23 December 2008

'Dua kali pelepasan'

Berita Harian

Cuti bagi kakitangan awam sertai RT

PUTRAJAYA: Kakitangan awam yang menganggotai Rukun Tetangga (RT) menerusi Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) boleh menikmati pelepasan waktu bekerja sebanyak dua kali sebulan, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata tempoh pelepasan waktu bekerja itu mengikut tempoh sebenar, tertakluk kepada tempoh minimum rondaan selama empat jam berterusan selepas jam 12 tengah malam.

Katanya, tempoh pelepasan waktu bekerja itu perlu digunakan pada sebelah pagi hari tugas rondaan dijalankan dan tidak boleh dibawa ke sebelah petang atau hari berikutnya atau dikumpulkan untuk ditukar dengan cuti manakala tempoh pelepasan waktu bekerja yang tidak digunakan dianggap luput.

"Pelepasan waktu bekerja ini juga boleh diberi kepada pegawai yang bekerja secara syif. Ketua Jabatan hendaklah memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas berikutan pelepasan waktu bekerja ini," katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 23 Tahun 2008 bertarikh 17 Disember 2008 yang disiarkan dalam laman web rasmi JPA.

Ismail berkata, kakitangan awam terbabit hendaklah mendapatkan kelulusan pelepasan waktu bekerja daripada Ketua Jabatan terlebih dulu sebelum menjalankan tugas rondaan dengan mengisi borang dan menyertakan dokumen sokongan.

No comments: