09 July 2009

40,000 kuarters kerajaan masih kurang kemudahan

Premis wajar dibaik pulih, disewa kepada kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40,000 unit kuarters kerajaan di seluruh negara berada dalam serba kekurangan, termasuk hanya mempunyai dua bilik, selain ada bangunan milik agensi kerajaan yang terbiar sehingga usang tanpa usaha untuk memulihkannya.

Sehubungan itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan mengambil langkah segera dengan menaik taraf kemudahan kuarters sedia ada atau menyediakan perumahan lebih selesa bagi kakitangan sektor awam.

"Cuepacs kecewa kerana masih ramai lagi kakitangan awam yang tinggal dalam rumah yang hanya mempunyai dua bilik. Walaupun ada kuarters yang sudah dinaik taraf,bilangannya masih sedikit.

"Selain itu, kegagalan sesetengah kementerian, agensi kerajaan atau badan berkanun menguruskan kemudahan kuarters disediakan menyebabkan berlakunya kes di mana kuarters terbiar tanpa penghuni," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Omar menggesa kerajaan segera mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kuarters yang masih dibiarkan kosong dengan menawarkan kemudahan itu kepada kakitangan awam yang layak, tetapi tinggal atau menyewa di luar.

"Cuepacs banyak menerima aduan daripada kakitangan awam yang enggan tinggal di kuarters kerajaan dengan alasan keadaan tidak selesa selain merendahkan imej kakitangan awam apabila mereka tinggal di rumah yang serba kekurangan.

"Kerajaan juga perlu memastikan agensi yang perlu berada dalam keadaan bersiap sedia 24 jam seperti tentera, polis, kastam, doktor dan jururawat diberi kemudahan kuarters yang berdekatan dengan pejabat mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan tetapi tiada kemudahan penyelenggaraan disediakan.

"Kerajaan tidak harus membezakan pangkat atau tangga gaji dalam menempatkan kakitangannya di kuarters. Kalau pegawai kerajaan boleh tinggal di rumah selesa, kakitangan bawahan juga harus menikmati kemudahan sama.

"Jangan mengambil mudah aspek penyediaan tempat kediaman kakitangan sektor awam kerana kehidupan yang berkualiti akan turut mempengaruhi prestasi kerja," katanya.

Omar juga berkata, Cuepacs sedang berunding dengan kerajaan untuk membolehkan kakitangan awam yang menetap di kuarters memperoleh separuh daripada Imbuhan Tetap Perumahan yang berjumlah RM180.

No comments: