26 September 2007

Kakitangan Kumpulan A kesan pesalah trafik

Berita Harian

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Polis Trafik akan mengaktifkan semula kuasa 250,000 pegawai kerajaan Kumpulan A untuk membantu mengesan kesalahan lalu lintas sepanjang 15 hari Ops Sikap XIII sempena Aidilfitri bermula 7 Oktober ini.

Ini adalah antara empat pendekatan yang akan digunakan sepanjang Ops Sikap kali ini, dengan matlamat utama mahu mengurangkan kadar kemalangan serta memastikan umat Islam dapat pulang berhari raya dengan selamat.

Tiga pendekatan lain ialah:

  • Pegawai dan anggota trafik akan menyamar sebagai penumpang bas dengan berpakaian biasa, berbanding berpakaian seragam pada Ops Sikap lalu;

  • Mewujudkan pegawai pemantau di kalangan pegawai dan anggota Trafik Bukit Aman untuk membuat rondaan serta mengambil tindakan di seluruh negara; dan

  • Penempatan anggota statik bersama kamera di susur keluar lebuh raya serta Jalan Persekutuan bagi merakamkan kesalahan kenderaan yang tidak mengikut lorong betul hingga menyebabkan kesesakan dan mengeluarkan saman atas kesalahan lalu lintas yang dirakam kamera pihak berkuasa tempatan (PBT).

  • Fokus Ops Sikap kali ini adalah terhadap kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. terutama enam kesalahan utama yang menyumbangkan kepada kemalangan, iaitu memandu melebihi had laju, memandu melulu dan cara berbahaya, memandu dalam pengaruh alkohol dan dadah, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat serta memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan.

    Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Hamza Taib, berkata 5,190 anggota termasuk 4,608 cawangan trafik manakala selebihnya dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), akan terbabit dalam Ops Sikap XIII.

    "Bagi mencapai matlamat ini, kita akan mengaktifkan kuasa yang diberi kepada pegawai Kumpulan A bagi membantu polis memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas." kata pada sidang akhbar di sini, semalam.

    Hamza menjelaskan, pegawai terbabit akan diminta mencatat maklumat mengenai kesalahan dan kenderaan terbabit, seperti nombor pendaftaran, jenis dan warna serta masa dan tempat kesalahan dilakukan bagi membolehkan polis trafik mengeluarkan saman maksimum.

    "Bagaimanapun mereka hanya boleh mencatat kesalahan nyata atau yang tidak boleh dipertikaikan, seperti memotong garisan berkembar dan barisan.

    "Kuasa itu tidak boleh digunakan bagi kesalahan memandu melebihi had laju kerana penentuan kelajuan memerlukan alat tertentu mengukurnya supaya tidak timbul masalah membuktikannya di mahkamah," katanya.

    Beliau berharap pegawai terbabit menggunakan kuasa itu sebaik mungkin dan sedia bekerjasama dengan menjadi saksi di mahkamah.

    Kesalahan yang dicatat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Malaysia (MCC) Bukit Aman di talian 03-22626555/7555, Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman yang beroperasi 24 jam (03-27184444/ Fax-03-27184440), Rakan Cop dan bilik gerakan kontinjen negeri.

    Mengenai penyamaran di dalam bas, Hamza berkata, tiga pasukan ditubuhkan yang dianggotai 36 pegawai dan anggota bagi menaiki bas dari Kuala Lumpur ke destinasi di utara, selatan dan timur.

    "Mereka akan merekodkan kesalahan yang dilakukan pemandu dan sebaik tiba di destinasi, pegawai ini akan memakai jaket polis dan menunjukkan kad anggota sebelum mengeluarkan saman.

    "Bagi kesalahan memandu laju, mereka akan memaklumkan kesalahan itu kepada pegawai lain untuk tindakan susulan termasuk menahan bas berkenaan," katanya.

    Hamza berkata, kumpulan pegawai pemantau Trafik Bukit Aman pula akan menaiki kenderaan polis dan ditugaskan mengikut zon, iaitu utara, timur dan selatan serta menahan kenderaan yang melakukan kesalahan.

    Saman juga akan dikeluarkan bagi kesalahan lalu lintas dirakam kamera anggotanya yang ditempatkan di susur keluar lebuh raya dan Jalan Persekutuan serta kesalahan dirakam kamera PBT seperti dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Beliau berkata, polis juga meneruskan beberapa pendekatan sebelum ini termasuk pemantauan melalui 22 menara pemerhati di lebuh raya dan Jalan Persekutuan, helikopter serta sekatan jalan raya terutama ke atas pemandu bas ekspres dan penunggang motosikal tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas.

    Hamza berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dalam mesyuarat kelmarin juga mahu tindakan penguatkuasaan dibuat tanpa mengambil kira siapa yang melakukan kesalahan.

    Rondaan dan penguatkuasaan itu akan tertumpu di 294 lokasi Jalan Persekutuan, jalan bandar dan jalan negeri serta 102 lokasi di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sering berlaku kemalangan.

    Hamza berkata, Pasukan Tindakbalas Kecemasan (ERT) disertai polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah turut ditempatkan di lebuh raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    Selain itu, pihaknya memperluaskan penyaluran maklumat melalui radio bagi membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka.

    No comments: