18 February 2008

Sistem bintang nilai PBT mula Mac

Berita Harian

Oleh Azrina Ahzan


TANYA KHABAR: Sidek (kiri) bersalam dengan peserta selepas merasmikan Seminar Masterclass Place Branding di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Prestasi pihak berkuasa tempatan perlu ditingkat: KSN

PUTRAJAYA: Mulai bulan depan, prestasi dan tahap kecekapan semua majlis perbandaran dan daerah melaksanakan tugas akan dinilai mengikut sistem bintang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pelaksanaan sistem yang diumumkan tahun lalu itu diharap meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya sudah diberikan jaminan oleh kementerian sistem ini akan dilaksanakan mulai Mac. Jumlah bintang bagi setiap PBT dijangka diketahui dalam tempoh enam bulan selepas itu.

"Penilaian akan turut mengambil kira maklum balas orang ramai sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan markah," katanya selepas merasmikan Seminar `Masterclass Place Branding' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Mohd Sidek berkata, buat permulaan penilaian akan dilaksanakan di majlis perbandaran, majlis bandaraya dan dewan bandaraya sebelum diperluaskan kepada semua PBT di seluruh negara.

Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan sistem bintang bagi memantau prestasi dan kecekapan PBT.

Berikutan itu, semua majlis perbandaran dan daerah di seluruh negara dikategorikan menerusi satu sistem penggredan dua tahun sekali. PBT yang menunjukkan prestasi tinggi akan dijadikan penanda aras, manakala kepemimpinannya yang terbukti baik akan mendapat pengiktirafan kerajaan.

PBT yang didapati kurang kemampuan dan berprestasi rendah pula diberi perhatian pihak berkuasa peringkat negeri dan Pusat supaya usaha menambah baik pencapaian dapat dilakukan segera.

Antara tumpuan sistem itu ialah urusan kewangan, perkhidmatan komuniti, khidmat pelanggan, program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan laman web.

Dalam pada itu, Mohd Sidek berpuas hati dengan usaha penambahbaikan PBT, terutama memperbaiki sistem penyampaian masing-masing.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan pencapaian mereka, tetapi bukan sepenuhnya kerana PBT mesti terus berusaha mencapai tahap keterbilangan seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

No comments: