Showing posts with label Kuarters. Show all posts
Showing posts with label Kuarters. Show all posts

09 July 2009

40,000 kuarters kerajaan masih kurang kemudahan

Premis wajar dibaik pulih, disewa kepada kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40,000 unit kuarters kerajaan di seluruh negara berada dalam serba kekurangan, termasuk hanya mempunyai dua bilik, selain ada bangunan milik agensi kerajaan yang terbiar sehingga usang tanpa usaha untuk memulihkannya.

Sehubungan itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan mengambil langkah segera dengan menaik taraf kemudahan kuarters sedia ada atau menyediakan perumahan lebih selesa bagi kakitangan sektor awam.

"Cuepacs kecewa kerana masih ramai lagi kakitangan awam yang tinggal dalam rumah yang hanya mempunyai dua bilik. Walaupun ada kuarters yang sudah dinaik taraf,bilangannya masih sedikit.

"Selain itu, kegagalan sesetengah kementerian, agensi kerajaan atau badan berkanun menguruskan kemudahan kuarters disediakan menyebabkan berlakunya kes di mana kuarters terbiar tanpa penghuni," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Omar menggesa kerajaan segera mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kuarters yang masih dibiarkan kosong dengan menawarkan kemudahan itu kepada kakitangan awam yang layak, tetapi tinggal atau menyewa di luar.

"Cuepacs banyak menerima aduan daripada kakitangan awam yang enggan tinggal di kuarters kerajaan dengan alasan keadaan tidak selesa selain merendahkan imej kakitangan awam apabila mereka tinggal di rumah yang serba kekurangan.

"Kerajaan juga perlu memastikan agensi yang perlu berada dalam keadaan bersiap sedia 24 jam seperti tentera, polis, kastam, doktor dan jururawat diberi kemudahan kuarters yang berdekatan dengan pejabat mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan tetapi tiada kemudahan penyelenggaraan disediakan.

"Kerajaan tidak harus membezakan pangkat atau tangga gaji dalam menempatkan kakitangannya di kuarters. Kalau pegawai kerajaan boleh tinggal di rumah selesa, kakitangan bawahan juga harus menikmati kemudahan sama.

"Jangan mengambil mudah aspek penyediaan tempat kediaman kakitangan sektor awam kerana kehidupan yang berkualiti akan turut mempengaruhi prestasi kerja," katanya.

Omar juga berkata, Cuepacs sedang berunding dengan kerajaan untuk membolehkan kakitangan awam yang menetap di kuarters memperoleh separuh daripada Imbuhan Tetap Perumahan yang berjumlah RM180.

28 June 2009

Shaziman Terharu Dengan Keadaan Kuarters JKR

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Keadaan kuarters yang didiami pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Cheras di sini didapati berada dalam keadaan yang menyedihkan.

Inilah yang dilihat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor semasa meninjau keadaan kuarters tersebut selama 45 minit hari ini.

Beliau melihat sendiri bagaimana cermin kaca tingkap yang hilang, dinding dan pintu yang terkopak serta ruang kuarters ala rumah panjang itu yang sempit yang dipadati dengan perabot.

Lalang di halaman rumah juga didapati tumbuh meliar, kabel telefon berbelit-belit, longkang yang tersumbat dan berbau busuk.

"Saya telah melihat lalang yang tinggi, sampah sarap bertaburan dan longkang tersumbat. Persekitarannya tidak sihat. Oleh itu saya mahu semua perkara ini ditangani segera dan kebajikan pekerja-pekerja ini dijaga.

"Pekerja ini penting. Kalau hati mereka tidak ceria, selalu bimbang, prestasi kerja mereka juga akan terjejas," katanya kepada pemberita selepas melawat persekitaran kuarters itu.

Shaziman turut berbual-bual dan mendengar masalah yang dihadapi penghuni kuarters.

Mereka berkata rungutan mereka selama ini tida diendahkan oleh JKR.

Seorang penghuni kedengaran memberitahu Shaziman berkenaan kes kecurian yang berlaku di samping kehadiran ular di situ.

Shaziman berkata beliau telah mengarahkan Pengarah JKR Kuala Lumpur, Adnan Shukri Musa untuk mengambil langkah segera membersih dan memperbaiki keadaan kawasan berkenaan.

Kuarters sebanyak 94 unit tersebut didirikan sekitar awal 1950-an dan kini dihuni 50 keluarga.

Pada tahun 2006, terdapat cadangan utuk membangunkan kawasan tersebut dengan kuarters JKR bertingkat yang moden bernilai RM18 juta, tetapi cadangan itu senyap begitu sahaja.

"Saya nak bincang semula semua projek yang ada di bawah kementerian, projek mana patut diberi keutamaan. Dan saya percaya isu kuarters ini juga perlu diberi perhatian wajar," katanya apabila ditanya mengenai kedudukan projek berkenaan.

-- BERNAMA

28 July 2008

Kuarters kerajaan disewa kepada kolej swasta

Berita Harian

KAMI, kakitangan Poliklinik Komuniti Umbai, Merlimau Melaka ingin menyatakan rasa tidak puas hati dan terkilan kerana ada kuarters kerajaan di poliklinik ini diberikan atau disewa kepada kolej swasta dan pihak lain yang tidak berkaitan dengan poliklinik ini.

Perkara ini menyebabkan beberapa kakitangan poliklinik ini tidak dapat menduduki kuarters itu dan terpaksa menyewa jauh dari tempat kerja kerana dikatakan tidak berkelayakan mendapat kuarters sedangkan kuarters yang ada diberikan kepada pihak luar.

Kuarters kerajaan dibina untuk kemudahan kakitangan kerajaan dan bukan pihak swasta. Pelajar kolej swasta tidak layak berbanding dengan kami, oleh itu diharapkan pihak berkenaan mengutamakan petugas poliklinik terlebih dulu.

KEM KAMPUNG,
Umbai, Melaka.

09 April 2008

RM5.8b bina kuarters awam

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM5.8 bilion bagi membina lebih 23,000 unit kuarters untuk kakitangan awam di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya yang dijadual siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata setakat ini, 11,213 unit kuarters sudah disiap dibina membabitkan kos kira-kira RM3.7 bilion.

"Menjelang akhir 2010, dijangka sebanyak 12,073 lagi unit kuarters siap," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Ketua-ketua Masyarakat Kuarters Putrajaya di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Pelan Strategik Bahagian Pengurusan hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh 2008-2010 yang bermatlamat meningkatkan mutu kehidupan warga penghuni kuarters.

Selain kuarters di Putrajaya, BPH turut mengurus dan menyelenggara kuarters terletak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai (Negeri Sembilan), Tanjung Kupang (Johor) dan Labuan serta pengurusan rumah peranginan dan penginapan Persekutuan di dalam dan luar negara.

Mohd Sidek berkata, tahun lalu, BPH membelanjakan RM4.7 juta bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan di sini.

Katanya, memandangkan bilangan kuarters akan bertambah dan usia kuarters yang sedia ada semakin meningkat, kos penyelenggaraannya dijangka akan bertambah.

"Sehubungan itu, perlunya warga penghuni kuarters memainkan peranan supaya kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak perlu dapat dielakkan dan BPH perlu memastikan unit kuarters yang masih kosong diisi dengan segera bagi mengelakkannya mengalami kerosakan," katanya.

Mengenai isu penghuni kuarters hilang kelayakan menduduki kuarters apabila mempunyai rumah dalam lingkungan 25 kilometer dari tempat kerja, Mohd Sidek berkata mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 berkuatkuasa 1 April tahun lalu, penghuni terbabit masih boleh terus menduduki kuarters masing-masing dengan syarat bersetuju dengan bayaran berganda.

"Saya harap isu bayaran berganda itu difahami dengan mengambil kira segala kemudahan sampingan yang disediakan seperti sekolah, pusat komuniti, taman rekreasi dan sebagainya," katanya.