28 April 2008

Elaun, insentif lebih baik untuk polis

Berita Harian

KOTA TINGGI: Lebih 93,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara dijangka menikmati imbuhan yang lebih baik apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat penyelarasan elaun dan insentif untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada JPA supaya mempertimbangkan elaun tertentu anggota polis bagi diselaraskan sejajar dengan tuntutan semasa.

Katanya, antara yang dianggap penting untuk diselaraskan termasuk elaun bagi semua jenis kenderaan khususnya kereta peronda dan motosikal untuk setiap pegawai serta anggota polis yang membuat tugas rondaan.

"Misalnya, ketika ini mereka yang bawa motosikal trafik dapat elaun lain, manakala yang membawa kereta peronda pula dapat elaun lain. Ia perlu diteliti demi kepentingan kebajikan anggota pasukan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kepolisan Komuniti PDRM Kontinjen Johor di sini semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Syed Hamid berkata, kementerian juga akan melihat skim elaun anggota tentera yang mungkin boleh disesuaikan untuk diguna pakai dalam merangka skim baru elaun bagi semua pegawai serta anggota polis.

"Kita juga ada meminta supaya gaji dan keperluan tempat tinggal bagi anggota polis dikaji semula, tetapi keputusan serta pelaksanaannya masih belum dapat ditentukan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Beliau berkata, permohonan supaya gaji dan elaun anggota polis dikaji semula termasuk dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM (2007-2011) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika sambutan Hari Polis Ke-200, tahun lalu.

"Tugas polis amat berat dalam memerangi jenayah dan bagi memastikan mereka mampu menjalankan tugas dengan baik, mereka memerlukan tempat tinggal selesa dan persekitaran pekerjaan yang baik dari semua aspek termasuk gaji, elaun serta suasana balai," katanya.

Syed Hamid berkata, kerajaan juga sedar kepentingan anggota polis untuk menjaga keselamatan dalam negara serta keperluan mereka ketika menjalankan tugas kerana semua mereka tergolong dalam kelompok yang berada di barisan depan.

Beliau berkata, menerusi pelan strategik itu juga, semua kuarters polis terutama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) dan balai sedia ada di seluruh negara akan dibaik pulih serta dipertingkat untuk keselesaan anggota dan keluarga.

"Kebanyakan kuarters IPPD dan balai polis yang baru tidak menghadapi masalah, tetapi pada masa sama kerajaan tidak akan mengabaikan kuarters lama serta sedia mengambil langkah membaik pulih secara berperingkat," katanya.

Pertengahan tahun lalu, kerajaan mengumumkan bayaran Insentif Pedalaman pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok pegawai dan anggota yang berkhidmat di pedalaman kerana tidak mempunyai kemudahan asas sempurna seperti bekalan elektrik, air, telefon, perubatan dan pengangkutan.

Sebelum ini, PDRM memohon kepada JPA dan Kementerian Kewangan supaya mengkaji semula empat elaun sedia ada dan 16 elaun baru dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan polis serta menghindarkan gejala rasuah.

No comments: