07 July 2007

Cuepacs rancang skim hari tua

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Cuepacs akan memperkenalkan Skim Simpanan Hari Tua sebagai menggalakkan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam menyimpan untuk kegunaan hari tua mereka.

Skim yang berfungsi seperti Skim Simpanan Hari Tua kendalian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan dilaksanakan sebaik saja mesyuarat kongres diadakan Ogos ini.

Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata pihaknya masih meneliti dan mengkaji syarikat insurans yang boleh bekerjasama dengan Cuepacs untuk melaksanakan skim itu.

“Kami belum memutuskan syarikat insurans mana akan dilantik atau bila dilaksanakan kerana ia diputuskan dalam mesyuarat kongres akan datang.

“Bagaimanapun, skim ini akan dilaksanakan secepat mungkin, sebaik saja keputusan sudah diperoleh. Pastinya, kami mempunyai beberapa kriteria yang perlu dilihat apabila membuat pemilihan antaranya syarikat itu perlu mempunyai reputasi baik dan kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek pampasan kepada dua pemegang polisi Takaful Ikhlas Skim Syariah Cuepacs, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Presiden Sektor Awam dan Perniagaan Korporat Takaful Ikhlas, Sheikh Abdul Rahman Sheikh Abdullah.

Ahmad Shah berkata, pelaksanaan skim baru itu sebagai tambahan kepada skim pencen sedia ada yang kini dinikmati sebahagian besar kakitangan awam di negara ini.

“Skim ini juga akan diklasifikasikan sebagai simpanan A, B serta C dan setakat ini kami masih belum memutuskan jenis simpanan untuk ketiga-tiganya,” katanya.

Beliau berkata, skim seumpama itu yang diperkenalkan kepada menjawat awam mungkin suatu yang baru kepada negara, tetapi di negara maju sudah lama dipraktikkan.

“Dalam memperjuangkan kebajikan kakitangan awam, kami tidak pernah lupa mengingatkan mereka membuat simpanan untuk masa depan mereka dan ahli keluarga.

“Justeru, kami memperkenalkan skim simpanan sukarela dengan mereka boleh membuat simpanan untuk masa depan, selain daripada skim pencen dinikmati sekarang,” katanya.

Katanya, cadangan awal skim itu berpandukan kepada permintaan kakitangan awam sendiri yang mahu menabung untuk simpanan dan hanya boleh dikeluarkan pada usia tua.

“Cuepacs membuat kajian terhadap kehendak penjawat awam dan kita dapati bukan saja mereka mahukan simpanan untuk hari tua, malah rawatan perubatan terbaik selain ditawarkan kerajaan,” katanya.

No comments: