27 March 2007

Cuepacs mahu semua layak wad kelas satu

Sumber: Berita Harian

SERDANG: Cuepacs meminta kerajaan menimbangkan untuk menempatkan semua kakitangan wanita yang melahirkan anak tanpa mengira pangkat dan tangga gaji, di wad kelas satu hospital kerajaan.

Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya menerima banyak aduan layanan tidak memuaskan, keadaan tidak selesa selain merendahkan imej kakitangan awam apabila mereka yang ditempatkan di wad kelas kedua dan ketiga.

Katanya, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi kemudahan wad kelas pertama kepada kakitangan wanita yang bersalin.

“Pekerja sektor awam juga perlu diberi keutamaan sama,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Setiausaha Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan tidak harus membezakan pangkat atau mengikut tangga gaji dalam menempatkan kakitangannya di wad bersalin.

“Ia menjadi tanggungjawab sosial kerana apabila berlaku perbezaan wad kelas pertama, kedua atau ketiga akan menyebabkan tekanan kepada wanita di sektor awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan dan terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM30 kepada Indah Water Konsortium Berhad (IWK).

“Mereka kebanyakannya terdiri kakitangan awam berpendapatan rendah serta tidak mendapat elaun perumahan. Ramai antara mereka tidak mampu membayar kos itu kepada syarikat berkenaan. Cuepacs meminta supaya majikan dapat membantu membayar kos berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat memutuskan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam dan lanjutan umur persaraan sehingga 60 tahun pada Mei ini sempena sambutan Hari Pekerja.

“Kita percaya kerajaan akan memberikan kata putus yang akan menggembirakan kira-kira 1.2 juta kakitangan sektor awam nanti,” katanya.

26 March 2007

JPA, PDRM bincang berkala isu gaji

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa menilai dan mengkaji semua skim perkhidmatan awam untuk dipertingkatkan walaupun tanpa permohonan oleh pihak berkaitan.


Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam, berkata perkara itu dilaksanakan jika pihaknya mendapati masanya sudah tiba sesuatu skim perkhidmatan ditingkatkan bagi memenuhi keperluan dan tuntutan semasa.

“Kajian mempertingkatkan skim perkhidmatan sebenarnya dibuat secara berterusan tidak kira ada permohonan atau tidak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai cadangan penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada kerajaan yang antara lain meminta kenaikan gaji pokok anggota dan pegawai sebanyak 20 peratus lebih tinggi daripada kakitangan sektor awam lain.

Turut diberi perhatian dalam penstrukturan semula PDRM ialah penambahan anggota dan kenaikan taraf kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk konstabel, diploma bagi sarjan dan ijazah untuk inspektor.

Kertas cadangan penstrukturan itu sudah dikemukakan kepada JPA dan kini dalam proses semakan untuk kelulusan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, JPA dan PDRM memang mengadakan perbincangan berkala berhubung perkara itu terutama selepas cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

“Di bawah Musa juga beliau menegaskan bahawa kerja bukan polis (tugas pejabat) nak diberi kepada bukan polis (kakitangan awam bukan anggota),”katanya.

Garis panduan tingkat tadbir sektor awam

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Semua Ketua Setiausaha kementerian, Ketua Jabatan dan Ketua Eksekutif badan berkanun diminta mengikuti garis panduan bagi mempertingkatkan tadbir urus sektor awam selaras usaha kerajaan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata garis panduan itu juga sebagai panduan untuk ketua agensi mempraktikkan tadbir urus terbaik di agensi masing-masing.

Katanya, garis panduan itu juga sebagai usaha menambah baik sistem penyampaian kerajaan bagi memudahkan agenda pembangunan nasional dicapai selaras langkah menjadikan Malaysia negara yang bersaing di arena global.

“Garis panduan itu juga memuatkan senarai semak bagi pelaksanaan tadbir urus di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,” katanya dalam surat pekeliling kepada semua ketua setiausaha, ketua jabatan dan ketua eksekutif badan berkanun yang dikeluarkan 9 Mac lalu.

Sidek berkata, semua kementerian, jabatan kerajaan dan badan berkanun juga perlu mengadakan mesyuarat jawatan kuasa tadbir urus setiap tiga bulan bagi membincangkan status pelaksanaan tadbir urus di jabatan dan agensi masing-masing.

Guru tawar hati: NUTP

Sumber: Berita Harian

Prosedur punca jawatan pendidik cemerlang kurang dimohon

KUALA LUMPUR: Kerenah birokrasi dalam prosedur permohonan jawatan guru cemerlang menjadi antara punca guru kurang berminat untuk memohon.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata kebanyakan guru ‘tawar hati’ memohon jawatan itu kerana prosedurnya terlalu ketat dan bukannya diri mereka tidak layak.

“Banyak sangat prosedur. Mula dengan isi borang, lepas itu minta sokongan pentadbiran sekolah, ada pula sekolah yang enggan memberikannya, kemudian ada lagi beberapa prosedur dan pelbagai kesukaran untuk hanya memohon.

“Kami mengharapkan prosedurnya dipermudahkan tetapi pada masa sama ia masih mencari guru berkualiti untuk jawatan itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zulkurnain Awang bahawa negara masih kekurangan pengetua dan guru cemerlang apabila sebahagian besar jawatan yang diwujudkan akhir tahun lalu untuk mempertingkatkan profesionalisme perkhidmatan perguruan masih belum diisi.

Katanya, antara faktor kekurangan permohonan mengisi jawatan itu adalah kerana guru sendiri berasakan diri mereka tidak layak.

Oktober tahun lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju menambah kuota pengetua dan Guru Cemerlang lebih dua kali ganda kepada 7,187 jawatan berbanding 2,797 sekarang.

Daripada jumlah itu 4,787 adalah jawatan pengetua dan Guru Cemerlang untuk guru siswazah dan 2,400 jawatan guru cemerlang untuk lulusan diploma menjawat Gred DGA 32.

Tolak semua pembaziran

Sumber: Utusan Online

TOKOH perkhidmatan awam Tan Sri Dr. Arshad Ayub berkata ‘jamuan’ malam dan sambutan besar-besaran diadakan di merata tempat. Saya dapati banyak pembaziran dan ketirisan berlaku. ‘Sebagai tetamu, saya tidak suka melihat ini semua, mungkin ini disebabkan saya berasal daripada keluarga miskin,’ amat menyentuh hati dan perasaan saya selaku rakyat biasa di negara yang aman dan makmur ini.

Apa yang diluahkan oleh Tan Sri Arshad ada kebenarannya dan sememangnya pembaziran ini berlaku di mana-mana. Soalnya sama ada kita semua prihatin atau tidak di atas perkara ini.

Dalam satu-satu majlis besar, kebiasaannya peruntukan yang besar akan terpaksa dikeluarkan ke atas perkara-perkara seperti jamuan, persiapan dewan, persembahan dan percetakan.

Jamuan sudah menjadi kemestian dan wajib untuk diadakan dalam majlis besar atau kecil anjuran kerajaan atau swasta. Sehinggakan mesyuarat atau perjumpaan rasmi kerajaan, swasta, politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seringkali turut menyediakan santapan. Kebiasaannya pembaziran akan berlaku apabila jangkaan bajet yang dikeluarkan berlebihan tidak sepadan dengan peserta yang hadir.

Kebiasaannya juga sesuatu majlis besar yang dihadiri oleh pembesar negara yang melibatkan pelancaran atau perasmian tertentu yang hanya berlangsung selama dua jam, memerlukan persiapan selama dua bulan, beratus-ratus jentera kepakaran dan yang pasti melibatkan perbelanjaan yang amat besar sehingga mencecah jutaan ringgit sudah biasa berlaku.

Untuk mencapai matlamat agar majlis nampak gah dan hebat, biasanya perunding dari syarikat pakar dalam persembahan event management dibayar untuk kepakaran mereka yang sememangnya memerlukan kos yang tinggi.

Kos untuk persembahan gimik pelancaran termasuk multimedia dan sistem bunyi satu majlis besar korporat boleh menelan belanja sehingga ratusan ribu ringgit terutama jika melibatkan kepakaran luar negara.

Dalam kaitan ini, pembesar-pembesar negara seharusnya bertanggungjawab ke atas semua perbelanjaan perjalanan, keraian dan perbelanjaan pengurusan di jabatan masing-masing.

Mereka harus memastikan semua perbelanjaan yang telus dan berbaloi untuk organisasi masing-masing. Menggunakan kemudahan kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Meletakkan semua perkara, wang, aset atau kemudahan kerajaan sebagai hak rakyat yang diamanahkan.

Dari satu sudut perancang pembangunan seperti perancang bandar, UPEN dan pihak berkuasa tempatan yang kerap kali tidak merangka sesuatu pembangunan secara mutlak untuk jangka masa yang panjang dan kerap berubah-ubah serta tiada penyelarasan dengan kementerian-kementerian lain yang terbabit.

Contoh pembaziran yang kerap berlaku adalah pembinaan landskap di persimpangan atau di sepanjang jalan persekutuan oleh PBT yang kerap kali terpaksa dimusnahkan semula lantaran perubahan jajaran atau pengubahsuaian laluan oleh JKR.

Amat sedih landskap yang baru dibina dengan belanja ratusan ribu ringgit hanya mampu bertahan cantik selama beberapa bulan demi memberi laluan kepada projek JKR yang kerap kali berubah.

Jejantas pejalan kaki yang baru dibina setahun terpaksa dirobohkan kerana jajaran jalan raya terpaksa diubah. Jalan yang baru diturap dan masih panas lagi terpaksa dikorek semula untuk laluan kabel telekom, elektrik, saluran air atau pembetungan.

Lampu jalan yang menyala di siang hari, paip pecah yang air melimpah berhari-hari, gerai, arked, prasarana PBT yang terbiar menjadi gajah putih, ketirisan kontrak bumiputera dan projek-projek kerajaan yang terbengkalai juga terlalu banyak yang tidak dapat memberi pulangan rahmat kepada rakyat.

Apa pun penghargaan buat Tan Sri Arshad kerana prihatin membuat teguran.

– SAMSUDIN ISMAIL,

Nusajaya, Johor.

Kenaikan gaji polis dapat cegah gejala rasuah – Cuepacs

Sumber : Utusan Online

KUALA LUMPUR 25 Mac – Cadangan kenaikan gaji pokok anggota polis sebanyak 20 peratus menerusi penstrukturan semula skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mencegah gejala rasuah dalam pasukan keselamatan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, cadangan itu wajar diperhalusi oleh kerajaan memandangkan tugas dan tanggungjawab polis kian mencabar.

Menurutnya, tugas yang dihadapi polis menuntut pasukan itu bekerja lebih keras walaupun tahap gaji anggotanya masih rendah dan tidak berbaloi dengan tugas mereka.

Katanya, kenaikan gaji itu dapat membantu usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah yang berlaku di kalangan kakitangan awam.

‘‘Cadangan itu secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti, kualiti dan integriti pasukan tersebut dalam menjalankan tugas dengan cemerlang,’’ kata Omar ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kenaikan gaji pokok anggota dan pegawai PDRM sebanyak 20 peratus lebih tinggi daripada pekerja sektor awam lain merupakan antara cadangan penstrukturan semula PDRM yang diserahkan kepada kerajaan.

Turut diberi perhatian dalam penstrukturan semula PDRM ialah penambahan anggota dan kenaikan taraf kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk konstabel, diploma bagi jawatan sarjan manakala ijazah untuk jawatan inspektor.

Musa berkata, penstrukturan semula itu seharusnya dilihat sebagai lonjakan bagi membaiki taraf dan meningkatkan kualiti profesionalisme anggota serta pegawai polis.

Omar berkata, kerajaan juga wajar meneliti semula gaji yang turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain kerana mereka juga berhadapan dengan gejala rasuah.

Tambahnya, langkah itu perlu bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Dalam pada itu, Cuepacs bimbang dengan cadangan Ketua Polis Negara untuk menetapkan jawatan konstabel memerlukan kelayakan sekurang-kurangnya SPM.

Jelasnya, taraf kelulusan itu adalah setanding dengan penjawat awam yang bekerja sebagai pembantu tadbir dan juruteknik dalam sektor awam.

24 March 2007

PTD tak boleh selesai masalah guru

Sumber : Berita Harian

SAYA tertarik dengan tulisan bertajuk ‘PTD mahu mantapkan pengurusan JPN’. Dulu guru, kini PTD’ yang disiarkan dalam ruangan ini, semalam. Amat murni niat Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) mahu memantapkan pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).


Soalnya apakah JPN akan mantap dan lebih baik dengan kehadiran pegawai PTD? Skim lain amat mengetahui niat PTD dalam semua kementerian dan jabatan. Kementerian yang saya duduki sekarang, walaupun ditadbir dan diuruskan PTD secara keseluruhannya, perkara yang dibangkitkan guru seperti pengurusan tidak cekap tetap berlaku.

Pada saya, jika berlaku pekerjaan tidak cekap, banyak perkara perlu diteliti dan diberi perhatian sama ada daripada prosedur kerja, pengetahuan pegawai yang ditugaskan, persekitaran kerja dan pelbagai lagi dan bukan meletakkan penyelesaian dengan menukar pengurusan kepada PTD.

Sedarkah bahawa jika pertukaran pengurusan di JPN ini berlaku, ketua pengurusan atasan di semua jabatan akan diketuai PTD seperti di cawangan kementerian saya sekarang yang diambil alih PTD dan sehingga hari ini setelah lebih setahun pengurusannya adalah lebih teruk berbanding pentadbiran lama.

Kecemerlangan pengurusan boleh diperoleh daripada mereka yang kreatif, berkemahiran dan berilmu pengetahuan. Mereka bukan datangnya daripada yang berjawatan PTD saja tetapi lahir daripada semua skim jawatan.

Justeru, sudah sampai masanya jentera kerajaan merombak semula metodologi pengurusan kerajaan di mana selama ini semua jawatan atasan seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha kementerian (KSU), ketua jabatan dan ketua lain yang selama ini dimonopoli PTD dibuka kepada semua skim melalui temu duga, peperiksaan dan keperluan jawatan.

SAYANGKAN KERAJAAN,
Putrajaya.

Yang Dipertua PBT dilantik pesuruhjaya bangunan – Najib

PUTRAJAYA 23 Mac – Kerajaan meluluskan pelantikan yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pesuruhjaya bangunan bagi membolehkan bangunan yang belum diserahkan Hak Milik Strata dikendalikan sepenuhnya oleh PBT.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan pelantikan itu, ia membolehkan bangunan-bangunan diselenggarakan dengan baik.

“Mesyuarat Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-57 hari ini meluluskan pelantikan itu untuk membolehkan bangunan diselenggara dengan baik, bangunan boleh dikendalikan oleh Yang Dipertua PBT sebagai pesuruhjaya bangunan, sebelum Hak Milik Strata diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MNKT di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Mengenai hasil MNKT, Najib berkata, kerajaan turut meluluskan kaedah baru dalam memproses permohonan untuk projek pembangunan tanah selaras dengan saranan Perdana Menteri untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan.

“MNKT buat beberapa keputusan untuk melihat satu kaedah baru dalam meluluskan projek untuk pembangunan melibatkan kerajaan dan swasta termasuk perumahan dan pelaburan yang memberikan kesan yang tinggi.

“Kaedah sekarang memakan masa terlalu lama, berdasarkan ketetapan Perdana Menteri maka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengkaji dengan mendalam satu sistem baru yang akan diguna pakai untuk proses tanah dalam pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kaedah baru itu akan diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 13 April ini dengan butiran lanjut dan konsep baru akan diterangkan oleh Perdana Menteri pada tarikh tersebut.

Selain kaedah baru tersebut, kata Najib, mesyuarat juga meluluskan perakuan siap dan permasalahan oleh profesional yang secara rasmi juga akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari berkenaan.

Sejurus diumumkan, kata beliau, semua kaedah baru itu akan dilaksanakan di peringkat bawahan.

Ditanya mengenai keadaan hujan kebelakangan ini sehingga mengakibatkan banjir seperti di Shah Alam baru-baru ini, beliau berkata, PBT akan memberi bantuan dari segi teknikal.

Kata beliau: “Apa yang berlaku terutama jika pemindahan (mangsa banjir) terpaksa dilakukan, kita akan buat waktu air naik tetapi sesetengah tempat memerlukan tindakan mengurangkan kesan banjir.”

Kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari: Cuepacs

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan semakan kenaikan gaji kakitangan awam yang akan diputuskan kerajaan perlu dibuat berkuat kuasa 1 Januari 2007, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman.


Katanya, Cuepacs sedang menunggu keputusan mengenai perkara itu yang sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika bertemu 11 anggota majlis tertinggi kongres itu pada 6 Mac lalu di bangunan Parlimen.

Beliau berkata, Cuepacs difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperhalusi tuntutan itu dan permohonan melanjutkan umur persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun.

“Jadi, kita berharap menjelang 1 Mei ini sempena sambutan Hari Buruh, JPA dan kerajaan akan selesai membuat semakan dan membuat pengumuman ‘keramat’ untuk semua kakitangan awam.

“Kita percaya sesuatu yang positif dan dinantikan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini kerajaan dilaporkan bersetuju mempercepatkan proses penilaian tuntutan kenaikan gaji bagi kakitangan awam.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan 11 anggota tertinggi Cuepacs di Parlimen, diketuai Omar pada 6 Mac lalu.

23 March 2007

Syor PTD terajui JPN rendahkan taraf pendidik

KUALA LUMPUR 22 Mac – Seorang Ahli Parlimen menyifatkan cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang bakal diterajui pegawai tadbir diplomatik (PTD) sebagai tindakan tidak berhati-hati dan tidak sensitif.

Dr. Muhamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana jawatan tersebut adalah hak golongan guru yang selama ini bertungkus-lumus memajukan anak bangsa.

‘‘Cadangan itu hanya akan menyebabkan berlakunya penurunan taraf golongan pendidik seperti mana nasib yang menimpa ke atas status Ketua Pengarah Pelajaran berbanding Ketua Setiausaha kementerian itu.

‘‘Pada satu ketika, taraf kedua-dua jawatan itu adalah sama tetapi akhirnya jawatan Ketua Setiausaha (yang diterajui PTD) adalah lebih tinggi daripada Ketua Pengarah.

‘‘Adakah adil perkara seperti ini berlaku sedangkan di bawah Ketua Pengarah terdapat kira-kira 350,000 guru yang bertugas di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail yang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan penstrukturan semula JPN yang bakal diterajui oleh PTD.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sebarang usaha untuk mengambil alih jawatan tinggi JPN oleh pegawai PTD pasti tidak dapat diterima oleh guru-guru.

Sementara itu, Razali dalam ucapannya mahu pihak Kementerian Pelajaran serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula cadangan itu kerana ia meresahkan warga pendidik di negara ini.

Beliau berkata, mereka yang bergelar guru tidak kurang hebatnya untuk mengurus dan seharusnya golongan itu terus diberi peluang untuk memegang jawatan penting di JPN.

‘‘Saya amat berharap pihak kementerian mengambil kira pandangan ini dalam usaha memastikan kemajuan tahap pendidikan kita terus berada di atas landasan yang betul.

‘‘Kita tidak mahu wujud sebarang rasa kurang senang di kalangan guru-guru kita ekoran cadangan ini,” tambahnya.