lulusan sarjana wajar diselaras.'

Skim perkhidmatan Pegawai Perhubungan Perusahaan (PPP) Gred S41 memperuntukkan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) pada peringkat ijazah pertama dan sarjana dengan gaji permulaan berbeza bagi setiap kelayakan.

Gaji sarjana muda kepujian ialah Gred S41:P1T3 (RM1,869.79) dan sarjana ialah Gred S41:P1T7 (RM2,231.59). Gaji permulaan perkhidmatan PPP tidak wajar dibandingkan dengan skim lain kerana penetapan gaji permulaan setiap skim perkhidmatan dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira:
# Prinsip kadar upah;

# Kelayakan masuk;

# Latihan khusus yang wajib, dan

# Prinsip relativiti dan pariti perkhidmatan yang berbeza mengikut klasifikasi perkhidmatan dan bidang serta kompleksiti tugas yang ditetapkan.

NIK NORAINI NIK YA,
Timbalan Pengarah Korporat JPA.

04 February 2010

Cuti Tanpa Rekod 42 Hari Kepada Penjawat Awam Yang Menderma Organ

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Penjawat awam yang menderma organ kepada mereka yang memerlukan akan diberikan cuti tanpa rekod selama 42 hari, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Beliau berkata menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2010, cuti berkenaan diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara, kontrak, sangkut dan guru sandaran.

"Kadar Cuti Tanpa Rekod yang boleh diluluskan adalah mengikut tempoh yang diperakukan oleh pegawai perubatan pakar atau tidak melebihi 42 hari, mengikut mana yang lebih rendah termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am,"

"Cuti ini bermula dari tarikh pegawai dibenarkan pulang ke rumah menjalani proses pemulihan, " kata Ismail dalam pekeliling itu yang difakskan kepada Bernama Khamis.

Ismail berkata sepanjang tempoh pegawai dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian, pembedahan dan tempoh sebelum discaj dari hospital, pegawai boleh diberi kemudahan Cuti Sakit berdasarkan sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh hospital.

"Kemudahan Cuti Tanpa Rekod ini hanya terpakai untuk pembedahan yang dijalankan di dalam negara sahaja, " katanya.

-- BERNAMA

01 February 2010

CUEPACS Mahu Jumpa JPA Bincang Isu Persaraan Pilihan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam.

Presiden CUEPACS Omar Osman berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.

Beliau berkata CUEPACS juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya.

"Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (CUEPACS) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.

Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka.

"Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya.

Menurutnya beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan.

Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan.

"Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya.

-- BERNAMA

18 January 2010

'We're PAs, not secretaries'

NST

2010/01/18

By Regina Lee
PUTRAJAYA: What's in a job title? Plenty, in so far as the administrative secretaries -- generally referred to as personal assistants -- in government departments are concerned.
These PAs are unhappy because they are now called office secretaries, with some seeing it as a demotion.

Cuepacs, which represents more than 5,000 of these employees -- both administrative secretaries and assistant administrative secretaries, said the new term was announced in a circular on Dec 21 and came into effect on Jan 1.

Cuepacs president Omar Osman said the PAs have complained that the term does not reflect their image as the backbone of their bosses.

"It is not fair or befitting for the PAs, who have been in the position for so long, to suddenly need to have their title changed. This is very demotivating to them."

Cuepacs wants the old title to be restored.

Omar has also asked the Public Service Department to exempt PAs who have been in the service for 30 years from the Competency Level Evaluation (PTK) examination.

All 1.2 million government servants will have to take the PTK examination to qualify for a promotion.

"If the PAs don't pass their PTK, they are technically only known as 'acting administrative secretaries'."

Omar was speaking to reporters after a briefing with about 200 PAs from the Klang Valley yesterday.

He said he would be writing to the PSD director-general Tan Sri Ismail Adam on the matter.

A PA, who wishes to remain anonymous, said in her 30 years of service, she occasionally had to handle her boss' family matters and she does not deserve to simply be called an "office secretary".

"I have worked under so many government heads who have come and gone, and I certainly do not think that my job scope is just limited to the office as stated in the new title.

"When my boss wants to go on a vacation with his family, I am the one who has to do all the bookings.

"And if he has a wife who happens to be a socialite, who do you think does all the planning for her functions?"

05 January 2010

Minta JPA kaji semula gaji lulusan Sijil Perancang Bandar

Berita Harian

TERLEBIH dulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sehingga kini sudah menyelaraskan gred gaji kakitangan perkhidmatan awam, selaras dengan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, kami pemilik sijil perancangan bandar dan wilayah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik rasa amat gembira dan terbela apabila di bawah Sistem Saraan Malaysia yang di umumkan pada 2007, kami diletakkan di bawah Gred 27, iaitu selepas kelulusan SPM (Gred 17) / sijil Pusat Pengajian Tinggi dan STPM (Gred 27) / Diploma (Gred 29).

Pengorbanan tenaga dan wang ringgit selama dua tahun belajar di Pusat Pengajian Tinggi (UiTM dan Politeknik) selepas tamat SPM, amat kami hargai selepas pengumuman itu, apabila kami diletakkan di skim sama taraf dengan STPM.

Tetapi sehingga kini kami graduan sijil dari pusat pengajian tinggi masih lagi menikmati skim gred J17. Malah gred kami sama dengan gred SPM walaupun gaji permulaan kami tinggi tetapi gaji akhir kami tetap sama dengan gred SPM (Pelukis Pelan) iaitu J17.

Jika dilihat tugas dan fungsi kami dengan Penolong Pegawai Penempatan (SO) di Pejabat Daerah yang dinaikkan gred ke N27 baru-baru ini, adalah sama dalam membantu merancang pembangunan di negara ini. Malah banyak lagi skim lain yang dinaikkan tarafnya.

Pihak JPA juga perlu melihat kembali struktur kenaikan gaji akhir kenaikan pangkat daripada Juruteknik Perancang Bandar J17 ke J22 dengan jumlah kenaikan hanya RM300 saja. Jika dibandingkan struktur kenaikan gaji akhir Penolong Pegawai Perancang Bandar (lulusan Diploma - tiga tahun belajar) J29 ke J36 sehingga RM2,000.

Jurang ini terlalu besar dibandingkan dengan kenaikan struktur gaji kami juruteknik (lulusan sijil pengajian tinggi � dua tahun belajar). Kami graduan UiTM, Politeknik yang mengambil jurusan sijil

Perancang Bandar dan Desa selama dua tahun hanya kurang setahun daripada diploma tetapi skim kenaikan gaji kami terlalu rendah.

Gaji akhir juruteknik Perancang Bandar J26 adalah RM3,200 sedangkan gaji akhir Peno long Pegawai Perancang Bandar J38 adalah RM5,200.

JURUTEKNIK MERINTIH
1MALAYSIA,
Kuantan, Pahang.

30 November 2009

Gaji diploma tidak setaraf

Berita Harian

SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan lulusan diploma untuk mengisi kekosongan jawatan di perkhidmatan awam.

Walaupun jawatan gred 17 yang kami terima itu tak setaraf kelulusan, kami terima dengan hati terbuka.

Cuma apa yang terkilan ialah dari segi gred gaji dibayar JPA. Kami lulusan diploma dan ijazah dibayar dengan gred P1T1 (RM824.00) iaitu setaraf gred lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bagi yang memiliki sijil politeknik pula dibayar dengan gred P1T9.

Jika semua masyarakat terdedah dengan hal ini, saya yakin lebih baik lepasan SPM memohon melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil di politeknik. Ia jelas menunjukkan tiadanya keadilan dan JPA seolah-olah menafikan kelulusan dan tidak mengiktiraf lulusan diploma IPTA.

Kami berharap sekurang kurangnya berilah gaji kami sama dengan kelulusan sijil politeknik atau lebih tinggi. Kami menghabiskan masa belajar peringkat diploma selama tiga tahun dan dalam tiga tahun, pihak JPA jangan lupa kami meminjam berpuluh ribu ringgit daripada PTPTN untuk menghabiskan pengajian.

Dengan gaji RM824, mana mungkin kami membayar hutang PTPTN serta tunggakannya seperti dijadualkan. Gaji habis semata-mata untuk bayar hutang, tambang pergi balik kerja, perbelanjaan makan dan minum.

Jadi terpaksalah kami menggunakan pakaian sama bertahun-tahun sehingga menunggu gaji naik.

KAKITANGAN AWAM,
Pahang.

25 November 2009

JPA kaji skim perkhidmatan juruteknik

Utusan Online

JABATAN Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) merujuk kepada surat oleh Mahu Jawapan Positif bertajuk Juruteknik gred J17/22/26 hantar petisyen yang disiarkan dalam ruangan ini pada 16 November 2009.

Berikutan perubahan skop fungsi tugas, Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah Gred NT17, NT22, NT31/32, NT36 telah ditambah baik kepada NT27, NT32, NT36 dengan kelayakan masuk sijil dari politeknik/diploma.

Penambahbaikan skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah ini adalah dengan memansuhkan gred jawatan NT17, NT22 tetapi mengekalkan gred jawatan NT32, NT36 dengan diperuntukkan Gred NT27 bagi maksud lantikan di peringkat Kumpulan Sokongan berkelayakan sijil daripada politeknik/diploma. Kenaikan taraf ini menepati prinsip kadar upah untuk kerja dan kelayakan yang diperlukan.

Skim perkhidmatan Juruteknik Gred J17, J22, J26 juga sedang dikaji oleh JPA bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Kajian tersebut turut melibatkan penelitian kepada implikasi struktur Perkhidmatan Teknikal dan implikasi kepada skim-skim perkhidmatan yang setara (memperuntukkan syarat lantikan di peringkat sijil dalam bidang kejuruteraan atau perancang bandar dan wilayah dari politeknik tempatan atau universiti pengajian tinggi) seperti berikut:

Struktur Perkhidmatan Teknikal / Kelayakan Gred

l Jurutera / Ijazah J41

l Penolong Jurutera / Diploma J29

l Penolong Pegawai Seni Bina / Diploma J29

l Penolong Juruukur Bahan / Diploma J29

l Juruteknik / Sijil Politeknik J17

Skim Perkhidmatan Setara / Kelayakan Gred

l Juruteknik Perancang Bandar dan Desa / Sijil Politeknik J17

l Juruteknik Ukur / Sijil Politeknik J17

l Juruteknik Landskap / SIP / Sijil Politeknik J17

l Pembantu Pemeriksa Kilang / SPM / Sijil Politeknik J17

l Penguasa Bekalan Air / SPM /Sijil Politeknik J17

l Merinyu Tali Air / SPM / SIP / Sijil Politeknik J17

JPA secara berterusan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang berkuat kuasa sama ada dari segi keperluan perubahan syarat lantikan atau kenaikan taraf skim perkhidmatan berikutan perubahan skop fungsi tugas.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Jabatan Perkhidmatan Awam

17 November 2009

JPA: Tidak Hadir Bertugas Masih Kesalahan Tatatertib Tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama)-- Ketidakhadiran bertugas masih merupakan kes kesalahan tatatertib tertinggi di kalangan kakitangan awam, terutama membabitkan kumpulan sokongan untuk tempoh Julai hingga September tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata daripada 314 pegawai yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu, seramai 294 terdiri daripada kumpulan sokongan berbanding 20 daripada kumpulan pengurusan dan profesional.

Sementara daripada seramai 159 pegawai yang dikenakan pelanggaran tatakelakuan, 143 terdiri daripada kumpulan sokongan dan selebihnya termasuk kumpulan pengurusan tertinggi dan kumpulan pengurusan dan profesional, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata seramai 46 anggota kumpulan sokongan didapati terlibat dengan kes mahkamah, 16 terlibat dengan Akta Dadah Berbahaya 1952, empat diambil tindakan kerana keterhutangan kewangan yang serius, dua kerana pekerjaan luar, satu kerana gangguan seksual, dan selebihnya kerana sebab-sebab lain."

Ismail berkata walaupun bilangan pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib, menurun sebanyak 21 peratus iaitu kurang sebanyak 119 orang daripada 685 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, jumlah anggota kumpulan sokongan tetap merupakan kumpulan tertinggi iaitu 91.3 peratus daripada 566 anggota perkhidmatan awam yang dikenakan tindakan tatatertib untuk suku ketiga tahun ini.

Ismail berkata jumlah itu tidak termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Jenis hukuman yang paling kerap dijatuhkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ialah beri amaran (iaitu dikeluarkan kepada 229 pegawai) dan buang kerja (seramai 178 pegawai)," katanya.

Hukuman lain ialah denda, melucutkan hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, menurunkan gaji dan menurunkan pangkat pegawai, katanya.

-- BERNAMA

23 October 2009

JPA perlu tangani masalah elak jejas moral kakitangan

Utusan Online

SAYA ingin merujuk kepada pekeliling JPA berkaitan 'penjumudan pembantu tadbir rendah N11 ke N17' yang mula berkuat kuasa pada bulan Julai 2009. Penambahbaikan tersebut oleh pihak JPA amatlah dialu-alu oleh kakitangan awam yang terlibat.

Namun di sebalik itu, bagaimanakah nasib Pembantu Tadbir N17 dan W17 yang sekarang ini telah sama taraf dengan Pembantu Tadbir Rendah yang telah dijumudkan?

Jika dilihat dari segi gaji, mereka yang dijumudkan jawatan N17 lebih 'untung' berbanding dengan N17 dan W17. Ini kerana semasa tempoh perkhidmatan sebagai pembantu tadbir rendah, kebanyakan mereka telah pun lulus ujian menaip dan diberi anjakan empat mata gaji.

Kenaikan gaji tahunan juga lebih daripada N17 dan W17 setiap tahun. Bagi yang lulus PTK, pastinya gaji akan dianjak lagi.

Apabila dijumudkan, anjakan gaji akan berlaku lagi. Jika dibuat perbandingan dengan gaji Pembantu Tadbir Rendah dijumud N17 dengan Pembantu Tadbir N17 dan W17 yang sedia ada, gaji mereka lebih tinggi.

Selepas proses penjumudan ini, sudah semestinya Imbuhan Khidmat Awam, Imbuhan Perumahan juga akan dibuat pelarasan dan mereka pastinya akan mendapat bayaran tunggakan. Ini juga memberi kelebihan kepada mereka yang dijumud.

Dari segi tanggungjawab pula, kebanyakan pembantu tadbir yang dijumud kurang arif dengan kerja-kerja perkeranian kerana sebelum ini mereka hanya menjalankan kerja menaip seperti yang diarahkan.

Pihak JPA seharusnya mengambil inisiatif membuat pertukaran jabatan kepada mereka agar dapat belajar perkara yang baru.

Sekiranya masih di jabatan lama, tabiat sebagai typist sukar dibuang dan mereka masih menjalankan tugas-tugas 'lama' mereka.

Keadaan akan bertambah buruk jika ketua jabatan tidak membuat penstrukturan semula tugas mereka agar ia bersesuaian dengan jawatan dan gaji baru mereka.

SEKADAR INGIN MELUAH

19 October 2009

JPA perjelas skim gaji

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk artikel ‘Gaji pensyarah lulusan sarjana sama gred guru sekolah rendah’ oleh Pensyarah Sarjana Malang yang disiar 7 Oktober lalu.

Untuk pengetahuan, Skim Perkhidmatan Pensyarah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah adalah berbeza yang memperuntukkan kelayakan masuk, gred jawatan, perbekalan kenaikan pangkat, jadual gaji matriks mengikut skop dan fungsi diperlu perkhidmatan itu.

Skim Perkhidmatan Pensyarah mengambil kira keperluan semasa dan peranan pensyarah dalam pembangunan modal insan pada peringkat pengajian tinggi. Pelantikan ke Skim Perkhidmatan Pensyarah bermula di Gred DS45. Kelayakan ialah sarjana. Pemegang kelulusan ini boleh dilantik ke gred lebih tinggi berdasarkan pengalaman dan kecemerlangan akademik istimewa.

Pensyarah Universiti Gred DS45, DS51 dan DS52 boleh dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi (Gred DS54 dan ke atas) jika universiti bersetuju pensyarah berkenaan mencapai tahap kecemerlangan akademik istimewa dan memenuhi syarat lain ditentukan lembaga pengarah universiti. Keputusan kenaikan pangkat perlu diperakukan ketua perkhidmatan. Pengadu boleh hubungi 03-8316 4073 di Bahagian Saraan, JPA untuk tindakan lanjut.

NIK NORAINI

NIK YA,

Ketua Unit Komunikasi

Korporat, JPA.

01 September 2009

Naikkan pangkat kakitangan berijazah kategori sokongan

SAYA ingin menarik perhatian kepada pihak kerajaan khususnya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amnya bahawa masih ada lagi segelintir kakitangan mempunyai ijazah atau ijazah sarjana tetapi masih berada dalam kategori sokongan.

Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan dan badan berkanun yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dalam kerjaya mereka. Mereka berusaha melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan berusaha meningkatkan kerjaya dan taraf hidup.

Namun begitu, bukan mudah untuk menggenggam segulung ijazah. Banyak kekangan harus dihadapi dengan masalah kewangan, kerjaya dan keluarga yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Mereka juga menghadapi masalah hutang yang sehingga kini gaji dipotong untuk menjelaskan baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Selepas berjaya 'menyimpan' sekeping ijazah yang hampir 10 tahun, mereka masih gagal dinaikkan pangkat ke jawatan di peringkat pengurusan dan profesional.

Mereka gagal ditempatkan di mana-mana jabatan tempat mereka bekerja walau setiap tahun ada saja jawatan kosong yang diiklankan dan mereka sentiasa dipanggil untuk ditemuduga.

Kegagalan mereka bukan kerana tidak mampu menjawab soalan yang dikemukakan. Kegagalan mereka bukan kerana prestasi kerja yang rendah, malah setiap tahun memperoleh penilaian prestasi cemerlang, mereka menghadiri banyak kursus dan lulus peperiksaan penilaian tahap kecekapan.

Kami terdiri daripada golongan yang amat terkilan dan kami amat berharap kepada kerajaan khasnya dengan slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Berilah kami peluang, berikanlah kejayaan kepada kami yang segelintir ini, berkhidmat di tempat masing-masing.

Walaupun ijazah yang diperoleh di luar bidang tetapi pengalaman berkhidmat lebih 20 tahun dapat dimanfaatkan di jabatan tempat kami menjalankan tugas.

YANG MENARUH HARAPAN,
Selangor Darul Ehsan.

18 August 2009

Penjawat awam berijazah tak naik pangkat

Berita Harian

JABATAN Perkhidmatan Awan (JPA) berjanji membantu penjawat awam peringkat bawahan yang ingin mendapatkan kenaikan pangkat dengan meneruskan pembelajaran mereka. Di samping meningkatkan taraf diri, secara tidak langsung menaikkan taraf perkhidmatan awam berdasarkan slogan ‘pembelajaran sepanjang hayat’.

Maka ramailah kakitangan sokongan perkhidmatan awam yang menyahut seruan ini selepas kami berjaya mendapat ijazah di atas perbelanjaan sendiri walaupun terpaksa berhutang.

Maklumlah satu pengajian peringkat ijazah memerlukan kos perbelanjaan tidak kurang RM20,000, manakala pendapatan kami hanyalah RM1,500 sebulan yang dikategorikan sebagai pendapatan rakyat termiskin.

Kami pula mempunyai beberapa anak pada masa itu. Ibu bapa pula memerlukan bantuan perubatan kerana sakit tua serta pelbagai penyakit lain.

Bagi pegawai dan pembuat dasar pentadbiran, mereka tidak melalui keperitan ini kerana mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas serta pelbagai kemudahan lain.

Mereka melupakan janji membantu kami dengan mengarahkan kami yang memiliki ijazah supaya bersaing dengan pemohon baru untuk mendapatkan kenaikan pangkat.

Kami tidak mampu menyaingi mereka yang memperoleh keputusan lebih baik, muda dan lebih berketrampilan daripada kami yang sudah tua dan kurang berkeupayaan.

Oleh itu, kami memohon supaya diberi sedikit kelonggaran untuk kenaikan pangkat dengan sokongan ketua jabatan melalui Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam saja.

Kami kecewa kerana ijazah dan usaha kami adalah satu penderaan. Malu juga kami yang mempunyai ijazah tetapi masih menjadi kerani tua sampai pencen.

BAKAL PESARA,

Ampang.

12 August 2009

Naikkan pangkat Penolong Pegawai Tadbir

SAYA ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung peluang kenaikan pangkat jawatan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) Persekutuan ke jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 atau Gred 41 lain yang amat mengecewakan.

Walaupun ramai di antara penyandang telah memiliki ijazah, telah lulus peperiksaan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) sejak 15 tahun yang lalu, selain telah lulus Aras IV dalam PTK 4 dan PTK 5, masih lagi menyandang Gred N32 dan kini telah wujud Gred N36 (yang baru diujudkan dalam SSM).

Peluang kemajuan kerjaya ini amat berbeza dengan rakan-rakan dalam skim perkhidmatan lain seperti skim Perkhidmatan Penolong Penguasa Imigresen, Penolong Pegawai Penerangan, Penolong Penguasa Kastam, Penolong Pegawai Kebudayaan, Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan, Penolong Pegawai Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Penghulu dan Jabatan-jabatan lain yang mempunyai kelayakan dan kelulusan sama.

Tetapi mereka mempunyai lebih peluang, malah telah ramai yang mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional mengikut skim masing-masing, sama ada melalui Kenaikan Pangkat Secara Lantikan atau permohonan baru kerana memiliki ijazah.

Sebagai contoh, kenaikan pangkat Penolong Penguasa Imigresen ke jawatan Penguasa Imigresen, Penolong Penguasa Kastam ke jawatan Penguasa Kastam dan begitu juga dengan jawatan lain di mana skim perkhidmatannya membolehkan mereka naik pangkat sehingga ke peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Skim Perkhidmatan yang sama.

Malangnya perkara ini tidak berlaku kepada Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan kerana jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 banyak telah dijumudkan.

Walaupun secara dasarnya penyandang jawatan PPT boleh memohon gabungan skim 14 jawatan tetapi peratusan yang berjaya dalam temu duga dan ditawarkan ke jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional amat mendukacitakan.

Walaupun kelihatan pada zahirnya peluang yang diberikan itu sama rata, realiti sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini kerana lazimnya kecenderungan panel penemuduga untuk memilih calon yang baru tamat pengajian universiti atau calon dari Skim Perkhidmatan yang sama berbanding calon dari kalangan Penolong Pegawai Tadbir.

Peluang dan keadaan ini amat berbeza dengan Skim Pembantu Tadbir di mana jika dibandingkan Pembantu Tadbir (P/O) Gred N17 yang telah berjaya menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan dengan Penolong Pegawai Tadbir yang telah berjaya ke jawatan Gred 41, jauhnya boleh di ibaratkan 'langit dengan bumi'.

Malah begitu ramai sekali Pembantu Tadbir Gred N17 yang telah mendapat kenaikan pangkat ke gred N22, N26, N27 dan sekarang telah berada di gred N32, 36 berbanding ada Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 yang hanya mendapat kenaikan pangkat ke gred N32 dan N36 sahaja.

Logiknya penambahbaikan Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan sebenarnya indah khabar dari rupa kerana tidak ada bezanya dengan jawatan Pegawai Kerja atau Pegawai Eksekutif sebelum SSB atau SSM.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya JPA mewujudkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N41/N42 bagi memberi peluang dan membolehkan lebih ramai Penolong Pegawai Tadbir yang layak untuk naik pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, terutama yang telah lama berkhidmat dan berada dalam Gred N32 dan N36.

Daripada segi penempatan pegawai pegawai bolehlah di tempatkan di mana-mana jabatan atau pejabat di mana ketua jabatannya yang bukan dari kalangan bukan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik.

Misalnya di Institut Perguruan, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Jabatan Penjara, politeknik, hospital atau di mana saja yang difikirkan sesuai oleh pihak JPA sendiri.

PENOLONG PEGAWAI TERBIAR

Kota Kinabalu, Sabah