11 September 2009

KSN: Segelintir sahaja yang berpolitik

M'Kini

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan mengakui bahawa terdapat elemen-elemen dalam perkhidmatan awam yang terpengaruh dengan politik ketika menjalankan tugas mereka.

"Saya tidak menafikannya," kata Sidek ketika menjawab soalan Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya selasa lalu.

Namun begitu, beliau berkata, sebahagian besar kakitangan kerajaan sentiasa menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Beliau juga memuji pertubuhan media yang melaporkan tentang masalah dalam perkhidmatan awam dan menggalakkan mereka untuk terus berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, penghargaan juga harus diberikan kepada mereka yang layak menerimanya.

Beliau juga berharap media alternatif turut menghargai sumbangan majoriti kakitangan awam yang telah menjalankan tugas mereka dengan baik.

Dalam wawancara tersebut, Sidek turut menjawab soalan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam, terutama mengenai soal kecekapan dan masalah rasuah.

09 September 2009

Cuepacs Berterima Kasih Kepada Kerajaan Atas Bantuan Khas Kewangan

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam kumpulan sokongan seperti yang diumumkan Rabu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu tetapi kami juga kecewa kerana menjangkakan sebulan bonus kepada semua penjawat awam," kata setiausaha agungnya Ahmad Shah Mohd Zin ketika dihubungi.

Beliau berharap kerajaan akan menggantikannya dengan bonus yang lebih tinggi tahun depan.

Kira-kira 860,000 penjawat awam akan menerima bayaran khas kewangan itu yang akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada Disember.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian khas itu yang dibuat selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persekolahn akhir tahun ini.

Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.



-- BERNAMA

06 September 2009

Kerajaan kaji bonus kakitangan awam

KSN bincang dengan Cuepacs untuk tindakan lanjut

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang berbincang dengan Cuepacs mengenai tuntutan bayaran bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang dalam perundingan mengenai perkara itu.

"Tunggulah...KSN tengah berbincang dengan Cuepacs," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di di Batu 2 1/2 Jalan Cheras kira-kira setengah jam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman percaya kerajaan akan memberi keputusan positif mengenai bonus atau wang sagu hati kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam untuk tahun ini.

Beliau berkata, Cuepacs berharap bonus kali ini dibayar sebelum Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat mengenai tuntutan bonus itu baru-baru ini kepada Najib untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.

"Kita belum mendapat reaksi balas mengenai perkara itu tetapi Cuepacs berharap kerajaan tidak mengecewakan harapan 1.2 juta kakitangan awam terutama bagi mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua yang amat mengharapkan sedikit sumbangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

"Cuepacs tidak memaksa...terserah kepada kerajaan berapa jumlah sanggup dibayar (bonus atau sagu hari). Yang penting kita (kakitangan awam) dapat menikmatinya dan kalau dibayar sebelum raya lagi bagus," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tahun lalu, setiap kakitangan kerajaan menerima bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000.

Omar berkata, Majlis Tertinggi Cuepacs akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai permintaan bonus atau sagu hati tahun ini.

01 September 2009

Naikkan pangkat kakitangan berijazah kategori sokongan

SAYA ingin menarik perhatian kepada pihak kerajaan khususnya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amnya bahawa masih ada lagi segelintir kakitangan mempunyai ijazah atau ijazah sarjana tetapi masih berada dalam kategori sokongan.

Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan dan badan berkanun yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun dalam kerjaya mereka. Mereka berusaha melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan berusaha meningkatkan kerjaya dan taraf hidup.

Namun begitu, bukan mudah untuk menggenggam segulung ijazah. Banyak kekangan harus dihadapi dengan masalah kewangan, kerjaya dan keluarga yang memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Mereka juga menghadapi masalah hutang yang sehingga kini gaji dipotong untuk menjelaskan baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Selepas berjaya 'menyimpan' sekeping ijazah yang hampir 10 tahun, mereka masih gagal dinaikkan pangkat ke jawatan di peringkat pengurusan dan profesional.

Mereka gagal ditempatkan di mana-mana jabatan tempat mereka bekerja walau setiap tahun ada saja jawatan kosong yang diiklankan dan mereka sentiasa dipanggil untuk ditemuduga.

Kegagalan mereka bukan kerana tidak mampu menjawab soalan yang dikemukakan. Kegagalan mereka bukan kerana prestasi kerja yang rendah, malah setiap tahun memperoleh penilaian prestasi cemerlang, mereka menghadiri banyak kursus dan lulus peperiksaan penilaian tahap kecekapan.

Kami terdiri daripada golongan yang amat terkilan dan kami amat berharap kepada kerajaan khasnya dengan slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Berilah kami peluang, berikanlah kejayaan kepada kami yang segelintir ini, berkhidmat di tempat masing-masing.

Walaupun ijazah yang diperoleh di luar bidang tetapi pengalaman berkhidmat lebih 20 tahun dapat dimanfaatkan di jabatan tempat kami menjalankan tugas.

YANG MENARUH HARAPAN,
Selangor Darul Ehsan.

Cuepacs, MTUC wajar perjuang Cola ahli di desa

Berita Harian

SAYA ingin menarik perhatian pembaca yang sedar ataupun tidak penduduk luar bandar terpaksa mengalami dan menanggung kos sara hidup yang tinggi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan lebih tinggi daripada penduduk bandar.

Kebenaran kata saya ini boleh dibuktikan dengan melihat perbandingan perjalanan kehidupan perbelanjaan penduduk di bandar dan luar bandar.

Pada masa ini, harga rumah, sama ada bayar pinjaman bank atau sewa adalah sudah tidak jauh bezanya antara bandar dan luar bandar. Penyewa rumah di luar bandar juga terpaksa membayar sewa yang tinggi atas alasan mengikut kadar semasa.

Untuk barangan keperluan harian pula, penduduk luar bandar terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli barangan di kedai kecil. Malah, penduduk bandar boleh menikmati dan membeli barang keperluan harian dengan harga yang jauh lebih murah di pasar raya besar yang berhampiran di samping pilihan yang pelbagai.

Sebelum ini, ada kedengaran, kementerian yang berkaitan hendak mewujudkan satu mekanisme agar harga barang di luar bandar sama dengan harga barang di bandar. Ini membuktikan harga barang di luar bandar adalah lebih tinggi dari di bandar.

Jaringan jalan raya di bandar juga jauh lebih sempurna dari jalan di luar bandar. Penduduk dan pengguna luar bandar terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan seperti tayar, penyerap hentak dan sebagainya dengan lebih tinggi disebabkan keadaan jalan raya yang tidak sempurna.

Di tambah lagi dengan harga yang tinggi dikenakan oleh kedai membaiki kenderaan kerana pengguna tidak banyak pilihan berbanding dengan di bandar.

Di luar bandar, harga minyak petrol adalah sama dengan di bandar. Malah, penduduk luar bandar terpaksa menggunakan bahan bakar ini setiap hari untuk keluar ke tempat kerja. Di bandar, penduduk boleh memilih untuk menaiki kenderaan awam yang boleh menjimatkan kos sara hidup mereka di samping pilihan dan prasarana kenderaan awam yang jauh lebih baik dan bagus dari di luar bandar yang seakan-akan hidup segan mati tidak mahu.

Saya harap pihak Cuepacs dan MTUC tidak hanya memikirkan kepentingan ahli-ahlinya di bandar saja dalam menuntut apa-apa keistimewaan tanpa melihat realiti sebenar kehidupan dan kos sara hidup ahli di luar bandar.

Cuepacs harus memperjuangkan kadar elaun sara hidup (Cola) yang diterima di luar bandar sama dengan di bandar. Saya harap keprihatinan kerajaan ini dapat mewujudkan gagasan 1Malaysia yang lebih makmur dan keselesaan hidup dapat dinikmati serta dikecapi oleh semua masyarakat Malaysia.

ZUL 1MALAYSIA,
Negeri Sembilan.

Memerdekakan etika perkhidmatan awam

Oleh Abd Razak Hussin

Mutu modal insan mampu bentuk masyarakat negara maju

SEMALAM kita baru saja meraikan Hari Kemerdekaan Ke-52, ketika kemuliaan Ramadan. Daripada tazkirah, berbuka puasa, solat, berdoa, bersajak, nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi yang sungguh bersemangat sehingga sama-sama mengira detik 31 Ogos, pemimpin dan rakyat jelata mengibar bendera kecil. Persoalannya, selepas ini, apa?

Persoalannya, selepas 52 tahun kemerdekaan kita, semakin utuhkah pegangan kita terhadap nilai dan etika yang diterima pakai sebagai satu cabaran dalam penjelmaan Malaysia yang maju pada 2020 nanti?

Penulis sering berkesempatan berkongsi pandangan dengan kakitangan atau pegawai muda di universiti mengenai nilai dan etika dalam perkhidmatan awam. Biasanya perkongsian itu berlaku dalam kursus induksi, orientasi pegawai baru atau persediaan menduduki peperiksaan tahap kecekapan.

Secara umumnya, nilai dan etika difahami sebagai kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap seseorang, sesuatu atau institusi bagi mematuhi peraturan, pilihan dan pegangan masyarakat. Kepercayaan dan keyakinan ini menjadi panduan, ikatan, pedoman, tindakan, amalan dan pertimbangan yang berteraskan sesuatu rujukan.

Tentunya dalam konteks masyarakat kita, teras nilai dan etika itu berasaskan agama dan budaya kita sendiri yang tidak bercanggah dengan pegangan dan keyakinan umum. Mengapakah persoalan ini masih perlu dibicarakan, sedangkan kita semua orang Timur, yang memiliki agama, ada budaya dan pegangan yang kuat.

Kita dikenali sebagai masyarakat yang bersantun, berbudi bahasa dan berkeperibadian halus. Ada yang menjawab, kerana pelanggaran terhadap nilai dan etika yang berlaku, sebagai langkah mengingatkan semula dan sebagai usaha memperkukuhkan keyakinan.

Bagi penulis, semuanya benar. Lebih daripada itu, inisiatif ini juga adalah suatu pendidikan yang berterusan. Manusia kerap kali terlupa dan terlalai. Seperti ungkapan yang sering kita dengar, 'manusia mudah lupa.'

Semua usaha ini adalah untuk memastikan serta meninggikan tahap integriti dan akauntabiliti kakitangan awam dan seterusnya memberikan keyakinan masyarakat terhadap sektor itu sendiri.

Bukan tidak pernah kita mendengar, termasuk menerusi media massa, kakitangan sektor awam yang dibicarakan di mahkamah kerana pertuduhan rasuah, memplagiat karya orang lain, membuat tuntutan palsu, menjual maklumat sebut harga atau tender, menyalahgunakan kedudukan dan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi, merakam waktu masuk dan keluar pejabat untuk orang lain, memfitnah dan mengumpat rakan sekerja untuk menghalang kenaikan pangkat, memburukkan pemimpin dan pekerja sendiri dan menjalin hubungan intim yang berlebihan dengan staf di bawah seliaan.

Kita juga mendengar, ada kakitangan yang sengaja melewatkan kerja dalam waktu pejabat supaya mereka boleh melakukan kerja di luar waktu dan boleh membuat tuntutan kerja lebih masa. Ada kakitangan yang sengaja menjadikan kerja lebih masa sebagai satu sumber pendapatan tetap selain gaji bulanan.

Ini sekadar beberapa contoh yang dianggap pelanggaran nilai dan etika dalam sektor awam. Ada juga kita dapati orang menghantar e-mel 'layang' menggunakan alamat e-mel yang tidak dikenali dan tidak menjawab salam atau sapaan orang yang dianggap lebih rendah daripada kita sedangkan kita tahu salam itu suatu doa.

Kita juga perhatikan, ada hadirin atau pelajar dalam majlis syarahan atau kuliah yang berbual sesama sendiri ketika syarahan dan kuliah berlangsung, ahli mesyuarat yang tidak memberi perhatian sebaliknya asyik berSMS, ahli mesyuarat yang tidak bersetuju dengan keputusan mesyuarat, tetapi ketika perbincangan tidak pula menyuarakan rasa tidak puas hati, sebaliknya membuat 'bising' di luar mesyuarat.

Yang lebih buruk ialah menyampaikan keputusan mesyuarat kepada pihak yang tidak berkenaan sebelum minit disahkan dan dibenarkan untuk pendedahan awam. Barangkali kita menganggap perkara ini kecil dan enteng saja tetapi sebenarnya mempunyai kesan yang amat besar meskipun pelakunya hanyalah segelintir.

Pelanggaran terhadap nilai dan etika itu menyebabkan tidak berlaku keadilan kepada pihak yang berhak, masyarakat berasa tertipu, duit rakyat dan negara yang disumbang menerusi cukai tidak digunakan sewajarnya, manfaat kepada rakyat terbanyak terjejas, ketirisan perbendaharaan negara, gaji kepada kakitangan awam tidak sepadan khidmat yang dijangkakan, hubungan interpersonal yang tidak harmoni, suasana tempat kerja yang penuh prasangka, tandus kepemimpinan yang boleh diteladani, imej organisasi yang merudum dan akhirnya reputasi kerajaan yang memerintah dipersoalkan rakyat jelata dan masyarakat dunia.

Persoalan besar yang sering penulis ketengahkan apabila membicarakan nilai dan etika ialah soal penghormatan. Penghormatan pula harus bermula daripada dalam diri setiap orang secara menyeluruh.

Tanggungjawab yang jelas, justifikasi mengapa tanggungjawab harus dilaksanakan dan kepada siapa pertanggungjawaban akhir, kitalah yang akan menentukan tahap keikhlasan kita. Iltizam yang kuat dan kepemimpinan yang boleh diteladani akan memastikan nilai serta etika dalam organisasi mampu diterjemahkan secara nyata dan menyeluruh.

Penulis masih berkeyakinan, sekiranya asas-asas ini teguh dan utuh, cabaran untuk melihat pembentukan sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang teguh dan ditunjangi budi pekerti luhur pada 1 Januari 2020, akan mampu dicapai di negara ini.

Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia

31 August 2009

Penjawat awam 'miskin' dibantu

Berita Harian

Cuepacs mahu gajib bawah RM3,000 dikategori golongan daif di bandar

KUALA LUMPUR: Kira-kira 600,000 kakitangan awam berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dijangka bakal menerima bantuan kerajaan untuk menambah pendapatan.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata mereka yang merangkumi 45 peratus daripada 1.2 kakitangan awam itu yang kebanyakannya bekerja di bandar, memang tertekan dengan kos sara hidup tinggi sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Beliau yakin dengan kepemimpinan kerajaan kini dapat membasmi segera kemiskinan, terutama di bandar.

"Kita juga berharap pemberian RM100 juta dalam bentuk saham amanah percuma kepada rakyat miskin di bandar seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merangkumi kakitangan awam.

"Kakitangan awam yang mempunyai gaji bawah RM3,000 tiada simpanan masa depan dan ini memberi kesan kepada mereka selepas bersara," katanya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan membantu kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menambah pendapatan, terutama di bandar yang berdepan dengan kos sara tinggi.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, berkata lebih sejuta pekerja swasta tempatan berpendapatan kurang RM1,000 yang memerlukan bantuan berikutan kos sara hidup kian meningkat.

Beliau berkata, golongan ini walaupun tidak diklasifikasikan miskin, pendapatan mereka tidak cukup untuk menyara hidup.

Katanya, kerajaan perlu menetapkan gaji minimum RM900 untuk semua sektor sebagai langkah awal membantu pekerja berpendapatan kurang RM1,000.

"Ramai lagi pekerja kilang yang masih bekerja dengan gaji bawah RM720 dan lebih menyedihkan mereka tinggal di bandar.

"Mereka wajar diberi bantuan dulu kerana boleh dikategorikan miskin," katanya di sini, semalam.

Doktor mangsa terbaru selesema babi

KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita yang dimasukkan ke wad Hospital Pakar Seremban (SSH) sejak 21 hari lalu, meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai akibat dijangkiti wabak Influenza A (H1N1).

Dr Noorfiza Isa, 43, yang bertugas di hospital itu sejak lima tahun lalu, sebelum itu dikatakan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam dan dikatakan doktor pertama di negara ini yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut sumber, Allahyarham bertugas di Unit Kecemasan dan mengalami tanda penyakit berbahaya itu pada 6 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad tetapi dibenarkan keluar sehari selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, semakin buruk dan dimasukkan semula ke wad hospital berkenaan pada malam 9 Ogos dan koma sehingga meninggal dunia awal pagi semalam.

"Mangsa adalah antara tiga doktor di hospital itu yang dijangkiti H1N1 tetapi keadaan mangsa yang paling teruk dan dirawat selama 21 hari sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setakat ini hanya 15 kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dijangkiti wabak berbahaya itu tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Bagi kematian membabitkan doktor wanita itu, setakat ini tidak dapat disahkan punca kematiannya sehingga keputusan ujian mengenainya mungkin dikeluarkan esok (hari ini)," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, menyebut seorang lagi berusia 49 tahun dengan masalah kesihatan hepar (hati) menjadi mangsa korban terbaru jangkitan wabak itu.

Wajarkah bonus raya?

Utusan Online

SEPERTI biasa tuntutan bonus oleh kakitangan awam sudah mula kedengaran. Sudah ada kakitangan awam yang secara terus memohon daripada YAB Perdana Menteri sendiri melalui laman web 1Malaysia.

Saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang akan mengepalai tuntutan bonus dari kerajaan atas dasar menjaga kebajikan penjawat awam.

Fenomena meminta bonus seolah-olah sudah menjadi agenda tetap baik di pihak CUEPACS mahupun setiap individu penjawat awam itu sendiri. Setiap tahun, mereka meletakkan harapan yang sangat tinggi agar kerajaan akan menghadiahkan mereka dengan bonus tahunan.

Bagi tahun ini ada yang mencadangkan pemberian bonus minimum RM1,000 dengan kaedah pembayaran secara berperingkat iaitu sebelum Hari Raya Puasa dan pertengahan Disember untuk tujuan perbelanjaan sesi persekolahan yang baru.

Sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang pengguna, kita melihat tuntutan ini adalah sesuatu yang normal dan wajar apatah lagi dengan mengambil kira situasi ekonomi semasa yang menggamit pengguna dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang tinggi secara keseluruhannya.

Pihak kerajaan baik melalui Kementerian Kewangan mahupun Bank Negara secara berterusan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang cuba meyakinkan rakyat bahawa Malaysia tidak terjejas teruk angkara kemelesetan ekonomi global malah diunjurkan kita masih mampu bertahan dan menikmati pertumbuhan walaupun pada kadar yang minimum atau perlahan.

Kita percaya dalam senario ini pihak kerajaan mempunyai fakta yang kukuh dan jelas yang membolehkan mereka meyakinkan rakyat. Kita juga yakin dengan pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan untuk merangsang kembali ekonomi negara.

Justeru adalah wajar pihak kerajaan mempertimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan ini ataupun dengan mengambil kira keadaan semasa, kita boleh katakan rayuan penjawat awam untuk mendapatkan bonus agar sambutan Hari Raya Puasa tahun ini dapat dirayakan dengan meriah di samping mampu menyediakan bekalan yang cukup untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan.

Sambutan Hari Raya Puasa tahun ini agak awal berbanding tahun-tahun sebelumnya yang sekali gus mendepani tarikh pembentangan Bajet 2010 yang dijadualkan pada 23 Oktober ini.

Ini sekali gus mula merisaukan semua penjawat awam apakah berpeluang untuk menikmati bonus lebih awal (jika ada) berbanding perlu menunggu sehingga pembentangan bajet kelak.

Pada masa yang sama, sebagai kakitangan awam yang bertanggungjawab dan setia kita juga wajar bertimbang rasa dan berfikiran rasional pada saat-saat yang getir sebegini. Sememangnya ekonomi global tidak begitu memberangsangkan maka eloklah kita tidak terlalu mendesak pihak kerajaan untuk memenuhi tuntutan tersebut dan cuba hindari budaya meminta dan mengharapkan balasan.

Apa pun kita berharap pihak kerajaan akan menimbang dengan adil dan saksama dengan mengambil kira semua aspek dan persekitaran semasa dalam membuat keputusan.

Bagi perjawatan awam, pemberian bonus adalah wajar dan sangat diperlukan namun bagaimana pula kewajaran di pihak kerajaan?


SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor">

26 August 2009

V-C: Indian Studies dept stays

The Star

PETALING JAYA: Universiti Malaya vice-chancellor Prof Datuk Ghauth Jasmon has given his assurance to representatives of Indian non-governmental organisations that the Indian Studies department in the university will be maintained.

The NGOs’ coordinator, K. Arumugam, said the vice-chancellor had also indicated the university was in the process of recruiting a person proficient in Tamil to head the department.

A controversy arose after the university replaced department head Dr S. Kumaran, who has retired, with Prof Dr Mohd Raduan Mohd Ariff, the first non-Indian to head the department.

The uproar in the community became louder when there was talk of replacing the Indian Studies department with a South Asian Studies department.

Yesterday, a three-member delegation representing 128 Indian NGOs had a one-hour discussion with Prof Jasmon. They handed over a memorandum asking that an Indian expert be appointed head of the department.

Arumugam said Prof Jasmon had also said the decision on a name change would be made by the academics and the faculty.

“The vice-chancellor has agreed to consider a member of the existing staff to head the department if they can get together and agree among themselves.

“He was very frank and patient. He assured us that his intention was only to make it better and not to destroy the department,” Arumugam said.