02 July 2007

CUEPACS tolak peperiksaan PTK

Utusan Online

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 1 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerima pelaksanaan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menilai kecekapan kakitangan perkhidmatan awam tetapi menolak sistem peperiksaannya.

Presidennya, Omar Osman berkata, kongres tersebut mahu sistem tersebut diganti dengan cara penilaian baru yang lebih berkesan.

‘‘Mesyuarat Kongres CUEPACS hari ini bersetuju untuk menerima sistem PTK tetapi menolak pelaksanaan sistem itu melalui peperiksaan seperti yang dilaksanakan sekarang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kongres Khas CUEPACS di Wisma CUEPACS di sini, hari ini.

Omar memberitahu, CUEPACS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh beliau untuk menghantar cadangan baru kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai mekanisme yang boleh digunakan untuk melaksanakan PTK.

Ujar beliau, jawatankuasa khas itu akan bermesyuarat Jumaat ini dan menghantar cadangan tersebut kepada JPA sebelum 25 Julai untuk diperhalusi.

‘‘CUEPACS menerima saranan JPA, PTK perlu diteruskan, namun kami tidak berpuas hati dengan penambahbaikan yang dibuat oleh jabatan itu kerana ia tidak mencapai matlamatnya.

‘‘Kami mahu sistem pelaksanaan PTK digantikan dengan pakej baru yang diselaraskan dengan aspek pembangunan modal insan dan kualiti kerja,’’ katanya.

Omar menambah, CUEPACS juga mahukan pegawai serta kakitangan yang telah lulus aras empat dalam peperiksaan PTK sebelum ini diberikan anjakan gaji serta dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Sementara itu, mengenai gaji baru pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, beliau memberitahu, pada masa ini tidak berlaku sebarang masalah dari segi pelaksanaannya.

Perdana Menteri pada 21 Mei lepas mengumumkan kenaikan gaji baru kakitangan kerajaan yang membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus dan 35 peratus bermula bulan ini.

Omar berkata, semua pelaksanaan gaji baru dalam sektor awam berjalan baik setakat ini cuma ada masalah dari segi kenaikan yang tidak seimbang dalam Gred DG 32 dan Gred DG41.

‘‘Perkara ini telah dirujuk kepada JPA dan ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,’’ katanya.

Mengenai pelaksanaan gaji baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata, terdapat kekeliruan kerana anggota-anggota pangkat bawahan merupakan Kumpulan Sokongan 1 yang hanya mendapat kenaikan gaji 25 peratus dan bukan 35 peratus.

Omar memberitahu, anggota pangkat rendah ATM menerima kenaikan gaji 20 peratus sebelum ini dan mereka telah diberi peningkatan gred iaitu dari Kumpulan Sokongan 2 kepada Kumpulan Sokongan 1.

Tegasnya, apa yang dilaksanakan oleh Majlis ATM adalah tepat berdasarkan kepada pekeliling JPA.

Mengenai Tabung Amal Pegawai dan Kakitangan Awam, Omar memberitahu, tabung itu akan diwujudkan awal tahun depan selepas segala persoalan mengenai undang-undang diperhalusi.

Jelas beliau, CUEPACAS perlu berhati-hati dalam mengumpulkan dana kakitangan awam memandangkan ia membabitkan peruntukan undang-undang.

‘‘CUEPACS jangka tabung itu akan dapat dilaksanakan pada 2008 dan telah bersetuju semua pegawai dan kakitangan awam menyumbang RM1 sebulan,’’ katanya.

No comments: