27 March 2008

Bayaran insentif pegawai, pakar perubatan dilulus

Berita Harian

Oleh Azrina Ahzan


MENTERI Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai mengambil-alih kementerian dari Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang memangku jawatan itu di Kementerian Kesihatan baru-baru ini. - Foto Bernama

Kabinet setuju doktor kerja lebih masa pada Sabtu diberi ganjaran

PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan bayaran insentif kepada pakar dan pegawai perubatan serta kenaikan kadar bayaran kerja lebih masa untuk pegawai perubatan di unit kecemasan hospital seluruh negara sebagai usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Berkuat kuasa serta-merta, pakar perubatan yang menjalankan pembedahan elektif (bukan kecemasan) pada Sabtu di 19 hospital kerajaan akan menerima bayaran RM200 sejam, manakala pegawai perubatan pula RM80 sejam.

Hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur, Kangar, Alor Star, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Putrajaya, Selayang, Klang, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Muar, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Kadar bayaran kerja lebih masa untuk pegawai perubatan di unit kecemasan hospital pula dinaikkan daripada RM30 kepada RM80 sejam.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata insentif itu adalah antara pendekatan bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit untuk menjalani pembedahan elektif.

"Permintaan terhadap perkhidmatan anesthesia (bius) dan pembedahan di hospital kerajaan terus meningkat menyebabkan pakar bius serta bedah memberi keutamaan kepada kes kecemasan yang membabitkan keselamatan nyawa.

"Ini menyebabkan pesakit yang memerlukan pembedahan bagi kes bukan kecemasan terpaksa menunggu lama, iaitu antara satu hingga enam bulan bergantung kepada jenis pembedahan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertamanya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Bilangan pembedahan yang dijalankan di hospital kerajaan meningkat 23 peratus daripada 636,867 pembedahan pada 2002 kepada 782,514 pembedahan pada 2006.

Liow berkata, Kabinet juga bersetuju memanjangkan waktu bekerja di 14 klinik kerajaan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan selepas waktu pejabat.

Katanya, waktu lanjutan itu ialah dari jam 5.30 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja kecuali Ahad dan cuti umum manakala dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari setiap Sabtu.

Klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Alor Star, Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh; Klinik Kesihatan Anika, Klang; Klinik Kesihatan Selayang Baru, Selayang; Klinik Kesihatan Seremban; Klinik Kesihatan Peringgit, Melaka; Klinik Kesihatan Mahmoodiah, Johor Bahru; Klinik Kesihatan Bandar Maharani, Muar dan Klinik Kesihatan Kuantan.

Turut terbabit, Klinik Kesihatan Kuala Terengganu, Klinik Kesihatan Bandar Kota Bahru; Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Kuching; Klinik Kesihatan Sandakan dan Klinik Kesihatan Putrajaya.

"Langkah memanjangkan waktu operasi ini sudah dilaksanakan di 33 hospital kerajaan dan melihat akan keberkesanannya memberi perkhidmatan kepada orang ramai, kementerian bersetuju langkah yang sama dilakukan di 14 klinik kerajaan. Bilangannya akan ditambah dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan," katanya.

No comments: