02 June 2009

Biasiswa ijazah luar negara diberi secara adil: KSN

Berita Harian

PUTRAJAYA: Pemilihan calon untuk ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara adalah dibuat secara adil kepada semua pelajar berkelayakan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak berupaya menawarkan biasiswa itu kepada semua pemohon kerana ia terhad kepada 2,000 pelajar dan bilangan itu saja membabitkan perbelanjaan berjumlah kira-kita RM740 juta setahun.

"Daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan, 20 peratus dikhaskan kepada pelajar genius tanpa mengira kaum, 10 peratus kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, lima peratus kepada setiap negeri, 10 peratus kepada kumpulan yang kurang beruntung dan selebihnya kepada pelajar mengikut komposisi kaum.

"Kerajaan juga menetapkan panel temuduga tiga anggota terdiri daripada ahli profesional seperti doktor dan jurutera dan bukan pegawai tadbir dan diplomatik. Seorang daripada tiga orang panel tersebut terdiri daripada bukan Melayu," katanya pada majlis dialog dengan pengarang media di pejabatnya di sini petang tadi.

Sidek berkata, bagi memastikan pelajar tajaan JPA berkhidmat dalam sektor awam selepas tamat pengajian, kerajaan baru-baru ini membuat keputusan tidak lagi menimbang permohonan pelajar untuk mendapatkan pelepasan daripada kontrak biasiswa.

Katanya, sebelum ini kerajaan memberi pelepasan kepada beberapa pemegang biasiswa yang tidak berminat untuk berkhidmat di sektor awam selepas tamat pengajian kerana faktor seperti gaji yang ditawarkan kurang kompetitif berbanding apa yang ditawarkan oleh sektor swasta.

"Pemegang biasiswa harus menyedari bahawa mereka mesti berkhidmat kepada kerajaan yang telah banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai pelajaran mereka," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mampu untuk menawarkan tempat yang lebih banyak bagi biasiswa program ijazah luar negara itu kerana ia akan membabitkan perbelanjaan yang lebih besar.

"Bayangkan jika jumlah ini dinaikkan sekali ganda, perbelanjaan akan juga berganda menjadi kira-kira RM1.5 bilion," katanya sambil menambah tempat yang ditawarkan kepada pelajar Malaysia juga terhad.

Mengenai rungutan bahawa Bumiputera mendominasi sektor awam berbanding kaum lain, beliau menjelaskan kerajaan ingin lebih banyak kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam tetapi bilangan mereka yang memohon untuk menjadi penjawat awam tidak banyak.

"Ada juga pemegang biasiswa JPA daripada kalangan bukan bumiputera yang memohon dibebaskan daripada ikatan kontrak kerana tidak tertarik dengan gaji yang ditawarkan oleh sektor awam," katanya. - Bernama

No comments: