27 May 2007

Cuepacs yakin kerajaan terima tuntutan lain

Berita Harian

SEREMBAN: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin beberapa lagi tuntutan yang dikemukakannya kepada kerajaan berhubung manfaat untuk kakitangan awam, termasuk penghapusan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) akan mendapat jawapan positif.

Presidennya, Omar Osman, berkata perkara itu masih dalam pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama senarai tuntutan lain seperti melanjutkan usia persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 56 tahun sekarang.

"Cuepacs juga masih berbincang dengan kerajaan mengenai skim Faedah Pencen Bercarum (SFPB) bagi memastikan setiap kakitangan yang menyertai skim ini mendapat pulangan setimpal apabila bersara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda Cawangan Negeri Sembilan Kali ke-22 yang disempurnakan Pengarah Risda negeri, Ka'ab Alias, di sini semalam.

Omar berkata, berdasarkan perbincangan yang diadakan sebelum ini di antara Cuepacs dan JPA, semua tuntutan itu menerima reaksi positif dan berharap keputusan yang diharapkan 1.2 juta kakitangan awam mengenai perkara itu dapat diumumkan dalam tahun ini.

Mengenai PTK, beliau berkata, pihaknya meminta JPA memansuhkannya dan digantikan dengan pendekatan pembangunan profesionalisme secara berterusan (CPD).

"Skim CPD lebih memberi peluang kepada kakitangan awam untuk kenaikan pangkat dan gaji yang lebih tinggi sesuai dengan tempoh perkhidmatan. Ia lebih adil kerana menekankan kepada pembangunan kerjaya berdasarkan tempoh perkhidmatan," katanya.

107,688 nikmati ganjaran berganda


Empat jenis insentif kakitangan awam naik automatik

KUALA LUMPUR: Seramai 107,688 kakitangan awam termasuk tentera dan polis, menikmati ganjaran berganda apabila kadar bayaran empat jenis insentif yang mereka terima, naik secara automatik selaras kenaikan gaji diumumkan kerajaan, Isnin lalu.

Kadar bayaran empat insentif itu – Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Wilayah, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan dan Bayaran Insentif Pedalaman, dikira berdasarkan peratusan gaji pokok.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan semalam berkata, bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal dinikmati oleh kakitangan dan pegawai dalam 32 jawatan kritikal, kecuali untuk kumpulan pengurusan tertinggi, mengikut kadar bayaran bulanan.

Mereka termasuk arkitek, jurutera, pegawai perubatan dan farmasi, pegawai perikanan dan pertanian, kejuruteraan, jururawat, pensyarah universiti (kejuruteraan, perundangan, seni bina dan ukur bahan, farmasi, pergigian dan kejururawatan), juruterbang serta pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah dan diploma bidang kejuruteraan dan pertukangan.

Insentif itu diberi kepada pegawai dalam perkhidmatan kritikal mengikut kadar bayaran bulanan. Contohnya, pegawai perubatan di Semenanjung mendapat RM500, manakala di Sabah dan Sarawak menerima RM500 atau 10 peratus daripada gaji pokok mengikut mana yang lebih tinggi.

Jururawat pula mendapat bayaran pada kadar 15 peratus daripada gaji pokok, kumpulan pengurusan dan profesional (lima peratus) kumpulan sokongan (10 peratus).

Anggota tentera bertugas dalam perkhidmatan kritikal juga layak mendapat elaun itu dengan pegawai perubatannya menerima kadar yang sama dengan kakitangan awam lain, manakala Kapten ke atas dan Leftenan ke bawah masing-masing lima peratus dan 10 peratus.

Bayaran Insentif Wilayah pula membabitkan kakitangan awam yang bertukar tempat kerja dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya. Kadarnya adalah antara 12.5 peratus hingga 25 peratus daripada pendapatan yang diterima.

Sebagai contoh, kakitangan berpendapatan RM4,839 dan ke atas menerima 12.5 peratus, manakala RM623.62 dan ke bawah (25 peratus).

Menurut kenyataan itu, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah
dan lepasan diploma di Kementerian Pelajaran yang mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta mengajar Bahasa Inggeris atau menggunakannya dalam tugas rasmi, layak menerima Bayaran Insentif Subjek Pendidikan pada kadar antara lima hingga 10 peratus daripada gaji pokok sebulan.

Bayaran Insentif Pedalaman untuk kakitangan awam dan anggota polis pula ditetapkan pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan asas sempurna seperti tiada bekalan elektrik, air, telefon, perubatan dan pengangkutan awam.

Kenyataan itu menjelaskan, rasional pemberian elaun yang menjadi komponen berubah dalam pendapatan kakitangan awam itu bertujuan menggalakkan persaingan sihat untuk meningkatkan kepakaran, kemahiran dan prestasi kerja.

“Semua insentif ini juga diberi sebagai penghargaan terhadap kemahiran, kepakaran, kegigihan atau kecemerlangan menjalankan tugas sebagai pendorong untuk kakitangan terbabit meningkatkan prestasi.

“Selain itu, insentif ini dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk pengangkutan, pelajaran, barangan dan perkhidmatan serta sebagai ganjaran kepada kakitangan yang memikul tugas dan tanggungjawab tambahan,” kata kenyataan itu.

INFO
Empat insentif


  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal dinikmati kakitangan dan pegawai dalam 32 jawatan kritikal, kecuali untuk kumpulan pengurusan tertinggi, mengikut kadar bayaran bulanan.

  • Bayaran Insentif Wilayah membabitkan kakitangan awam yang bertukar tempat kerja dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung serta sebaliknya. Kadarnya antara 12.5 peratus hingga 25 peratus daripada gaji.

  • Bayaran Insentif Subjek Pendidikan pada kadar antara lima hingga 10 peratus daripada gaji pokok sebulan.

  • Bayaran Insentif Pedalaman untuk kakitangan awam dan anggota polis pula ditetapkan pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok.
  • Laporan Khas: Gaji baru jana pertumbuhan ekonomi

    Berita Harian


    RM3.4 bilion dijangka masuki pasaran bagi tempoh enam bulan selepas 1 Julai

    LEBIH sejuta kakitangan awam tersenyum gembira apabila gaji mereka dinaikkan. Peniaga pula pasti turut gembira kerana limpahan itu akhirnya akan mengalir ke kocek mereka juga. Tetapi, peniaga perlu mengelak daripada mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal pula menyatakan pihaknya akan mengumumkan nama dan lokasi premis perniagaan yang didapati menaikkan harga barang. Kita ingin melihat perkara itu dilakukan dengan seberapa segera, bukan setakat amaran atau sesuatu kenyataan yang dilihat gah di dada akhbar.

    Pihak kementerian bukan saja perlu memantau, malah bertindak segera sebagai pengajaran kepada peniaga lain. Bagi kakitangan awam pula, termasuk polis dan anggota tentera, tiada alasan bagi mereka tidak memberi perkhidmatan terbaik sebagai balasan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan mereka.

    Tetapi jika peniaga menaikkan harga barang sesuka hati, kenaikan gaji itu tidak akan membawa makna kerana kos sara hidup pasti turut meningkat. Dalam hal ini, Mohd Shafie perlu lebih bertegas mengerahkan pegawai penguatkuasanya di seluruh negara untuk mengekang sebarang percubaan peniaga yang tamak haloba.

    Bayangkan, selepas 1 Julai ini apabila gaji baru itu berkuatkuasa dan untuk tempoh enam bulan selepas itu, RM3.4 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi kenaikan gaji, dijangka memasuki sistem ekonomi tempatan, selain RM600 juta bagi pembayaran Elaun Kos Sara Hidup (Cola).

    Ia bermakna kuasa membeli akan meningkat secara mendadak dan mulai tahun depan RM6.8 bilion tambahan memasuki sistem ekonomi, bagi menampung kenaikan gaji itu. Keadaan ini sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

    Setiap ringgit yang dibelanjakan di pasaran tempatan, memberi kesan gandaan kepada ekonomi kita dan ini boleh melonjakkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kenaikan gaji itu akan menyumbang kepada kenaikan 0.5 peratus pertumbuhan ekonomi tahun ini dan sekurang-kurangnya peratusan yang sama pada 2008.

    Namun, katanya, kerajaan tidak akan meminjam dana untuk membayar kenaikan gaji itu kerana dana yang ada mencukupi.

    Pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng, berkata kenaikan gaji kakitangan awam itu sudah pasti akan dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan kerajaan iaitu dua faktor yang dapat memberi kesan serta-merta untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

    “Pertambahan perbelanjaan kerajaan pula secara langsung akan meningkatkan KDNK. Walaupun peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi pembayaran gaji akan meningkatkan defisit, ia masih terkawal,” katanya yang juga Ketua Ekonomi Rating Agency Malaysia Bhd.

    Apabila kuasa membeli tinggi, peniaga juga meraih keuntungan dan ini secara tidak langsung juga menguntungkan kerajaan yang memperoleh 27 peratus menerusi cukai korporat iaitu setiap RM100 keuntungan, RM27 disalurkan kepada kerajaan.

    Timbul pula persoalan sama ada bajet kerajaan selepas ini akan menyaksikan angka defisit. Namun bagi Yeah, jika dilihat daripada jumlah hutang kerajaan yang sederhana selain jangkaan pertumbuhan ekonomi, defisit dalam perbelanjaan kerajaan itu masih terkawal andai segala perbelanjaan diuruskan secara cekap.

    Namun, perbelanjaan yang meningkat itu akan turut meningkatkan permintaan untuk barang, sekali gus boleh memberi kesan terhadap kadar inflasi.

    Buat masa ini, inflasi kekal berada pada paras terendah dalam tempoh dua setengah tahun bulan lalu, iaitu pada 1.5 peratus, tidak berubah berbanding pada Mac. Berikutan itu, kadar inflasi negara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya berada pada paras 2.4 peratus.

    Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi, meningkat 3.2 peratus pada Januari dan 3.1 peratus pada Februari. Ia kemudian menurun dengan ketara kepada 1.5 peratus pada Mac. Kita berharap kadar rendah itu dapat dipertahankan selagi tidak berlaku kenaikan harga barang.

    Antara faktor yang boleh menyebabkan IHP naik misalnya ialah kenaikan harga minuman dan makanan seperti peningkatan harga produk tenusu. Namun, kita yakin kenaikan gaji sektor swasta keseluruhannya tidak menyebabkan inflasi kerana banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada kenaikan itu. Bagi membendung inflasi daripada menyaksikan aliran menaik ialah memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang tanpa kebenaran kerajaan.

    Kita berharap pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu kerap turun padang dan tidak salah jika mereka pergi ke pasar dengan cara menyamar sebagai pengguna.

    Hanya menerusi tindakan pemantauan rapi dan heret peniaga tidak bertanggungjawab ke mahkamah, akan boleh meyakinkan kita betapa seriusnya usaha membanteras peniaga tidak bertanggungjawab.

    Di sini juga orang ramai sebagai pengguna diharap boleh memainkan peranan untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa mana-mana premis perniagaan yang mengambil kesempatan. Mereka boleh pulaukan peniaga yang lincah mengaut keuntungan berlebihan. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk pegawai penguat kuasa lebih tegas tanpa rasa takut dan gentar berdepan peniaga yang degil, kita yakin ekonomi kita akan terus berkembang dalam keadaan bajet tidak berdefisit bagi kerajaan, kadar inflasi rendah dan harga barang berpatutan. Jika tidak, kenaikan gaji tidak mungkin dirasai kerana tekanan harga barang yang turut naik, yang kita harap tidak akan berlaku.

    Dalam pada itu, kenaikan gaji itu juga dijangka mencetuskan minat baru di kalangan orang ramai untuk menyertai perkhidmatan awam, tentera atau polis terutama lepasan universiti kerana gaji permulaan kini dikatakan melebihi paras pasaran biasa.

    Kakitangan awam kena bersemangat khidmat lebih cemerlang

    Berita Harian


    Bagaimana sambutan ahli PPRPD mengenai pengumuman kenaikan gaji dengan tambahan sebanyak 20 peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?


    Sebaik pengumuman dibuat, saya menerima beratus-ratus khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk panggilan telefon yang melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kenaikan gaji yang diterima kakitangan awam termasuk anggota polis. Kami semua berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat yang menyokong supaya gaji anggota polis dinaikkan. Kami juga mengucapkan syabas kepada Cuepacs yang berusaha membangkitkan isu gaji kakitangan awam. Dengan kenaikan itu, 85,000 ahli PPRPD daripada konstabel tambahan, polis Orang Asli dan pegawai rendah polis mendapat manfaat. Ternyata isu gaji ini bukan saja mendapat perhatian kerajaan, malah rakyat negara ini apabila undian SMS mengenai kenaikan gaji yang dianjurkan TV3 menunjukkan 98 peratus rakyat menyokong kenaikan gaji kakitangan awam. Kenaikan ini satu suntikan semangat untuk kami berkhidmat dengan lebih cemerlang.

    Adakah tambahan kenaikan sebanyak 20 peratus itu dilihat sebagai keistimewaan yang diberi kepada anggota polis?

    Tambahan 20 peratus bukan keistimewaan sebaliknya ia adalah keprihatinan kerajaan terhadap keperluan anggota polis dan pemberian itu pastinya melihat banyak aspek. Antaranya, perbelanjaan yang perlu ditanggung terutama bagi anggota polis yang bertugas di bandar besar. Anggota polis adalah antara kumpulan bergaji paling rendah dengan gaji permulaan konstabel hanya antara RM650 hingga RM1,100 sebulan. Sebaliknya, kadar kemiskinan di Kuala Lumpur ialah RM1,500. Jika gaji lebih rendah daripada itu, maknanya anggota pangkat rendah boleh dianggap di bawah paras kemiskinan.

    Kenaikan gaji sering dikatakan menjadi penyuntik semangat, tetapi apa jaminan mutu kerja serta perkhidmatan pegawai polis akan meningkat selepas ini?

    Saya selaku Presiden bersama Exco PPRPD akan meneruskan usaha kami dan turun ke padang untuk menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada semua pegawai rendah polis di seluruh negara selepas pelantikan beliau September tahun lalu. Antara amanat KPN, supaya pegawai polis mengubah sikap, meningkatkan integriti, meningkatkan ilmu pengetahuan termasuk dalam bidang agama, bukan cegah rasuah, tetapi banteras rasuah dan jalinkan hubungan baik dengan masyarakat demi keselamatan negara akan terus diingatkan kepada anggota polis. Kami sudah menjelajah seluruh negara kecuali Johor dan Kuala Lumpur untuk menyampaikan amanat KPN dan selepas pengumuman serta saranan Perdana Menteri, kami akan meneruskan usaha menjelajah sambil menyampaikan nasihat kepada semua ahli selepas ini. Maknanya, kami akan pergi ke akar umbi untuk mengingatkan mereka bahawa pemberian ini berserta dengan harapan tinggi untuk melihat polis melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan. Sehubungan itu, PPRPD meminta semua anggota polis supaya menyahut seruan Perdana Menteri menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pasukan terbaik di dunia. Saya menasihatkan pegawai polis pangkat rendah menunjukkan semangat kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan pucuk pimpinan PDRM.

    Adakah kenaikan gaji ini sudah memenuhi keperluan anggota polis atau masih ada permintaan lain yang ingin dikemukakan anggota polis dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka?

    Soal kebajikan tidak perlu diperbesarkan. Kita perlu melihat proses bagaimana masalah yang dihadapi anggota polis diatasi selama ini. Kebanyakan keperluan kita cuba dipenuhi kerajaan serta pucuk pimpinan PDRM. Ia membuktikan keprihatinan mereka. Oleh itu, tidak perlu kita tunjukkan kepada mereka kekurangan kerana saya yakin mereka sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan anggota polis. Tidak dinafikan banyak lagi keperluan anggota polis yang masih inginkan perhatian, tetapi biar ia dilakukan mengikut jalan betul. Contohnya, kenaikan gaji dibuat secara perbincangan pihak tertentu dan menerusi persefahaman yang dicapai, kita berjaya dalam permohonan kenaikan gaji kepada kerajaan. Begitu juga dengan isu lain membabitkan kebajikan serta keperluan anggota polis. Biar ia dilakukan langkah demi langkah. Kita jangan tamak, sudah dapat ini, nak minta yang lain pula. Bukan tidak boleh minta, tetapi biarlah pada masa dan keadaan yang sesuai. Sekarang, kita nikmati dulu pemberian kenaikan gaji ini. Kita ambil satu persatu, tidak boleh minta selonggok. Yang penting, kita tahu ada tindak balas daripada kerajaan. Justeru, kita nasihatkan bukan saja anggota polis tetapi kakitangan awam lain yang mendapat manfaat daripada kenaikan gaji supaya beringat apabila berbelanja.

    Henti tuduh menuduh isu bangunan kerajaan rosak

    Berita Harian


    PM mahu JKR selesai segera masalah tanpa salahkan pihak lain

    TOKYO: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu tuduh menuduh secara terbuka berhubung siapa bertanggungjawab dalam isu kelemahan penyelenggaraan bangunan kerajaan dihentikan segera kerana ia perbuatan memalukan.

    Perdana Menteri berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan bangunan kerajaan perlu memikul tugas berkenaan dengan baik untuk memastikan harta kerajaan terjaga dan berada dalam keadaan selamat.

    “Saya sudah kata pada (Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S) Samy Vellu bahawa dalam hal berkaitan dengan JKR, janganlah kita bertengkar sesama sendiri... malu.

    “Jika nak bincang sama-sama tak apalah, tetapi jika bertengkar sampai semua rakyat tahu, buat apa,” katanya ketika ditanya pandangan beliau berhubung masalah penyelenggaraan bangunan kerajaan yang berleluasa kebelakangan ini.

    Terbaru ialah masalah kebocoran bumbung bangunan Parlimen, walaupun kerajaan sudah memperuntukkan RM90 juta untuk mengubah suai ruang dalaman bangunan itu.

    Samy Vellu yang meninjau bumbung bangunan itu sebelum ini turut mengakui tahap kebocoran itu serius disebabkan kegagalan mengambil kira aspek kalis air pada struktur berkenaan ketika kerja menaik taraf kemudahan terbabit.

    Perkara itu mengundang kritikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad yang mempersoalkan kegagalan JKR memasukkan kerja membina bumbung kalis air ketika mengubah suai bangunan Parlimen yang menelan belanja kira-kira RM90 juta sebelum ini.

    Abdullah berkata, pertengkaran mengenai siapa sepatutnya bertanggungjawab menyelenggara bangunan milik kerajaan itu hanya menyebabkan orang ramai berasa tidak seronok dengan apa yang berlaku.

    Dalam hubungan itu, beliau menyarankan semua pihak di negara ini mencontohi orang Jepun yang amat mementingkan budaya penyelenggaraan dalam kehidupan mereka.

    Katanya, memperuntukkan sejumlah wang menyelenggara peralatan atau bangunan adalah lebih baik daripada terpaksa berbelanja besar pada akhirnya apabila berlaku sesuatu masalah atau kerosakan serius.

    “Sebenarnya menyediakan perbelanjaan berpatutan untuk penyelenggaraan bukanlah satu kerugian, bukan satu bebanan.

    “Itu sebenarnya satu tindakan menyelamatkan banyak wang dibelanjakan nanti apabila alat atau bangunan itu rosak. Mungkin kena ganti pula nanti dengan yang baru dan lebih besar belanjanya,” katanya.

    Gaji pokok semasa asas kenaikan: KSN

    Berita Harian


    Pesara kerajaan turut nikmati kadar sama diumum PM

    PUTRAJAYA: Kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan kelmarin, dikira berdasarkan gaji pokok semasa mengikut gred masing-masing, bukannya berdasarkan gaji pokok permulaan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar).

    Beliau memberi contoh, kakitangan dalam Kumpulan Sokongan II yang menikmati gaji pokok semasa RM1,000 sebulan, akan menerima RM1,350 berdasarkan kenaikan gaji 35 peratus bagi kumpulan itu.

    Mohd Sidek memberi penjelasan itu bagi mengulas kekeliruan sesetengah kakitangan awam berhubung formula pengiraan gaji baru itu, sama ada berdasarkan gaji pokok permulaan atau semasa.

    Pada sidang akhbar di sini, semalam, Mohd Sidek juga menjelaskan 557,033 pesara kerajaan termasuk anggota polis dan tentera akan menikmati kenaikan pencen pada kadar sama dengan kenaikan gaji kakitangan yang sedang berkhidmat.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam antara 7.5 peratus hingga 35 peratus, manakala Bantuan Sara Hidup atau Cola dinaikkan 100 peratus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

    Anggota polis dan tentera pula mendapat tambahan 20 peratus lagi daripada peratusan kenaikan gaji yang diumumkan itu, menjadikan peningkatan antara sembilan hingga 42 peratus.

    Kenaikan itu turut membabitkan pencen pesara kerajaan, tetapi peratusannya tidak diumumkan.

    Mohd Sidek berkata, pesara awam juga akan menerima kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus, manakala pesara polis dan tentera antara sembilan hingga 42 peratus.

    Katanya, Akta Penyelarasan Pencen 1980 menetapkan pencen diselaraskan setiap kali gaji kakitangan awam disemak dan pengiraan kenaikan itu juga berdasarkan pencen semasa. Kenaikan gaji itu juga membabitkan kakitangan peringkat negeri dan kerajaan tempatan.

    "Apabila pekeliling mengenainya dikeluarkan, kerajaan negeri juga akan mengguna pakai," katanya.

    Bagaimanapun, apabila ditanya apakah ada kenaikan gaji bagi menteri dan timbalan menteri, Mohd Sidek berkata kenaikan gaji yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin hanya membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

    Pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu, beliau berkata, kenaikan gaji itu sewajarnya menjadi motivasi tambahan untuk kakitangan awam berusaha lebih gigih.

    “Kenaikan gaji yang diberikan itu besar dan kakitangan awam seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Perasaan terima kasih ini perlu diterjemahkan mereka dengan meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja untuk memperbaiki lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

    Ditanya apakah dengan kenaikan gaji itu kakitangan awam wajar berhenti melakukan kerja sambilan, Mohd Sidek berkata: "Itu adalah janji Cuepacs. Presidennya, Omar Osman sudah menyatakannya dan semalam beliau mengulanginya. Saya kira sekarang ini beliau kena memberitahu semua kakitangan supaya bekerja lebih keras.”

    Beliau berkata, rakyat sebagai pelanggan berhak menuntut perkhidmatan awam yang baik dan boleh mengemukakan aduan terus kepadanya menerusi emel di alamat sidek@pmo.gov.my.


  • Kenaikan bukan berdasarkan gaji pokok permulaan. Sebagai contoh, kakitangan Kumpulan Sokongan II yang menikmati gaji pokok semasa RM1,000 sebulan, akan menerima RM1,350 berdasarkan kenaikan gaji 35 peratus.

  • 557,033 pesara kerajaan termasuk anggota polis dan tentera akan menikmati kenaikan pencen pada kadar sama dengan kenaikan gaji kakitangan sedang berkhidmat.

  • Pesara awam menerima kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus, manakala pesara polis dan tentera antara sembilan hingga 42 peratus.

  • Kenaikan gaji itu juga membabitkan kakitangan peringkat negeri dan kerajaan tempatan.
  • Pencen ikut gaji baru -- Kenaikan turut libatkan bekas kakitangan kerajaan negeri, PBT

    Utusan Online

    Oleh Habibah Omar

    PUTRAJAYA 22 Mei – Seramai 557,033 pesara kerajaan termasuk bekas anggota polis dan tentera bakal menikmati kenaikan pencen pada kadar yang serupa dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang sedang berkhidmat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

    Beliau berkata, pesara awam akan menerima kenaikan pencen antara 7.5 peratus dan 35 peratus manakala pesara polis dan tentera mendapat kenaikan antara sembilan peratus dan 42 peratus.

    ‘‘Kuantum ini dikira berdasarkan pencen sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

    Akta Pencen menetapkan bahawa seseorang pesara awam layak mendapat pencen yang lebih tinggi jika kerajaan menaikkan gaji sektor awam.

    Menurut Mohd. Sidek, kenaikan pencen itu juga melibatkan bekas-bekas kakitangan Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ditanya mengenai implikasi kenaikan gaji dan pencen yang diumumkan kerajaan ke atas ekonomi negara, beliau berkata, kerajaan telah mengambil kira kesannya.

    Mohd. Sidek meminta semua kakitangan awam dan pesara menggunakan kenaikan gaji dan pencen itu secara berhemah dan tidak berbelanja sesuka hati.

    ‘‘Kalau ditanya kepada jutawan pun, tentu mereka akan kata wang yang mereka ada tidak cukup.

    ‘‘Masa saya mula masuk kerja dulu, gaji saya cuma RM500 tapi kita semua masih kekal berkhidmat dalam kerajaan kerana kita sayangkan pekerjaan itu dan ingin berkhidmat untuk negara.

    ‘‘Tapi bagi diri sayalah, hidup ini bukan berdasarkan kepada apa yang kita dapat tapi berapa banyak yang kita simpan.

    ‘‘Kita mesti gunakan duit yang ada secara bijak untuk masa depan,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji semua kakitangan kerajaan antara 7.5 hingga 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

    Anggota polis dan tentera mendapat kenaikan gaji lebih istimewa iaitu sembilan hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.

    Turut dinaikkan ialah Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam di bandar-bandar besar selain menaikkan pencen 557,033 pesara kerajaan.

    Kenaikan gaji wajar rangsang mutu sistem penyampaian

    Berita Harian

    PENANTIAN selama lebih sedekad kira-kira sejuta kakitangan awam akhirnya menjadi kenyataan apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan kenaikan gaji mereka sehingga 35 peratus, berkuatkuasa 1 Julai ini. Perdana Menteri juga mengumumkan persetujuan kerajaan menaikkan kadar bantuan sara hidup atau Cola sebanyak 100 peratus. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula turut menikmati kenaikan tambahan sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji mereka. Ini bermakna, semua peringkat kakitangan awam menikmati kenaikan gaji termasuk pesara kerajaan yang turut merasai kenaikan pencen. Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada 1992. Dengan semakan gaji kali ini, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan RM6.8 bilion setahun manakala peningkatan kadar Cola membabitkan perbelanjaan tambahan RM600 juta tahun ini atau RM1.2 bilion setahun. Ini satu jumlah yang cukup besar dan bukti keprihatinan kerajaan terhadap jasa kakitangan awam selama ini.

    Kita berharap ‘durian runtuh’ yang diterima oleh hampir 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara itu, selain disyukuri, turut disusuli dengan semangat dan budaya kerja baru. Cuepacs perlu memainkan peranan agar pekerja dapat mengubah sikap, meningkatkan kualiti kerja dan lebih berdisiplin bagi menaikkan imej perkhidmatan awam. Kakitangan kerajaan perlu meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan mutu hasil kerja seperti diharapkan supaya dapat memenuhi tuntutan orang ramai. Kenaikan itu adalah pertimbangan khas kerajaan selain menghargai sumbangan anggota tentera dan polis menjaga keselamatan negara walaupun terdedah kepada begitu banyak dugaan dan rintangan dalam menjalankan tugas mereka. Pengumuman kerajaan itu akan memberi rangsangan yang kuat kepada anggota tentera dan polis. Ia juga satu motivasi dan dorongan moral yang besar bagi perkhidmatan awam lain, selaras dengan hasrat kerajaan hendak mempertingkat kecekapan dan juga menambahbaik sistem penyampaian awam.

    Begitupun, kita amat berharap golongan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan ekoran kenaikan gaji kakitangan awam. Perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya akan menyebabkan inflasi yang boleh memburukkan ekonomi negara. Lebih mendukacitakan apabila sejak awal bulan ini sudah ada pasar, pasar raya dan kompleks beli-belah menaikkan harga barangan mereka tanpa disedari pengguna. Tidak ada sebab kenapa mereka harus menaikkan harga semata-mata kerana gaji naik. Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus memastikan, bukannya sekadar mengeluarkan amaran saja, bahawa kenaikan gaji ini tidak disusuli dengan peningkatan harga barangan keperluan secara keterlaluan. Kerajaan tentu mengambil kira beberapa isu dalam semakan semula gaji kakitangan awam, termasuk kesan kepada paras upah di pasaran buruh dan keadaan inflasi akibat kenaikan gaji bagi sejumlah anggota sektor awam. Jika harga barang naik, faedah kenaikan gaji tidak akan dirasai dan tidak akan memperbaiki kedudukan asal kakitangan awam dan lambat laun, tuntutan menaikkan gaji akan dibuat lagi. Yang jelas, kenaikan gaji itu menunjukkan sikap timbang rasa dan kepekaan kerajaan terhadap kebajikan kakitangan awam. Harus diingat, wang yang digunakan bagi menampung kenaikan itu adalah wang rakyat. Justeru, sebagai balasan atas kenaikan gaji itu, kakitangan awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

    Cuepacs puas hati kenaikan adil

    Berita Harian


    Pengumuman gaji baru patut suntik semangat pekerja awam tingkat prestasi tugas


    PUTRAJAYA: Cuepacs berpuas hati dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana ia memenuhi sasaran dan harapan kesatuan itu.

    Presidennya, Omar Osman, berkata kenaikan gaji itu adalah yang terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam dan Cuepacs gembira kerajaan memberi pertimbangan adil, termasuk menaikkan kadar elaun bantuan sara hidup (Cola) sebanyak 100 peratus.

    "Kita puas hati, paling gembira dan menerima apa yang diumumkan Perdana Menteri kerana sasaran kami tercapai.

    "Ini memang pengumuman bersejarah bagi kita dan yang terbaik. Dulu kita minta, kadang-kadang jauh lari daripada yang kita harapkan," katanya kepada pemberita selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji sektor awam pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

    Pada 11 Januari lalu, Cuepacs mengemukakan memorandum kepada Abdullah memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan ia perlu disesuaikan dengan kos sara hidup semasa.

    Dalam memorandum itu, Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi kakitangan awam Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) dan lima hingga 10 peratus (Jusa). Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.

    Sehubungan itu, Omar berkata, kakitangan awam perlu membuat perubahan drastik dalam melaksanakan tugas mereka mulai hari ini sejajar keputusan kerajaan menaikkan gaji perkhidmatan awam.

    Katanya, kakitangan kerajaan dari kumpulan paling rendah juga perlu berubah sikap, termasuk dalam aspek penampilan kerana tahap gaji yang diperoleh sekarang adalah setimpal.

    "Kerja lebih baik dan lebih cemerlang dan ceria selalu. Jika duduk di kaunter senyum dan jawab telefon dengan budi bahasa baik. Personaliti diri hendaklah kemas dan bergaya bagi menunjukkan kakitangan sektor awam menghasilkan kualiti kerja kelas pertama dan baik," katanya.

    Mengenai kenaikan tambahan bagi anggota polis dan tentera, Omar berkata, ia dapat menarik golongan muda menyertai pasukan keselamatan itu.

    "Ikut gaji baru ini prebet pun boleh dapat RM1,500, apabila bersara dapat RM700. Sekarang ini terlalu rendah hanya RM200 dan RM300 untuk pesara prebet. Kita sedih tengok kerana dulu mereka berkhidmat siang dan malam," katanya.

    Pekerja awam diminta henti laporan palsu

    SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengarahkan kakitangan awam di negeri itu berhenti daripada menghantar laporan dongeng dan cereka yang mengandungi maklumat tidak tepat dan tidak benar.

    Beliau berkata, ada kakitangan awam menghantar laporan yang sengaja direka kerana malas bekerja dan mahu curi tulang selain tidak sanggup turun padang untuk meninjau projek kerajaan negeri.

    "Mereka memberi laporan indah dan molek kepada pucuk pimpinan negeri. Jika tidak melakukan pemeriksaan semula kerajaan akan membuat keputusan tidak tepat berdasarkan maklumat salah yang diterima," katanya pada majlis perhimpunan bulanan jabatan kerajaan di Dataran Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

    Dr Mohamad Khir berkata, walaupun sering mengingatkan kakitangan awam itu supaya turun padang meninjau projek pembangunan dan masalah rakyat, ia hanya pada tahap sederhana dan masih ada kepincangan seperti sampah tidak diangkut, jalan rosak dan berlubang serta semak samun tidak dipotong.

    Justeru, beliau mengingatkan kakitangan awam tidak sekadar memantau kerja dari kerusi empuk di pejabat, sebaliknya turun padang untuk mengetahui masalah rakyat dan cara menyelesaikannya dalam tempoh singkat.

    "Kita tidak boleh kerja seperti menggunakan alat kawalan jauh dengan memantau kerja penyelenggaraan dari pejabat kerana kita tidak tahu apa yang berlaku melainkan melihat dengan mata sendiri," katanya.