04 July 2007

PTK: 75 peratus gagal jawab Rukun Negara

Utusan Online

KUALA KRAI 3 Julai – Sebanyak 75 peratus kakitangan awam yang menjalani peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) gagal menjawab soalan berhubung matlamat kewujudan prinsip Rukun Negara yang telah diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, ia membawa gambaran yang mengecewakan dalam usaha mengukuhkan penghayatan dan amalan Rukun Negara.

Sehubungan itu katanya, pelbagai program ke arah kefahaman dan kesedaran akan terus diperhebatkan dengan sasaran semua kaum, terutama di sekolah-sekolah melalui Kelab Rukun Negara.

“Jabatan memperuntukkan RM24 juta bagi menjalankan pelbagai program bagi mengukuhkan penghayatan dan amalan Rukun Negara.

“Ini termasuk penyaluran RM1,000 kepada setiap 500 kelab terpilih daripada 5,000 Kelab Rukun Negara yang ditubuhkan di sekolah serta institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berucap melancarkan Kelab Rukun Negara peringkat negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Kelantan, Ismail Md. Noor dan Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan, Abdul Hadi Mohd Salleh.

Katanya, kefahaman terhadap prinsip dan falsafah Rukun Negara perlu ditingkatkan di kalangan generasi muda pelbagai kaum melalui program yang lebih berkesan.

‘‘Justeru melalui kelab berkenaan yang menghimpunkan semua kaum, banyak aktiviti dapat dilaksanakan ke arah menerapkan semangat perpaduan yang lebih kental,” katanya.

Selain itu, menurut Azman, pihaknya juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara melalui program untuk menerapkan amalan perpaduan.

No comments: